Adat parti politik menyemai bibit-bibit perpecahan dan mewujudkan semangat kenegerian yang melampau kepada masyarakat berbanding mewujudkan perpaduan. Begitulah yang boleh disimpulkan terhadap gaya pembawaan Parti Bumi Kenyalang (PBK) di Sarawak. Parti yang diasaskan sejak tahun 2013 ini mempunyai cita-cita besar dalam usaha memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sumber: Rundusarawak

Sertai Malaysia Satu Kesilapan?

Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, mereka berhasrat ingin membawa negeri Sarawak keluar daripada Malaysia sekiranya memenangi PRN yang bakal dilangsungkan tidak lama lagi. Ini kerana bagi PBK langkah Sarawak menyertai pembentukan Malaysia 1963 adalah satu kesilapan. Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Presiden PBK, Voon Lee Shan.

Memetik laporan daripada Dayak Daily, usaha untuk membawa keluar Sarawak daripada Malaysia akan dilakukan melalui perundangan dengan meminda Perlembagaan Negeri. Namun PBK memerlukan jumlah kerusi majoriti di negeri Sarawak untuk merealisasikan janji-janji tersebut.

Selain mempertikaikan agihan kerusi Parlimen yang tidak sama banyak antara Sarawak, Sabah dengan Semenanjung, PBK turut  menempelak kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana menunjukkan hasil yang tidak memuaskan dalam usaha menuntut semula autonomi dan hak Sarawak. Jelas sentimen politik yang dibawa oleh PBK tidak baik terhadap masa depan negara.

Benarkah PBK Bawa Suara Masyarakat Sarawak?

Pun begitu timbul satu kemusykilan, adakah PBK benar-benar merupakan parti masyarakat peribumi di Sarawak? Keduanya, adakah mereka benar-benar membawa suara dan aspirasi masyarakat di Sarawak? Ini memandangkan presiden parti PBK bukanlah dari kalangan masyarakat peribumi, malah hampir 90 peratus jawatan tertinggi parti PBK disandang oleh masyarakat bukan peribumi Sarawak.

Sumber: Utusan Borneo

Percaturan politik sebegini bukan sahaja tidak sihat bagi perpaduan negara, malah memberi impak negatif kepada hubungan kaum. Maka kenyataan PBK telah dibantah oleh Ketua Wira Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif. Beliau turut meragui, adakah suara-suara yang mahu membawa keluar Sarawak dari Persekutuan Malaysia benar-benar anak jati negeri?

Apa yang jelas, tindakan PBK merupakan satu bentuk provokasi politik bagi mencari publisiti, malah pendekatannya berbahaya dan mengancam keselamatan negara. Kenyataan tersebut bukan sahaja tidak patriotik, tetapi akan memecah-belahkan lagi keharmonian masyarakat Malaysia hari ini.

Sabah Sarawak Masih Rasai Keistimewaan Sendiri

Sedangkan negeri di Sabah dan Sarawak masih menikmati keistimewaan seperti yang termeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63), iaitu dari aspek pendidikan negeri, hal ehwal imigresen dan sebagainya.

Sumber: Berita Harian

Malah, usaha kerajaan mengembalikan status Sabah dan Sarawak daripada status negeri kepada status wilayah yang setara Semenanjung tidak dipersetujui sendiri parti-parti tempatan di Sarawak. Hasilnya, usul MA63 yang dibentangkan di Parlimen menemui kegagalan disebabkan tidak mendapat majoriti dua pertiga daripada ahli parlimen.

Justeru permintaan yang keterlaluan oleh PBK atau mana-mana parti politik pada masa akan datang adalah tidak wajar dilakukan. Setiap pihak perlu menyanjung tinggi kedaulatan negeri di dalam Persekutuan Malaysia dan tidak perlu dicemari oleh gerakan-gerakan hasutan yang hanya bertujuan untuk memenangi PRN semata-mata.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah memainkan sentimen kenegerian di Sabah dan Sarawak mampu membawa populariti politik?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN