Sumber: Dialog Rakyat

Dijangka pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan warga asing yang menggunakan bas Smart Selangor bakal dikenakan caj. Pengumuman tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi memastikan kemudahan percuma kerajaan negeri hanya dinikmati oleh pembayar cukai kerajaan sahaja.

Sumber: Selangorkini

Tindakan itu dilakukan oleh kerajaan negeri hasil aduan orang ramai mengenai segelintir warga asing yang mengambil kesempatan menggunakan perkhidmatan bas percuma tersebut.

Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri sedang mengenal pasti mekanisme terbaik untuk mengenakan caj sama ada melalui tunai atau tanpa tunai serta kadar yang akan dikenakan kepada mereka juga masih dalam peringkat kajian.

Perlu Menggunakan Kad Pengenalan Atau Passport

Cadangan awal perlaksanaan sistem ini adalah warga tempatan dan asing yang menggunakan perkhidmatan bas ini akan dikenalpasti melalui kad pengenalan atau passport bagi membolehkan caj dikenakan kepada pihak terlibat. Walau bagaimanapun terdapat permasalahan yang mungkin akan berlaku khususnya apabila melibatkan pelajar sekolah yang tidak membawa kad pengenalan sewaktu ke sekolah. Perkara tersebut akan diteliti dengan lebih lanjut.

Kurang Sambutan Warga Tempatan

Apa yang menjadi permasalahan ketika ini ialah kurangnya sambutan warga tempatan dalam memanfaatkan kewujudan perkhidmatan bas Smart Selangor. Selain daripada usaha untuk menggalakkan rakyat menaiki pengangkutan awam, ia juga diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat memandangkan bas ini melalui kawasan-kawasan awam seperti sekolah, hospital serta kawasan perumahan kos rendah. Malangnya, sambutan rakyat masih lagi suram. Ini adalah kerana lambakan warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma tersebut dan menimbulkan rasa tidak selesa kepada warga tempatan.

Kesempatan Diambil Warga Asing

Isu ini bukan perkara baru memandangkan program ini telah dilaksanakan semenjak tahun 2015 dan perkhidmatan ini telah diluaskan meliputi hampir seluruh daerah di Selangor. Hal ini yang menyebabkan ada di kalangan warga asing mengambil kesempatan menaiki perkhidmatan terbabit. Perkhidmatan bas Smart Selangor di kawasan bandar-bandar penting seperti Petaling Jaya, Damansara dan Klang banyak dinaiki oleh warga asing.

Walau bagaimanapun, masih terdapat penduduk tempatan yang memanfaatkan kemudahan yang disediakan seperti di Kuala Langat. Sambutan penduduk tempatan terhadap perkhidmatan tersebut meningkat dengan ketara, bermula dengan 1,926 penumpang ketika mula beroperasi Mei 2016 dan meningkat kepada 24,782 penumpang dalam tempoh 7 bulan.

Sumber: Selangorkini

Justeru, tahap kesedaran di kalangan masyarakat perlu dipertingkat bagi memastikan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor ini dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Perkhidmatan bas Smart Selangor telah beroperasi sejak Julai 2015 bermula di daerah Klang, Shah Alam dan Subang Jaya dengan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) serta perkhidmatan Internet tanpa wayar percuma.

Sasaran Kerajaan Negeri

Kerajaan negeri menyasarkan 60 peratus pengguna jalan raya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam manakala hanya akan berbaki 40 peratus sahaja yang akan menggunakan kenderaan persendirian menjelang tahun 2025 sehingga 2030. Adalah diharapkan agar sasaran ini dapat dicapai bagi mengurangkan kesesakan jalan raya dan pencemaran alam sekitar.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah warga asing dikenakan caj?
19 votes · 19 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN