Baru-baru ini, video tular Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy mencetuskan ketidakpuasan hati banyak pihak hingga ada yang mendesak menteri tersebut supaya dipecat, didakwa dan disiasat mengikut SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012).

Sumber: Malaysia Dateline

Beberapa gerakan, pemimpin politik malah tidak kurang juga Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman turut sama menegaskan bahawa Waytha Moorthy yang juga pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu disiasat pihak berkuasa kerana tindakannya yang dilihat lebih menjurus kepada perpecahan kaum.

Apa yang menimbulkan kemarahan ramai, klip video rakaman 10 tahun yang tular itu menunjukkan beliau memburuk-burukkan Malaysia di negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berunsur fitnah.

Sumber: YouTube

Dalam video tersebut, Waytha Moorthy menuduh kerajaan Malaysia zalim dan menindas hak kaum serta penganut agama lain.

Malah, beliau mendakwa masyarakat India di Malaysia ketika itu tidak dilayan secara adil malah dipaksa memeluk agama Islam sekiranya mahu bekerja di sektor kerajaan dan sebanyak 10,000 kuil dimusnahkan.

Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, video tular Waytha Moorthy itu dilihat mendapat kecaman hebat netizen di media sosial hingga ada melancarkan petisyen meminta beliau meletak jawatan sebagai selaku menteri yang kini sudah ditandatangi lebih 16,000 peserta.

 

Apa Tujuan Waytha Moorthy Berkata Sedemikian?

Walaupun ditohmah dan dikritik pelbagai pihak hingga ada yang mendesak beliau supaya meletak jawatan, bagaimanapun Waytha Moorthy tampil memberi kenyataan dan menjelaskan perkara sebenar di mana klip video tersebut adalah rakaman yang dirakam sejak 10 tahun lalu yang kini mempunyai konteks berbeza.

Difahamkan, klip video tersebut merupakan satu wawancara bersama stesen televisyen Belanda yang dibuat selepas himpunan HINDRAF pada November 2007 sebagai gesaan agar nasib kaum India di Malaysia diberi perhatian serius.

Sejak kerajaan terdahulu lagi, beliau dilihat aktif memperjuangkan nasib kaum India dengan mengadakan perhimpunan bantahan malah beliau sendiri pernah diseksa dan dipenjara akibat tindakan tersebut.

Difahamkan, kesemua perkara tersebut tercetus ketika kuil-kuil Hindu dimusnahkan, pemaksaan pertukaran agama dan masyarakat India diusir keluar dari rumah tradisi mereka untuk berpindah ke kawasan ladang menyebabkan beliau berkata sedemikian.

 

Wajarkah Beliau Disiasat Didakwa Di Bawah SOSMA?

Sumber: Mole.my

Bagi mereka yang masih samar-samar mengenai Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau dikenali sebagai SOSMA, undang-undang tersebut digubal bagi membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu menggulingkan atau melemahkan kerajaan.

Malah, undang-undang itu juga bertujuan untuk mengekalkan ketenteraman awam, keselamatan dan apa sahaja perkara berkaitan dengannya yang memperuntukkan langkah-langkah khas berhubung dengan kesalahan keselamatan.

Lihat saja negara Malaysia yang kaya dengan pelbagai kaum serta etnik, kita pastinya memerlukan satu undang-undang yang boleh menjamin serta melindungi masyarakat dari sebarang tohmahan yang boleh memecah belahkan kaum.

Di bawah undang-undang ini, sekiranya seseorang individu itu dilihat menimbulkan keganasan terancang terhadap mana-mana individu lain atau harta atau menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu akan dianggap memberi ancaman di bawah SOSMA.

Bukan itu sahaja, SOSMA juga boleh diguna pakai kepada individu yang membangkitkan perasaan tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong, memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan mahupun memudaratkan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, mendapatkan perubahan selain dengan cara yang sah mahupun apa jua cara yang ditetapkan melalui undang-undang menyebabkan Parlimen sebulat suara berpendapat bahawa tindakan tersebut wajar dihentikan.

 

Apa Yang Dilakukan Waytha Moorthy Ketika Ini?

Sumber: Astro Awani

Walaupun dahulu beliau difahamkan meletak jawatan selama setahun selepas menyatakan kekecewaan kerana tidak mampu menggesa perubahan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), kini beliau dilantik semula menjadi Menteri selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan, apa yang diinginkan beliau adalah layanan saksama diberi kepada komuniti India dan semua kaum minoriti.

Sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, buat ketika ini beliau akan bekerjasama dengan menteri kabinet bagi tujuan memastikan layanan saksama tersebut yang mana sebelum ini dasar yang diketengahkan kepimpinan kerajaan sebelum ini dilihat menghalang majoriti komuniti India daripada diterima dalam pembangunan arus perdana negara.

HINDRAF juga dilihat akan terus memperjuangkan perjuangan mereka bersama kerajaan PH untuk menyelesaikan masalah utama yang dialami oleh komuniti India.

Pada 26 Oktober lalu, Waytha Moorthy dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan komited mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Namun, melihat kepada apa yang mahu disuarakan, jelas menunjukkan bahawa beliau mahu membela nasib kaum India namun perlu dilihat juga kesan baik dan buruk sekiranya ICERD itu dilaksana di Malaysia di mana pelaksanaan tersebut memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Walaupun rakaman tersebut dirakam 10 tahun yang lalu, wajarkah Waytha Moorthy didakwa di bawah SOSMA?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN