Isu peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada setiap ahli parlimen (MP) pembangkang dan kerajaan dengan jumlah yang berbeza-beza terus mendapat kritikan. Perkara ini telah dibangkitkan oleh ahli Parlimen Pasir Gudang dari Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim.
Dibangkitkan oleh MP Pasir Gudang
Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, beliau telah meminta pihak kerajaan bersifat adil dan saksama dengan mempertimbangkan semula peruntukan yang diberikan. Ini kerana peruntukan yang diberikan adalah tidak adil kepada MP pembangkang.
Ketika ini MP pembangkang hanya menerima peruntukan sebanyak RM100,000 berbanding MP kerajaan yang menerima peruntukan sebanyak RM500,000. Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada bulan Jun tahun lalu.
Pertama Kali Diberikan Berbanding Kerajaan Terdahulu
Pemberian peruntukan kepada MP pembangkang merupakan pertama kali dilakukan oleh kerajaan Persekutuan selepas pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada PH.
Sungguhpun pemberian itu merupakan suatu tanda positif yang dilakukan oleh kerajaan PH, namun jumlah yang diberikan kepada MP pembangkang masih tidak adil. Ini kerana peruntukan yang diberikan kepada MP kerajaan adalah empat kali ganda lebih besar berbanding MP pembangkang.
Tindakan ini bukan sahaja tidak adil kepada pembangkang tetapi memangsakan pengundi PH di parlimen milik pembangkang. Sudah tentu kebajikan rakyat setempat terencat. Persoalannya sampai bila rakyat perlu dijadikan mangsa dalam percaturan politik sebegini?
Kritikan Awal Disuarakan MP BN
Isu ini bukan pertama kali disuarakan. Pada awal Jun tahun lalu, ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong dari BN mempertikaikan jumlah peruntukan berbeza yang disalurkan oleh kerajaan kepada ahli parlimen pembangkang dan kerajaan.
Beliau menambah, peruntukan yang diberikan kepada pembangkang tidak sampai pun 50 peratus daripada apa yang diterima oleh anggota parlimen pemerintah.
MP Kerajaan Turut Tidak Bersetuju
Selain ahli parlimen BN, bantahan sama turut disuarakan oleh ahli parlimen kerajaan pada tahun lalu. Berdasarkan laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa kerajaan memberi peruntukan yang sama rata kepada MP pembangkang dan MP kerajaan.
Charles berkata, sekiranya kerajaan mahukan pembangkan yang kuat dan cekap untuk mengimbangi pemerintah, peruntukan yang saksama perlu diberikan. Ini kerana rakyatlah yang akan menerima manfaat dan seterusnya mampu mempromosikan kepentingan rakyat.
NGO Bangkitkan Isu Sama
Selain MP, kritikan sama turut disuarakan oleh sebuah NGO pro-reformasi, Engage pada tahun lalu. Pengerusinya, Thomas Fann berkata, PH perlu melihat kembali janji ke-16 dalam manifestonya iaitu memberi peruntukan kepada semua ahli parlimen berdasarkan formula yang telus.
Beliau menambah, layanan sama rata sepatutnya diberikan kepada setiap ahli parlimen tanpa mengira pegangan politik sesuai dengan kedudukan mereka. Tambahan pula mereka telah pun dipilih oleh rakyat secara demokrasi di kawasan masing-masing untuk mewakili mereka.
Maka, kerajaan sewajarnya menitikberatkan aspek keadilan dan kesaksamaan seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 8. Di era Malaysia Baru, keadilan harus diberikan kepada semua pihak tanpa memikirkan pegangan politik.
KATA ORANG
Seharusnya begitu...itu baru Msia Baharu
— Mohan 1967 (@1967_mohan) April 3, 2019
tahukah dikau ketua pemuda yg nampak alim. dulu peruntukan utk MP pembangkang, dulu BN sekat sesen pun x dpt. mana suara dan hadis mu masa tu?
— Le Ajip (@ajipkasa) June 29, 2018
Politik dendam @ahmadmaslan?? Haprak statement punya MP Pontian?
— mohammad 🇲🇾 (@bintang_langit2) June 10, 2018
Jika dendam takdelah kerajaan PH skrg nak bg peruntukan pada MP pembangkang..
BN berkuasa dulo2 ada bagi MP pembangkang peruntukan tak?
Jgn serlah sgt "SIKAP BODOH".
😎 https://t.co/q0ObLaKPtG
Yup. Bukan dakwaan. Isu pemberian peruntukan adalah contoh. Tanpa pemberian 1 sen pun untuk MP yang menang walau pembangkang, adalah zalim. Bab PH tak bagi sama, yang itu sila kritik. 👍
— Aliff Basri (@aliff_basri) June 8, 2018