Semalam, Istana Kelantan telah menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) daripada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkuat kuasa 2 April lalu.
Penarikan tersebut menyebabkan Abdul Azeez tidak boleh lagi menggunakan gelaran ‘Datuk’ dan apa-apa kuasa atau perkara yang berkaitan dengan anugerah Darjah Kebesaran itu.
Walaupun surat tersebut tidak menyatakan sebab tauliah berkenaan ditarik balik namun ada kemungkinan penarikan itu bersangkut paut dengan isu yang pernah terpalit pada Abdul Azeez sebelum ini.
Sebab Sultan Beri Darjah Kebesaran Pada Seseorang
Bukan calang-calang orang sebenarnya boleh mendapat gelaran Datuk atau Datuk Seri ini kerana setiap calon itu akan dilihat dari segi kredibiliti serta sumbangan yang diberikan kepada negara.
Sebelum gelaran pangkat Datuk mahupun Datuk Seri diberikan, soal jasa dan khidmat cemerlang seseorang itu biasanya menjadi tumpuan kriteria kenapa seseorang itu dianugerahi dengan bintang kebesaran.
Dalam hal ini, kriteria ‘jasa dan khidmat’ seseorang Datuk atau Datuk Seri amat perlu dihalusi yang mana panel penilai dan penyiasat harus menyelidik terlebih dahulu sahsiah yang baik dan cemerlang seseorang itu.
Selesai sahaja penilaian dibuat, seseorang itu akan dinilai sama ada benar-benar layak atau tidak untuk diberikan darjah kebesaran daripada aktiviti serta sumbangan yang telah diberikan tidak kira dalam dunia seni, politik dan sebagainya.
Boleh Ditarik Sekiranya Terlibat Salah Laku, Sabitan Jenayah
Biarpun darjah kebesaran itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap jasa, khidmat, kecemerlangan, sumbangan kepakaran kepada negara dan negeri, namun darjah tersebut boleh ditarik balik kepada mana-mana individu yang dikurniakan.
Tetapi atas mestilah atas alasan tertentu yang melibatkan salah laku, sabitan jenayah atau perbuatan tidak sopan yang menghina Raja, negeri atau masyarakat secara amnya.
Bukan itu sahaja, sekiranya seseorang individu itu telah disabit jenayah Kanun Keseksaan atau disabit mana-mana undang lain, Sultan sama sekali wajar menarik balik semua darjah kebesaran individu terbabit mengikut fungsi mutlak pihak Di Raja.
Dalam hal ini, sekiranya seseorang Raja Melayu atau Sultan itu berpendapat bahawa seseorang individu yang sudah diberikan gelaran itu telah mencabul atau mencemar nama baik anugerah, maka arahan penarikan itu hendaklah dipatuhi.
Selain itu, sekiranya penerima darjah itu menjadi penjenayah atau di sabit kelakuan curang atau membuat penghinaan secara terang-terangan, proses menarik balik anugerah itu mesti dilakukan.
Kes Yang Terpalit Abdul Azeez
Bila sebut nama Abdul Azeez, siapa sahaja yang tidak mengenali beliau.
Sebelum ini beliau merupakan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang terpalit dengan kontroversi menyalah guna wang pendeposit menerusi Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 , bagaimanapun beliau menafikan tuduhan itu.
Beliau yang merupakan Anggota Parlimen Baling itu juga terpalit tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta, berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan hampir RM140 juta.
Sementara itu, abang Abdul Azeez iaitu Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, pula didakwa atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan menaik taraf jalan raya.
Menjadi Kesalahan Sekiranya Individu Terbabit Masih Mengguna Pakai Gelaran Yang Telah Ditarik
Sekiranya penarikan darjah kebesaran telah dibuat tetapi individu terbabit didapati masih menggunakan gelaran tersebut, tindakan itu menjadi suatu kesalahan mengikut Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salahguna) (Pindaan) 2015 diwartakan kerajaan negeri pada 27 Ogos 2015.
Enakmen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun bagi mana-mana orang yang menggunakan apa-apa Darjah, Tanda Kebesaran, Pingat, Lambang dan Bintang Kebesaran yang pernah dikurniakan oleh Sultan yang sudah ditarik balik oleh Baginda.
Selain itu, Enakmen itu juga memberi kuasa kepada polis untuk membuat penyiasatan di bawah enakmen terbabit termasuk kuasa memasuki premis dan menggeledah serta menyita apa-apa keterangan atau barang kes yang disyaki berkait dengan kesalahan di bawah enakmen ini.
KATA ORANG
Betul juga tu ... org Melayu yg merosakan TH harus dihukum dgn segala hukuman ... memang tak laysklah bergelar kalau merosakan satu- satu institusi orang ISLAM
— Idris (@Idris70831912) April 11, 2019
Itu baru Sultan tarik balik darjah kebesaran belum Tuhan tarik nyawa lagi. Lepas tu takde pulak rasa bersalah langsung.
— 𝗜 𝗗 𝗟 𝗔 𝗡 𝗠 𝗔 𝗡 𝗦 𝗨 𝗥™ (@idlnmnsr) April 11, 2019
Rasuah kuat ... masjid baru Baling tak siap2 lagi tapi kubahnya entah ke mana 😂😂
— FirdausRaziki90 (@14M_FirdausXIV) April 11, 2019
Tahniah kerajaan Kelantan. Darjah kebesaran untuk penipu2 ini wajib ditarik balik. Tahniah MB Kelantan kerana menasihati raja dengan betul. https://t.co/fKzFmU66P3
— khalid Ismath (@khalidismath) April 11, 2019