Semalam semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mencadangkan agar cawangan parti politik ditubuhkan di Universiti Awam (UA) apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda.

Maszlee berkata, pindaan tersebut sejajar dengan langkah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang akan dicadangkan dalam tempoh terdekat.

Tambah Maszlee, apabila penurunan had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan akta AUKU dipinda, cawangan parti politik akan ditubuh di UA seperti Kelab Mahasiswa Barisan Nasional (BN), Kelab Pakatan Harapan, Kelab Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan kelab-kelab lain bagi memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik dan mengundi tanpa sebarang sekatan.

Katanya, penubuhan cawangan parti politik tersebut hanya terpakai di UA yang tertakluk kepada AUKU sahaja.

Bagaimanapun, cadangan yang dibuat Maszlee itu terus menjadi bualan hangat masyarakat dengan ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang membantahnya.

 

Apa Itu AUKU 1971?

Sumber: Critical Legal Thinking

Bagi anda yang masih bergelar mahasiswa di peringkat kolej mahupun universiti, sudah pasti anda tahu mengenai AUKU yang mana akta tersebut dikuatkuasa di beberapa buah UA untuk mengekang pelajar mereka daripada bersuara dan mengadakan aktiviti berkaitan politik.

Jika dahulu, sebelum kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, ramai pemimpin politik muda dilihat menentang akta tersebut sehingga menjadi salah satu isu hangat dalam manifesto pendidikan mereka.

Bagi anda yang masih lagi samar-samar mengenai AUKU, ia adalah sebahagian akta yang berada di bawah kuasa Kementerian Pendidikan untuk mengawal soal pentadbiran dan perjalanan universiti agar lebih teratur.

Namun, sebahagian daripada dasar AUKU tersebut sebenarnya menghalang pelajar membabitkan diri dengan parti politik, persatuan sekerja dan penggabungan badan-badan pelajar yang lain.

Sumber Free Malaysia Today

Disebabkan itulah sehingga kini, ramai mahasiswa Malaysia membangkitkan kemarahan mereka apabila mendakwa AUKU menyekat kebebasan mereka untuk bersuara dan didengari oleh kerajaan.

Ia juga menjadi punca hilangnya kuasa autonomi pihak universiti dalam membuat keputusan tertentu yang akhirnya menimbulkan ketidakadilan terhadap pelajar universiti secara amnya.

 

AUKU Pernah Dipinda Pada 2012

Buat kali pertama pada tahun 2012, AUKU telah dipinda oleh Datuk Saifuddin Abdullah yang ketika itu menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Pindaan terhadap akta tersebut menyebabkan beberapa syarat baru dikenakan terhadap mahasiswa di mana hanya pelajar yang cemerlang di dalam akademik sahaja dibenarkan terlibat dalam apa jua persatuan termasuk parti politik ketika di luar kampus.

Walaupun akta tersebut dipinda, mahasiswa di Malaysia masih lagi merasakan diri mereka dikekang untuk bersuara kerana masih wujud unsur diskriminasi terhadap mahasiswa dalam memberi sokongan terhadap parti politik yang lain selain dari parti kerajaan.

Di Malaysia, akta tersebut dikuatkuasa kepada semua UA kecuali Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Unuversiti Islam Antarabangsa (UIA) di mana kedua-dua universiti ini tidak tertakluk kepada AUKU.

 

Adakah Mahasiswa di Malaysia Bersedia Memegang Kuasa Kebebasan Berpolitik?

Sumber: Smasanews.com

Melihat kepada beberapa komen yang dilontarkan netizen, rata-rata netizen melahirkan rasa bimbang sekiranya cawangan parti politik dibenarkan masuk ke dalam universiti yang dilihat bakal menjejaskan pengajian serta hubungan sesama mahasiswa dan ahli akademik.

Ini kerana, pentadbiran universiti mahupun ahli akademik seperti pensyarah sememangnya tidak dibenarkan untuk berpolitik kerana tumpuan mereka adalah untuk menguruskan pelajar dan bukannya diarah oleh mana-mana ahli politik.

Dalam perkara ini, ia berbeza pula sekiranya mahasiswa tidak diberikan ruang untuk berpolitik, ianya bakal membantutkan proses pembentukan demokasi yang berjaya seperti negara maju yang lain.

Sumber: Perak Today

Jika sebelum ini mereka merasakan suara mereka tidak didengari, kini apabila kerajaan bercadang untuk meminda akta AUKU dan membawa cawangan parti politik di universiti, berkemungkinan besar ia bakal mengubah keseluruhan ekosistem sesuatu universiti tersebut.

Namun persoalannya kini, adakah mahasiswa di Malaysia bersedia untuk menerima perubahan ini di dalam kampus mereka?

Kita tengok sahaja apa keputusan yang bakal dibuat oleh Maszlee yang pastinya ditunggu-tunggu buat semua mahasiswa di UA untuk kembali bersuara dalam politik yang matang dan sihat.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah cawangan parti politik dibenarkan masuk ke dalam Universiti Awam?
5 votes · 5 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN