Sepertimana yang kita tahu, di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kerajaan baharu menyatakan akan menghapuskan beberapa akta termasuklah Akta Hasutan 1948.

Baru-baru ini juga, isu mengenai pemansuhan akta tersebut telah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana kerajaan masih memerlukan masa untuk menghapuskan akta itu dan ianya perlu dibawa ke Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Jelas beliau, buat masa ini undang-undang tersebut masih diguna pakai dan kerajaan memerlukan majoriti dua pertiga sebelum dapat memansuhkan akta ini atau sebarang undang-undang lain yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini juga, beberapa ahli politik daripada kerajaan terdahulu pernah mengesyorkan hasrat mereka untuk turut sama memansuhkan akta ini yang dilihat terlalu meluas dan tidak jelas dari segi makna ‘hasutan’ itu sendiri.

Walaubagaimanapun, isu untuk memansuhkan akta ini terus menjadi bualan masyarakat dengan ada yang menyokong pemansuhannya dan tidak kurang juga yang membantahnya demi memelihara keamanan negara.

 

Apa itu Akta Hasutan 1948?

Sumber: Buletin Dunia

Akta Hasutan 1948 merupakan antara akta kuno yang sudah lama dikuatkuasakan di Malaysia ketika era penjajahan British lagi.

Akta ini dikuatkuasakan bagi mengawal ancaman komunis setelah darurat diistiharkan serta menghalang individu luar yang membuat cubaan menghalang tuntutan kemerdekaan.

Namun, selepas negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, akta ini terus dikekalkan dan ditambahbaik setelah berlakunya ketegangan kaum pada 13 Mei 1969.

Sehingga kini, akta ini sering kali dikritik pelbagai pihak yang mana ianya dikatakan menyekat kebebasan bersuara.

Sumber: Astro Awani

Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan sudah pasti rakyat memerlukan akta ini sekiranya terdapat hasutan dari luar yang cuba mengapi-apikan permusuhan kaum mahupun agama.

Akta ini sememangnya digunapakai sejak Malaysia mencapai kemerdekaan dan ianya bukan sekadar menjaga hubungan kaum sahaja.

Malah, mana-mana individu yang bersuara untuk membawa kepada perpecahan Persekutuan Malaysia juga bakal diambil tindakan di bawah akta ini.

Walaupun akta ini masih kurang jelas, namun ianya masih perlu dikuatkuasakan melalui beberapa pindaan dan ada juga yang mahu kerajaan mewujudkan akta lain yang turut sama mempunyai kaitan dengan akta ini seperti Akta Keharmonian Kaum serta Akta Kebencian Agama dan Kaum tidak lama lagi.

Ramai juga berpendapat bahawa akta ini menyebabkan rakyat tidak boleh mengkritik kerajaan dan ianya perlu dimansuh demi menyediakan ruang yang lebih luas kepada rakyat untuk bersuara.

 

Sejauh Manakah Relevannya Akta Ini?

Walaupun masih tidak jelas, akta ini sememangnya relevan untuk negara Malaysia yang mempunyai rakyat berbilang kaum.

Jika dilihat dalam keadaan semasa sekarang ini, adakah kita pasti hasutan tidak akan berlaku di dalam kaum?

Sumber: Ammbi.com

Lihat saja insiden di Plaza Low Yat baru-baru ini di mana berlaku rusuhan kaum di antara Melayu dan Cina. Kita pasti tidak mahu kejadian sebegitu berulang kembali bukan?

Akta ini dikuatkuasakan bertujuan mengekalkan keharmonian dan menjaga sensitiviti pelbagai kaum di negara.

Di bawah akta ini juga memperuntukkan mana-mana individu yang bersalah akan menerima hukuman minimum selama lima tahun dan maksimum penjara selama 20 tahun serta tiada jaminan bagi mereka yang dituduh.

Pindaan menyebut, dalam seksyen 5A, pihak yang dituduh bawah Seksyen 4(1), tidak dibenar bebas dengan ikat jamin tanpa pengakuan.

Pindaan lain yang dibuat pada akta itu juga termasuk hukuman yang tinggi dikenakan kepada kesalahan hasutan yang melibatkan kecederaan tubuh badan dan kerosakan harta benda.

Sumber: Parpukari.blogspot.com

Dalam akta ini, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd. Halim pernah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah.

Namun begitu, akta hasutan ini juga terdedah kepada salah guna terhadap mereka yang sengaja menimbulkan isu perkauman dan agama menerusi media sosial.

Dengan pelbagai kaedah teknologi yang ada ketika ini, ramai individu dilihat bebas mengkritik serta menghina seseorang di media sosial tanpa batasan.

Apa yang membimbangkan ketika ini, ada juga sesetengah individu yang melakukan tindakan berani dengan menghina Raja-Raja Melayu mahupun Agong di media sosial.

Setakat ini, Malaysia merekodkan sebanyak 20.62 juta pemilik akaun Facebook dan sememangnya memerlukan pemantauan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Peguam Negara bagi kes melibatkan kesalahan salah guna Internet ini.

 

Kes Akta Hasutan Yang Dikenakan Terhadap Beberapa Pemimpin

Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyuarakan pendapatnya mengenai Akta Hasutan yang digunakan secara selektif dan jelas bertentangan dengan proses demokrasi.

Dalam perkara ini, akta hasutan seharusnya digunakan dengan cara yang betul dan bukan menjadikan sebagai alat untuk mendakwa seseorang.

Malah ingin diingatkan juga, setiap individu mempunyai hak bersuara dan pendapat mereka tidak boleh dianggap sebagai hasutan.

Beberapa ahli parlimen dan pemimpin pembangkang terdahulu juga tidak terkecuali untuk disabitkan kesalahan di bawah akta ini yang dianggap telah disalah guna terhadap mereka termasuklah beberapa pemimpin Keadilan, Rafizi Ramli, N. Surendran , Nik Nazmi Nik Ahmad, Teresa Kok, Tian Chua, Khalid Samad , R.S.N. Rayer, Nga Kor Ming dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah relevan akta ini untuk dimansuhkan?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN