Sehingga ke hari ini, satu demi satu pendedahan dilakukan ke atas Lembaga Tabung Haji (TH) daripada aspek pengurusan kewangan, pelaburan dan tadbir urus yang dipertikaikan.

Sumber: Astro Awani

Malah, konflik yang dihadapi TH menjadi lebih kritikal selepas institusi tersebut membuat dua laporan polis melibatkan beberapa bekas pengurusan kanannya iaitu bekas Pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Menurut TH, laporan tersebut dibuat selepas dana berjumlah lebih daripada RM22 juta dikeluarkan dari Program Yayasan Tabung Haji dan digunakan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Dalam masa yang sama, laporan tersebut turut dibuat berhubung salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting melibatkan penjualan saham TH pada 2012.

Selain itu, TH juga dilaporkan kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding asetnya sejak 2017 dan disusuli pendedahan lain antaranya hibah dibayar menggunakan simpanan pendeposit.

Disebabkan konflik serius yang berlaku itu, ramai pihak terutama pemimpin tertinggi mencadangkan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kedudukan dan kewangan TH ketika ini.

 

Wajarkah TH Diletak Di Bawah Seliaan Bank Negara?

Sumber: Free Malaysia Today

Semalam, Kabinet telah memutuskan untuk meletakkan TH di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) mulai Januari depan.

Keputusan yang dibuat itu rata-ratanya disambut baik beberapa pemimpin politik termasuk Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang menyokong keputusan kerajaan itu.

Sumber: The Star

Selain itu, netizen di media sosial juga dilihat turut sama menyambut baik langkah kerajaan bagi menambaik tadbir urus organisasi TH selain menjamin kedudukan keselamatannya juga.

Mana tidaknya, sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah sebegini, berkemungkinan besar ia akan memberi risiko untuk pendeposit menutup serta mengeluarkan wang simpanan mereka untuk diletakkan di bank lain selepas mendapati terdapat isu penyelewengan di dalam TH.

Sumber: Sinar Harian

Adalah tidak wajar sekiranya ada pendeposit mengeluarkan wang simpanan mereka dari TH memandangkan agensi itu diyakini membantu umat Islam dalam urusan mengerjakan haji dan umrah berbanding agensi luar.

Namun, isunya di sini, apabila BNM mengawal selia TH, adakah tidak akan berlaku kepincangan di dalam organisasi agensi itu memandangkan agensi itu sendiri mampu mengelolakan kewangannya sendiri yang hanya memerlukan penambahbaikan?

Pada masa yang sama, mungkin tindakan untuk meletakkan TH di bawah seliaan BNM itu adalah untuk pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

 

Tindakan Harus Diambil Kepada Individu Yang Seleweng Duit TH

Melihat kepada apa yang berlaku di dalam agensi itu, mana-mana individu yang didapati bersalah dengan isu penyelewengan di dalam TH perlu segera dihadapkan ke muka pengadilan.

Perkara ini perlu segera diselesaikan segera memandangkan isu dalaman yang berlaku di dalam TH telah memberi banyak kerisauan kepada semua pihak.

Sumber: The Edge Markets

Malah, Anwar Ibrahim juga menyuarakan pendapatnya agar pihak pengurusan yang menyeleweng dana TH itu dihadapkan ke muka pengadilan kerana pengurusan agensi itu yang telah merosakkan dan mengkhianati amanah.

Namun, kepincangan yang berlaku di dalam pengurusan TH ini pastinya bukan disebabkan sistem pengurusannya tetapi disebabkan salah guna kuasa beberapa bekas serta individu di dalam agensi tersebut.

Diharap, selepas BNM mengawal selia TH, ia dapat menyelamatkan semula agensi tersebut yang merupakan satu institusi penting dalam negara kita.

Kronologi Membabitkan Kontroversi Yang Berlaku Dalam TH:

-30 November 2018

TH membuat dua laporan polis melibatkan beberapa bekas pengurusan kanannya.

Antaranya melibatkan bekas Pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Laporan dibuat melibatkan dana berjumlah lebih daripada RM22 juta dikeluarkan dari Program Yayasan Tabung Haji dan digunakan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Turut sama dibuat, salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting melibatkan penjualan saham TH pada 2012.

-1 Disember 2018

Polis sahkan menerima dua laporan yang dibuat TH membabitkan salah guna kuasa yang dilakukan pemimpin terdahulu organisasi itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika itu berkata, setakat ini pihaknya membuat kertas siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-2 Disember 2018

Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan penyelewengan terutama jika ia melibatkan wang rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yakin pihak berkuasa akan bertindak mengikut undang-undang.

-3 Disember 2018

Akhbar Sunday Times melaporkan, TH kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding asetnya sejak tahun 2017 yang mana angka tersebut dipetik melalui penyata kewangan TH bagi tahun 2016.

Laporan itu mendakwa, jurang kekurangan tersebut mungkin lebih besar bagi tahun 2017, dan 2018.

Untuk tahun 2016, aset TH dinyatakan berjumlah RM63.6 bilion berbanding wang pendepositnya sebanyak RM67.7 bilion.

-3 Disember 2018

Bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan Lembaga TH tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) institusi Islam.

Katanya, TH harus menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu dengan memanggil beliau untuk mendapatkan penjelasan dan bukannya terus membuat laporan polis tanpa mengetahui perkara sebenar susulan dakwaan RM22 juta telah digunakan untuk aktiviti berkaitan politik.

Menurut Abdul Azeez, dana RM22 juta yang digunakan untuk program ‘Ziarah Kasih’, ‘Jom Bantu Rakyat’ dan ‘Ziarah Kasih Ramadhan’ adalah untuk membantu ibu tunggal miskin di lebih 60 kawasan Parlimen tanpa mengira fahaman parti.

Katanya lagi, dana tersebut bukan wang daripada pendeposit TH tetapi sebahagiannya adalah hasil daripada keuntungan pelaburan TH itu sendiri yang berjumlah RM7 juta.

-4 Disember 2018

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyiasat dua laporan polis dibuat TH pada 30 Nov lalu.

-11 Disember 2018

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengadakan sidang media mengenai pendedahan dan laporan prestasi TH.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah kerajaan meletakkan Tabung Haji di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM)?
5 votes · 5 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN