Ianya mungkin kedengaran agak pelik, namun adakah anda tahu bahawa tarikh 20 Ogos telah ditetapkan sebagai Hari Nyamuk Sedunia?

Sumber: http://gayahidup.dreamers.id

Mesti timbul persoalan di fikiran anda mengapa kita menyambut Hari Nyamuk Sedunia, bukan?

Bila dengar sambutan Hari Nyamuk Sedunia ini, ianya seakan-akan seperti nak menyambut kehadiran nyamuk pula.

Tetapi, sambutan ini tidaklah seperti yang disangka kerana tujuan sebenar sambutan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai nyamuk dan penyakit denggi itu sendiri.

 

Mengapa Ia Disambut?

Sumber: Astro Awani

Diikutkan sejarah awal, sambutan ini disambut bersempena dengan penemuan penting dari Dr. Ronald Ross pada tahun 1897 mengenai Nyamuk Anopheles betina yang merupakan punca penyakit malaria antara manusia.

Penemuan Ross sangat berharga, kerana pada masa itu tiada siapa yang tahu bahawa nyamuk boleh menjadi perantara untuk menghantar penyakit malaria.

Malah, pada masa itu malaria menjadi ‘pembunuh’ utama di negara-negara tropika dan sederhana.

Sehinggga ke hari ini, masyarakat dunia menyambut Hari Nyamuk Sedunia sebagai salah satu kesedaran tentang pencegahan penyakit bawaan nyamuk seperti malaria, zika dan demam denggi.

 

Tanda-Tanda Demam Denggi

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Kebiasaannya demam akan terjadi pada hari ke tiga (3) hingga ke empat belas (14) selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti, kebiasaannya di antara 4 hingga 7 hari.

Selalunya ia akan bermula dengan demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk/kuat, sakit pada bahagian belakang mata serta otot-otot dan sendi-sendi. Ruam merah di kulit juga boleh terjadi.

Demam ini boleh mencapai suhu 40 – 41 C, dan selalunya akan berlarutan selama 2 hingga 7 hari. Ia juga boleh menyebabkan serangan sawan dikalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot dan sendi-sendi. Demam denggi ini juga dikenali sebagai “breakbone fever”.

Ruam selalunya akan tumbuh pada hari ke 3 dan 4 selepas bermulanya demam, muntah dan kurang selera makan.

 

Apa Akan Jadi Sekiranya Tidak Dirawat?

Sumber: mStar

Mereka yang pernah mengalami demam denggi pasti tahu betapa deritanya kerana ada juga yang mengatakan seperti hampir hilang nyawa.

Mana tidaknya, tidak boleh tidur, jika bangun sendi terasa sakit dan selera makan turun mendadak.

Paling merisaukan pesakit hanya bergantung pada antibodi untuk melawan virus penyebab denggi yang mengambil masa agak lama dan air sentiasa diperlukan bagi memastikan badan tidak terhidrasi.

Lebih membimbangkan, denggi yang teruk boleh mengakibatkan kerosakan organ, pendarahan teruk, dehidrasi, malah maut sekiranya tidak dirawat segera.

 

Golongan Yang Biasa Diserang Denggi

Antara golongan yang berisiko mendapat komplikasi lebih teruk sekiranya dijangkiti virus terbabit ialah penghidap kencing manis, tekanan darah tinggi, pesakit jantung, obesiti dan mereka yang mempunyai sistem imun rendah termasuk kanak-kanak.

Sumber: https://www.hipwee.com

Bukan itu sahaja, mengikut Ahli Entomologi Perubatan dari University of Florida, Amerika Syarikat mengatakan bahawa jenis darah O menarik lebih banyak nyamuk daripada jenis darah lain.

Orang yang menghembus nafas lebih kerap dan mempunyai tubuh yang besar juga antara yang disukai nyamuk.

Pakaian berwarna gelap juga antara salah satu punca tarikan utama nyamuk memandangkan warna gelap dilihat lebih menonjol.

 

Antara Negeri Tertinggi Kes Denggi

Tahukah anda, mengikut data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit denggi telah meragut sebanyak 71 nyawa sejak 1 Januari hingga 4 Mei 2019.

Dalam data itu, jumlah kes denggi pula terus meningkat iaitu sebanyak 46,607 di seluruh negara antara 1 Januari hingga 11 Mei 2019.

Daripada data dikongsikan KKM, enam negeri catat kes denggi tertinggi iaitu Selangor mencatatkan kedudukan pertama dengan rekod tertinggi sebanyak 27,172 kes.

Kuala Lumpur pula mencatatkan kedudukan kedua yang melibatkan 4,124 kes, Johor (3,641), Pulau Pinang (2,507), Sabah (2,092) manakala Kelantan (1,391) kes.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda pertama kali dengar mengenai sambutan Hari Nyamuk Sedunia ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN