Mungkin masih ramai yang beranggapan bahawa dialek Melayu Patani sama sahaja seperti dialek Melayu di negeri Kelantan. Ia memandangkan kedudukan geografi antara kedua-dua negeri tidak jauh berbeza, malah dikelaskan sebagai bahasa slang yang sama. Malah, persamaan antara dialek Melayu Patani dengan dialek Melayu Kelantan hampir 90 peratus.

Hakikatnya, terdapat perbezaan antara kedua-dua dialek negeri tersebut. Bagi masyarakat Kelantan, tidak ada masalah membezakan dialek mereka dengan Patani memandangkan ia sebutan harian, tetapi bagi orang dari negeri lain sudah tentunya sukar. Lebih-lebih lagi faktor geografi Patani yang terletak di dalam negara Thailand.

Lenggok Bahasa Yang Lembut

Berdasarkan video yang tular, dapat dilihat perbezaan jelas antara dialek Melayu Patani dan dialek Melayu Kelantan dari segi intonasi suara dan cara sebutan. Boleh dikatakan dialek Melayu Patani mempunyai irama dengan kelembutan lenggok bahasa tersendiri persis percakapan bahasa Siam ekoran pengaruh bahasa Siam di sana.

 

Bagi kita, mungkin penggunaan istilah-istilah yang digunakan tersebut tidak formal kerana terdapat campuran bahasa pasar, namun ia merupakan suatu permulaan yang baik untuk memartabatkan bahasa di sana.

Nasib Bahasa Melayu Di Selatan Thai Terpelihara

Kewujudan Berita Thailand versi dialek Melayu Patani seakan memberi petanda positif tentang nasib bahasa Melayu di sana yang kian merosot. Ia ekoran dasar ‘mensiamkan’ penduduk sebelum ini dengan menjadikan Bahasa Thailand sebagai bahasa rasmi dalam bidang pendidikan, peluang pekerjaan dan segala urusan di premis-premis kerajaan.

Sumber: Dangerofpatani

Disebabkan itu, bahasa Melayu dialek Patani semakin lama semakin merosot penguasaannya di kalangan penduduk setempat kerana kurangnya nilai ekonomi sehingga ada generasi berikutnya tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, dasar-dasar kerajaan Siam sudah mulai lembut terhadap masyarakat di selatan negara itu. Selain berita, beberapa siaran radio di wilayah-wilayah selatan negara tersebut sudah  membenarkan siaran berita berbahasa Melayu dalam beberapa jam tertentu.

Sumber: Amanpattani

Memetik laporan daripada dimensinews, bahasa Melayu telah diletakkan sebagai syarat wajib lulus bagi universiti di selatan Thailand iaitu University Thaksin dan Prince of Songkhla University. Universiti tersebut turut menggalakkan program latihan industri diadakan di Malaysia bagi memperkasakan bahasa Melayu.

Mengekalkan Jati Diri

Langkah ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan mengambil hati masyarakat setempat selepas berlaku konflik politik lebih sedekad lalu yang menyebabkan wujudnya gerakan pemisah.

Dalam masa yang sama, langkah ini bertujuan mengekalkan jati diri masyarakat Melayu kerana bahasa tersebut pernah menjadi bahasa rasmi pemerintahan Kesultanan Melayu Patani pada suatu ketika dahulu.

Kita mengharapkan agar lebih banyak lagi siaran-siaran Berita Thailand versi dialek Melayu lain seperti dialek Melayu Reman dan Setul dibuka bagi memastikan nasib bahasa Melayu khususnya dialek-dialek tempatan dapat dipertahankan di Thailand.

KATA ORANG

KATA ANDA

Anda pernah mendengar dialek Melayu Patani ?
16 votes · 16 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN