Lazim kita semua tahu bahawa bendera adalah lambang kebanggaan dan kemegahan bagi identiti sesebuah institusi, kerajaan atau negara.

Namun, masih terdapat individu yang tidak menghormati Jalur Gemilang sehingga sanggup menukar warna jalur putih kepada warna hitam.

Sumber: Malaysiagazette.com

Semalam, seorang pengerusi sebuah syarikat ternama didakwa telah menukar warna jalur putih yang terdapat pada Jalur Gemilang kepada warna hitam gara-gara tidak berpuas hati terhadap pelaksanaan pengajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook, lelaki tersebut sempat menjelaskan warna hitam pada jalur gemilang yang ditukar olehnya itu adalah hasil inspirasi daripada warna yang diambil dari warna kasut hitam yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan.

Malah, dia juga turut mempertikaikan pihak kerajaan yang dilihat lebih mengutamakan pelaksanaan tulisan Jawi berbanding memberi keutamaan terhadap kes kontroversi melibatkan ahli perniagaan, Jho Low dan juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.

Bagaimanapun hasil carian yang dilakukan di Facebook, lelaki tersebut telah memadam hantarannya namun tulisan berhubung isu tersebut masih boleh dibaca di laman web peribadinya. 

 

Undang Kemarahan Netizen

Berikutan hantaran lelaki ini, ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan yang dianggap sangat biadap dan dilihat terlalu melampaui batas.

Tidak kurang juga, terdapat sesetengah netizen yang mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap lelaki tersebut yang secara jelas telah mempersenda dan tidak menghormati bendera negara.

Bukan setakat menukar warna Jalur Gemilang sahaja, malah sebelum ini juga terdapat individu yang dilihat secara sengaja memasang bendera secara terbalik hanya disebabkan oleh kebencian politik. Sedangkan, lambang negara itu tidak ada kena mengena langsung dengan soal politik kepartian.

 

Individu Boleh Didakwa

Di negara kita, terdapat  beberapa akta yang boleh digunakan ke atas mereka yang menghina Jalur Gemilang iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Gambar sekadar hiasan

Akta itu diwujudkan untuk mengawal penggunaan Lambang-Lambang Kebangsaan. Berdasarkan Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, seseorang yang menjual atau menggunakan Jalur Gemilang atau apa-apa tiruan yang serupa dengannya bagi tujuan perdagangan dan perniagaan atau menggunakannya di dalam cap dagangan tanpa mendapat keizinan bertulis menteri boleh didakwa.

Selain itu, berdasarkan Akta A1525 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan 2017) pada Fasal 2 berkaitan penggantian Seksyen 5 bagi Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) menetapkan jika disabitkan kesalahan seperti di bawah Seksyen 3, maka seseorang itu boleh dikenakan denda sehingga RM12,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Gambar sekadar hiasan

Bagaimanapun, pindaan itu difahamkan masih belum dikuatkuasakan lagi. Justeru, denda tidak melebihi RM1,000 akan dikenakan bagi mana-mana individu yang melanggar seksyen akta terbabit masih terpakai.

Selain itu, Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948 juga ada memperuntukkan hukuman berkaitan kesalahan menghina lambang kebangsaan. Pada tahun 2013, kerajaan cuba memperkenalkan kesalahan berkaitan bendera kebangsaan melalui Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013.

Malah, di dalam fasal 5 rang undang-undang itu antara lain menggariskan hukuman penjara mandatori 15 tahun dan denda untuk kesalahan memijak Jalur Gemilang atau apa-apa bendera negara lain dengan niat untuk menghina. Bagaimanapun, fasal terbabit digugurkan daripada rang undang-undang selepas ia dibahaskan pada bacaan kali kedua.

 

Wajarkah Akta Khusus Berkaitan Jalur Gemilang Diwujudkan? 

Sumber: Carian Internet

Setelah mengambil kira kes-kes yang pernah berlaku yang melibatkan Jalur Gemilang dipijak, dibakar dan ditukar warna, negara kita perlu mempunyai akta khusus berkaitan bendera kebangsaan. 

Lihat sahaja negara Amerika Syarikat, India, Singapura dan beberapa negara lain, mereka sama sekali mempunyai akta khusus bagi kesalahan berkaitan bendera kebangsaan mereka.

Ketika ini, kita sudah ada undang-undang mengenai lagu kebangsaan, Akta Lagu Kebangsaan 1968, di mana kesalahan termasuk gagal berdiri ketika lagu Negaraku berkumandang boleh membawa denda RM100 atau sebulan penjara. Tetapi, mengapa tidak kita adakan undang-undang khusus bagi kesalahan menghina Jalur Gemilang.

Jadi, sudah tiba masanya untuk kerajaan menggubal undang-undang yang lebih ketat atau mewujudkan satu akta khusus berkaitan Jalur Gemilang bagi memastikan bendera kebangsaan kita terpelihara daripada terus dihina oleh individu yang tidak bertanggungjawab yang sama sekali boleh mencabar maruah negara.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah perlu kerajaan adakan undang-undang khusus bagi kesalahan menghina Jalur Gemilang?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN