Apabila melihat penyu, apa yang terlintas dalam fikiran kita ialah spesis haiwan terancam yang semakin pupus. Jika dahulu, kejadian penyu mendarat di persisiran pantai seakan-akan suatu kebiasaan malah, mudah untuk dilihat. Namun kini, ianya tinggal kenangan. Sekiranya ada pun memakan masa bertahun-tahun untuk menunggu kehadiran penyu ke pantai.

Segala-galanya disebabkan oleh sikap rakus manusia yang mengambil kesempatan dengan memburu haiwan tersebut. Bermula dari telur hinggalah organ dalaman penyu, kesemuanya mempunyai nilai komersial dari sudut makanan dan perkhidmatan perubatan tradisional.

Sumber: Beautiful Nara

Haiwan Terancam

Sungguhpun umum mengetahui penyu merupakan haiwan yang diancam kepupusan, masih ada lagi segelintar masyarakat yang bersifat kejam terhadapnya dengan mendera haiwan tersebut. Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Indonesia.

Penyu belimbing atau nama saintifiknya, ‘Leatherback sea turtles’ merupakan spesis penyu terbesar daripada tujuh spesis penyu yang wujud di dunia ini.

Memetik laporan Daily Mail, satu video di media sosial yang memaparkan penduduk tempatan menunggang seekor penyu telah menjadi tular. Berdasarkan video berdurasi 1 minit 58 saat, haiwan tersebut sedang berusaha untuk masuk semula ke dalam laut selepas bertelur di kawasan pantai.

Sumber: Astro Awani

Warga Emas Menunjukkan Tauladan Tidak Baik Kepada Orang Muda

Namun begitu, seorang lelaki warga emas yang memakai baju berwarna merah telah duduk di atas cengkerang penyu dengan gaya seperti sedang menunggang, manakala seorang lagi rakannya berada di belakang bagi menyokong tindakan ‘buli’ yang dilakukan oleh warga emas tersebut.

Berdasarkan artikel amazingnara, meskipun sedang dibuli, penyu tersebut tetap cuba meneruskan perjalanan ke dalam laut. Malangnya seorang pemuda pula menaiki penyu sambil makan tanpa rasa bersalah. Lebih memilukan apabila ada dalam kalangan mereka ‘mendidik’ anak-anak yang masih kecil dengan melakukan perkara yang sama. Malah, ada yang memijak kepala penyu tersebut.

Kritikan Hebat Warga Maya

Tindakan ini sudah pastinya mendatangkan kemarahan dalam kalangan warga maya. Ramai yang mempersoalkan apakah tidak ada tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam menangani isu sebegini? Jika ya, sejauh mana ia mampu mendidik masyarakat.

Ini kerana mereka yang terdapat di dalam video terbabit tidak mempunyai rasa bersalah terhadap apa yang mereka lakukan? Atau ianya memang sikap dan budaya masyarakat setempat? Sekiranya ia budaya masyarakat setempat, amat malanglah nasib penyu yang mendarat di kawasan terbabit.

Boleh Kena Hukuman Keras Kalau Di Malaysia

Disaat mereka menyambut haiwan tersebut dengan penganiayaan, kita di sini menanti kepulangan penyu dengan penuh pengharapan. Difahamkan penyu belimbing kali terakhir mendarat di pantai Terengganu pada tahun 2017 dan masih belum kembali sehingga ke hari ini.

Sumber: Bernama

Malah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu sendiri pernah merancang untuk membeli telur penyu dari luar negara untuk dieramkan. Ianya adalah sebagai usaha untuk memastikan spesis itu kembali mendarat di perairan Terengganu.

Sekiranya kejadian penganiaaayn penyu ini berlaku di Malaysia, sudah pasti tindakan lebih tegas akan dikenakan. Lihat sahaja kepada mereka yang menganiaya kucing, sudah dikenakan hukuman penjara, apatah lagi penyu yang merupakan haiwan yang dilindungi.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda tentang isu ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN