Jika dahulu, penghapusan kutipan tol secara berperingkat merupakan salah satu janji besar di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya.

Malah, Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah membuat kenyataan bahawa sekiranya PH berjaya menjadi kerajaan, pemansuhan kutipan tol itu akan dilaksana secara berperingkat.

Selain itu, kutipan tol itu juga akan dimansuhkan berdasarkan kontrak kerajaan bersama syarikat konsesi lebuhraya.

Isu mengenai penghapusan kutipan tol ini merupakan antara 10 janji besar yang terkandung di dalam manifesto PH untuk ditunaikan sekiranya PH berjaya menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, baru-baru ini Dr Mahathir membangkitkan isu tol dengan mengatakan bahawa pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Kenyataan yang dikeluarkan Dr Mahathir ini sekaligus menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat terutama pengguna media sosial yang rata-ratanya memberi persepsi negatif terhadap kerajaan kini yang telah berjanji untuk menghapuskan tol secara berperingkat.

 

Keperluan Tol Untuk Lebuh Raya

Sumber: Paul Tan

Isu penghapusan kutipan tol ini bukan sahaja mendapat reaksi dari masyarakat malah beberapa ahli politik yang lain juga turut sama memberi pandangan sama seperti Dr Mahathir.

Tidak terkecuali juga, Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang berpendapat bahawa sekiranya kerajaan PH menghapuskan tol secara serentak, negara akan berhadapan dengan krisis kewangan teruk.

Katanya, kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol dianggar berjumlah RM400 bilion dan jika janji penghapusan tol ini ditunaikan, ianya pasti akan memberi kesan terhadap kewangan negara di mana negara akan hilang sumber pendapatan terbesarnya.

Baru Bian berpendapat, penghapusan tol itu amat mustahil untuk dilaksanakan yang mana kerajaan perlu berbincang dan mendapatkan nasihat daripada agensi kerajaan yang berkaitan sebelum menghapuskan beberapa tol.

Malah katanya, bilangan tol yang akan dimansuhkan juga akan dikaji sebelum kerajaan mencapai kata sepakat untuk menghapuskannya.

 

Kesan Apabila Tiada Kutipan Tol

Sumber: Wikiwand.com

Di Malaysia sahaja, terdapat 23 jenis lebuhraya di mana setiap daripadanya akan mengenakan kutipan tol pada kadar berbeza.

Antara lebuh raya yang ada di Malaysia adalah Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), New Pantai Expressway (NPE), Duta-Ulu Klang Expressway (DUKE), New Klang Valley Expressway (NKVE), South Klang Valley Expressway (SKVE), Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), North-South Expressway Central Link (ELITE), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Kajang SILK), Guthrie Corridor Expressway (GUTHRIE), Lebuhraya KL–Kuala Selangor (LATAR), Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Cheras–Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), New North Klang Straits Bypass (Shapadu), Johor Bahru Eastern Dispersal Link Expressway (EDL), Senai–Desaru Expressway (SDE) dan Stormwater Management And Road Tunnel (SMART).

Bila dilihat kembali, jikalau benar satu hari nanti kutipan tol akan dihapuskan, bagaimana sekiranya jalan raya itu mengalami kerosakan disebabkan banyaknya lubang jalan dan juga penurapan yang tidak sempurna.

Apabila jalan raya berlubang dan rosak, dari mana datangnya duit untuk membaiki kerosakan tersebut.

Sumber: Ben Ashaari

Itu belum lagi dikira dengan sampah yang berada di atas mahupun di tepi lebuh raya yang boleh menyebabkan kemalangan pengguna lebuh raya.

Rakyat Malaysia juga tidak boleh terlalu keterlaluan meminta kerajaan menghapuskan kesemua perkara besar dalam sesuatu masa kerana ia melibatkan kewangan negara.

Duit kutipan tol yang dikutip setiap hari itu akan digunakan oleh syarikat konsesi lebuh raya untuk menyelenggara jalan mereka demi keselesaan rakyat.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyifatkan kadar tol di Malaysia adalah antara yang terendah jika dibandingan dengan negara Jepun.

Beliau memberi contoh, Jambatan di Jepun mengenakan bayaran tol yang sangat mahal kepada pengguna hingga mereka terpaksa membayar RM270 hanya untuk perjalanan sehala sahaja.

Terdapat juga segelintir rakyat Malaysia yang berpendapat sekiranya kerajaan kini tidak mampu melaksanakan janjinya untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat, kerajaan mungkin perlu menyelaraskan kesemua harga tol di seluruh negara.

 

Janji Tanpa Berfikir

Janji yang dibuat oleh kerajaan PH sebelum PRU-14 berhubung pemansuhan tol seolah-olah hanya untuk meraih undi dari rakyat.

Dr Mahathir dalam kenyataannya juga ada mengatakan bahawa mereka mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa PH tidak akan menjadi kerajaan.

Pemimpin PH seharusnya sudah maklum keadaan kewangan negara semasa merangka manifesto menjelang PRU pada 9 Mei lalu.

Setiap tahun kedudukan kewangan negara ada dipaparkan kepada umum dan anggota parlimen mempunyai salinan dokumen berkaitan.

Ini menunjukkan kerajaan PH membuat manifesto tanpa memikirkan kesan di masa hadapan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN