Perkembangan terbaru senario politik negara menjadi semakin hangat. Kemasukan 6 bekas ahli parlimen United Malay National Organization (UMNO) ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diumumkan oleh Mahathir terus dikecam pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Pada Selasa lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamed selaku Pengerusi Bersatu telah mengumumkan penyertaan bekas ahli parlimen UMNO dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Sumber: Bacalah Malaysia

Bekas ahli parlimen tersebut ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Sebagai Ahli Biasa

Mahathir menegaskan, kemasukan mereka ke dalam Bersatu bukan bertujuan mencari perlindungan tetapi hanya sebagai ahli biasa dan boleh digunakan untuk kempen Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).

Kenyataan itu dibuat ekoran perkembangan politik terkini yang menyaksikan kerjasama yang kuat oleh dua parti utama pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam Semalaysia (Pas) mengakibatkan kemenangan BN dengan majoriti yang besar semasa PRK Cameron Highlands.

Sumber: The Malaysian Times

Bantahan Keras Dari DAP

Ahli Parlimen Klang, Cahrles Santiago berkata, PH sepatutnya berunding terlebih dahulu dikalangan parti komponen sebelum mengambil keputusan menerima individu yang mempunyai kontroversi semasa era BN.

Kemasukan Datuk Shabudin Yahya ke dalam Bersatu amat merisaukan ekoran kenyataan kontroversi  Shabudin berkaitan isu perkahwinan membabitkan mangsa rogol yang mendapat reaksi kurang senang di kalangan rakyat.

Sumber: Free Malaysia Today

Mahathir ‘Terima Sampah’

Nada lebih keras dibangkitkan oleh Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu di status Facebooknya.

Beliau berkata, Mahathir pernah berjanji sebelum pilihan raya umum lalu untuk tidak menerima anggota parlimen UMNO sekiranya PH memerintah.

Tindakan Mahathir dilihat sangat mengecewakan kerana menerima ‘sampah’ seperti ini, katanya.

Sumber: Amanah Daily

PKR Turut Menentang

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang turut kesal dengan tindakan Mahathir memungkiri janji untuk tidak menerima ‘pembelot’ UMNO ke parti-parti Pakatan.

Bagi beliau, rakyat sudah membuat keputusan menolak BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu. Penerimaan mereka sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat.

Sumber: Ideas

Pendirian Amanah

Naib Presiden Amanah, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa menuntut diadakan satu mesyuarat Majlis Pimpinan PH bagi meredakan permasalahan ini.

Beliau menegaskan, kemasukan mereka ke dalam PH tidak bermakna mereka akan bersih dan suci daripada kesalahan-kesalahan lampau yang dilakukan.

PH Ke Arah BN 2.0?

Menjadi kebimbangan ramai khususnya di kalangan penyokong PH yang telah lama berjuang dalam memastikan pentadbiran BN selama 60 tahun ditamatkan. Penerimaan satu demi satu bekas pemimpin UMNO ke dalam PH lebih-lebih lagi pemimpin yang dilihat kontroversi seolah-olah seperti tidak dikawal. Benarkah PH akan menjadi BN 2.0?

Sungguhpun cadangan diwujudkan Akta Anti Lompat Parti pernah disuarakan oleh pimpinan PH sewaktu menjadi pembangkang, namun setelah menjadi kerajaan pada hari ini tiada apa-apa perkembangan dapat dilihat mengenai usaha mewujudkan akta ini.

PH Adakan Mesyuarat Lebih Awal

Kemelut politik terbaru ini menyebabkan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan mengadakan mesyuarat lebih awal daripada dijadualkan.

Dikhabarkan mesyuarat tersebut bakal diadakan pada Khamis ini. Perkara tersebut disahkan oleh Lim Guan Eng yang juga sebagai Timbalan Presiden PH.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah Kemasukan 6 Bekas MP UMNO Akan Membantu Memperkukuhkan Sokongan Orang Melayu Pada PH?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN