Selepas trend #InMyFeelingsChallenge, timbul pula satu trend terbaru di media sosial iaitu #10YearsChallenge di mana pengguna Facebook, Twitter dan Instagram masing-masing dilihat menyahut cabaran tersebut dengan memuat naik dua foto yang membandingkan wajah mereka 10 tahun lepas dengan sekarang.

Sumber: Cultura Colectiva

Bukan sahaja pengguna biasa, ahli politik dan selebriti antarabangsa juga turut sama menyahut cabaran ini sehingga menimbulkan gelak ketawa masyarakat.

Tidak kurang juga, ada yang memuatnaik foto tersebut sehingga menimbulkan kecaman netizen disebabkan ‘caption’ yang berbunyi sindiran serta komen negatif yang dilontarkan.

Dari segi luarannya, memang kita lihat trend ini hanya sekadar suka-suka dan tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna namun ada pula sesetengah pihak membangkitkan isu di mana terdapatnya cubaan pihak tidak bertanggungjawab membongkarkan beberapa maklumat berkenaan cabaran media sosial yang menggerunkan ini.

 

Cubaan Melombong Data Algoritma Pengecaman Muka

Sumber: Twitter Kate O’Neill

Walaupun trend ini dianggap sekadar hiburan semata-mata namun mengikut seorang penulis, Kate O’Neill, beliau merasakan tidak mustahil trend tersebut merupakan satu cubaan syarikat-syarikat media sosial gergasi untuk melombong data pengguna untuk mengecam proses penuaan muka manusia.

Ada betulnya juga dengan apa yang diperkatakan oleh penulis ini memandangkan teknologi semasa yang ada kini, boleh melakukan apa sahaja terhadap seseorang individu sama ada untuk tujuan yang baik mahupun tidak baik.

Dengan perkembangan teknologi, setiap tahun kita pasti akan lahirkan banyak pakar-pakar IT yang celik pintar di seluruh dunia. Jadi, tidak mustahil mereka menggunakan trend yang ada kini untuk melombang data seandainya benar mereka ini mempunyai niat tertentu.

Sumber: The Verge

Pun begitu, pandangan yang dilontarkan penulis ini bagaimanapun dipertikai segelintir pengguna media sosial dengan tidak mempercayai motif tersebut memandangkan Facebook boleh sahaja mencari gambar-gambar lama menerusi profil Facebook tanpa perlu menyahut cabaran #10YearsChallenge ini.

Namun, penulis tersebut berpandangan walaupun gambar-gambar lama yang dimuatnaik oleh pengguna sejak 10 tahun lalu di Facebook sebenarnya tidak boleh dipercayai kerana mereka tidak memuatnaik gambar tersebut mengikut turutan waktu kronologi.

Dengan adanya cabaran ini, pengguna itu sendiri telah memudahkan kerja syarikat media sosial tersebut  dengan memuatnaik gambar sendiri bersama ‘caption’ yang boleh mengukuhkan lagi cabaran tersebut.

 

Satu Ancaman Siber? 

Sumber: My Two Cents Facebook

Melihat kepada cabaran ini, ada pula pihak yang mengatakan bahawa cabaran tersebut sebenarnya satu ancaman siber kepada pengguna media sosial.

Menurut portal My Two Cents pula, cabaran #10YearsChallenge ini boleh digunakan oleh penjenayah siber untuk melakukan salah laku di alam maya.

Mana tidaknya, walaupun akaun media sosial kita dalam keadaan privasi sekalipun, penjenayah siber ini tetap boleh menggunakan pelbagai teknik lain untuk menggodam akaun seseorang.

Inikan pula, apabila kita sendiri mendedahkan segala maklumat peribadi di media sosial baik gambar selfie sendiri, keluarga, rakan mahupun dokumen yang membolehkan penjenayah siber mengambil kesempatan ke atas diri kita.

Sumber: Asyraf Farique Facebook

Namun bagi seorang pengkaji di IRIS Institute, Asyraf Farique membentangkan satu analisa yang cukup padat mengenai perkembangan bagaimana media sosial dijuruterakan untuk memanipulasi pengguna dari segi penggunaan emosi di Facebook yang dieksploitasi untuk tujuan menjual data.

Malah, di dalam laporan media sebelum ini juga turut mendedahkan bahawa Facebook mengakui bahawa mereka boleh mengesan dan mengenal pasti tahap emosi jiwa pengguna dengan menjual data pelanggan kepada pengiklan supaya mereka dapat mengiklan iklan yang sesuai mengikut kepada situasi emosi pengguna itu.

Pun begitu, sebagai pengguna media sosial kita perlu sentiasa berhati-hati apabila berkongsi maklumat kerana mungkin andaian yang diperkatakan oleh beberapa penulis serta penganalisis ini benar.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah rakyat Malaysia dilihat sangat mudah sekali untuk terpedaya dan taksub untuk turut serta akan setiap trend cabaran yang sedang tular di seluruh dunia kini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN