Bagi memastikan peniaga dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, pelbagai cara telah pun digunakan seperti menggunakan platform jualan dalam talian. Namun begitu, berlaku perkembangan trend perniagaan terbaru di bandar raya Kuala Terengganu iaitu menjaja jualan di lampu isyarat.

Perniagaan tanpa bangunan ini turut dikenali sebagai street vendor. Antara negara yang popular dengan perniagaan street vendor di Asia Tenggara ialah Indonesia dan Vietnam.

Sumber: Sos Cili

Terkenal di Sekitar Lembah Klang

Trend perniagaan ini sangat dikenali di Lembah Klang iaitu di sekitar Selayang dan Gombak. Antara yang mempelopori perniagaan ini ialah Budak Kopi, Nasi Lemak Suboh dan pelbagai lagi. Malah, aktiviti perniagaan ini pernah dimasukkan dalam segmen Majalah 3, Malaysia Hari Ini, Bernama Radio dan SIS di TV9.

Di Terengganu, langkah perniagaan ini dimulakan oleh usahawan muda anak Terengganu bermula pada akhir tahun lalu setelah melihat trend perniagaan ini di Kuala Lumpur dan Kelantan yang mendapat sambutan memberangsangkan.

Lampu Isyarat Merah Permulaan Tugas

Kebanyakan yang menjalankan perniagaan ini terdiri daripada pemuda-pemuda tempatan dengan berpakaian tradisional seluar batik, baju pagoda putih sambil mencari pelanggan.

Apabila lampu isyarat bertukar warna merah, pemuda-pemuda tersebut akan mendekati pelanggan yang ada di dalam kereta dengan menawarkan pelbagai jenis makanan seperti bebola daging sos lada hitam, hirisan manga muda digaul asam boi serta pisang keju.

 

Sumber: Malaysiakini

Banyak Kelebihan

Menurut Fahmi Reza Razak ketika ditemui Bernama, konsep perniagaan di persimpangan lampu isyarat mempunyai banyak kelebihan untuk peniaga dan golongan pembeli.

Beliau yang menjual ‘Brahi Makang’ iaitu bebola daging sos lada hitam berkata perniagaan beliau dahulu di bawah Jambatan Sultan Mahmud agak perlahan disebabkan kesukaran pelanggan memberhentikan kereta dan mencari parkir.

Perniagaan jaja jualan di lampu isyarat agak mudah kerana masa menunggu isyarat agak lama sekitar satu hingga dua minit.

Peniaga hanya perlu berjalan di sepanjang lampu isyarat sambil membawa menu makanan dalam bekas. Pelanggan hanya perlu melambaikan tangan kepada peniaga bagi memilih menu yang diingini tanpa perlu bersusah payah beratur membeli di gerai.

Reaksi Positif Masyarakat

Malah, trend perniagaan seperti ini mendapat reaksi positif di kalangan penduduk setempat. Rata-rata penduduk setempar kagum dengan usaha golongan pemuda yang mencari rezeki tanpa menghiraukan penat lelah, hujan panas dan perasaan malu.

Fahmi yang memulakan perniagaan ini pada bulan Oktober tahun lepas hanya bersama seorang kawannya. Disebabkan sambutan yang memberangsangkan, beliau hari ini memiliki 13 orang pekerja yang akan mengedar menu di beberapa lokasi berbeza.

Satu Kesalahan Di Kelantan

Senario berbeza dialami di Kelantan. Trend menjaja makanan di lampu isyarat menjadi satu kesalahan. Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, aktiviti jual beli makanan di tengah-tengah jalan bukan sahaja mengganggu aliran trafik, tetapi turut membahayakan keselamatan penjaja, pembeli serta pengguna jalan raya yang lain.

Tindakan undang-undang juga akan dikenakan kepada penjaja dan pembeli. Misalnya pada bulan Julai 2018, seramai enam orang penjaja yang berusia antara 19 dan 20 tahun ditahan di Jalan Kuala Krai dan Jalan Pengkalan Chepa dikenakan saman mengikut Kaedah 10A LN 166/59. Kaedah memperuntukkan denda maksimum RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

Sumber: PPIM

PPIM Sependapat

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzmi Johan menasihatkan pengguna supaya tidak menggalakkan trend menjaja makanan dan minuman di lampu isyarat.

Beliau melihat aspek kebersihan makanan dan minuman kerana sekiranya berlaku keracunan makanan tidak ada pihak yang akan bertanggungjawab  kerana tiada premis atau kedai untuk diambil tindakan.

Faktor kedua, pengusaha makanan perlu melalui prosedur yang ditetapkan seperti mengambil vaksin anti-typhoid dan menjalani kursus pengurusan makanan.

Faktor berikutnya soal keselamatan pengguna yang perlu sentiasa berwaspada daripada menjadi mangsa rompak atau ragut sekiranya terdapat perompak dan peragut yang menyamar sebagai penjaja.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda bersetuju aktiviti jaja jualan di lampu isyarat ini dikenakan tindakan?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN