Bermula 2019, buat pertama kali negara kita menguatkuasa arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan seluruh negara oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun sebelum ini arahan perintah larangan merokok ini sudah lama wujud di beberapa restoran dan premis makanan tertentu namun masih ramai lagi perokok tidak menghiraukan arahan tersebut memandangkan arahan tersebut tidak dikuatkuasa sepenuhnya oleh kerajaan sehinggalah arahan tersebut dikeluarkan secara rasmi.

Kini, perokok perlu sedar bahawa semua premis makanan di dalam negara ini telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok termasuklah di semua restoran dan warung sama ada yang bertutup, berhawa dingin mahupun yang berkonsep terbuka termasuk di tepi jalan.

Biarpun perintah larangan itu telah dikuatkuasa sepenuhnya namun dalam tempoh enam bulan pertama ini, pihak KKM tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun kepada pesalah, sebaliknya hanya notis amaran bertulis sahaja yang akan dikeluarkan kepada mereka.

Walaupun hanya notis amaran bertulis sahaja yang dikeluarkan, mereka tetap perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan KKM itu memandangkan selepas tempoh enam bulan pertama ini, mereka yang didapati bersalah akan dikenakan kompaun.

 

Walau Hanya Notis Amaran Dikeluarkan, Perokok Tetap Perlu Ikut Arahan

Sumber: Astro Awani

Walaupun KKM hanya mengeluarkan notis amaran bertulis dalam tempoh enam bulan pertama ini, tidak bermakna perokok boleh sesuka hati mengabaikan amaran tersebut.

Mungkin ada yang tidak takut akan arahan tersebut memandangkan arahan itu tidak mengenakan sebarang kompaun namun sebenarnya ia adalah notis peringatan kepada mereka supaya tidak mengingkari arahan yang sudah dikuatkuasakan itu.

Arahan yang dikuatkuasa KKM ketika ini bukan untuk menghukum si perokok tetapi ia adalah cara untuk mendidik mereka supaya tidak merokok di kawasan terbuka bagi menjamin kesihatan orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Sehingga kini, mengikut statistik yang dikeluarkan KKM setakat ini, sebanyak 1,453 amaran bertulis telah dikeluarkan pihaknya terhadap 2,786 tempat makan yang dilawati termasuk yang beroperasi 24 jam.

 

Pelbagai Ragam Perokok Hingga Sanggup Bawa Pita Pengukur Ke Restoran

Sumber: CARI Infonet

Sungguhpun arahan tersebut dikeluarkan KKM, ada perokok akur akan arahan yang dikuatkuasakan itu sehingga sanggup membawa pita pengukur sendiri ke restoran hanya untuk mengukur jarak 3 meter seperti yang disaran oleh KKM bagi membolehkan mereka merokok.

Ada pula yang mengangkat kerusi serta meja makan ke kawasan lapang yang jauh daripada premis makanan sebagai langkah menyambut baik saranan KKM sehinggalah adegan mereka itu menjadi tular di media sosial.

Sumber: Oh Bulan

Sebaliknya, ada juga pemilik restoran yang mengambil langkah dengan membuat tanda jarak 3 meter bagi memudahkan mereka merokok jauh dari orang rama dan ada pula yang memakai topeng yang tertera logo ‘dilarang merokok’ ketika menghidang makanan kepada pelanggan mereka.

Macam-macam ragam sebenarnya kita dapat lihat baik kepada si perokok itu sendiri mahupun kepada pemilik restoran.

Hal ini kerana, bagi pemilik premis makanan yang tidak mempamer tanda larangan merokok, mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan, manakala bagi kesalahan gagal memastikan pelanggan tidak merokok akan didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.

Dalam hal ini, sekiranya perokok masih ingkar akan arahan yang telah dikuatkuasakan itu, pemilik restoran itu sendiri berhak menegur tindakan mereka demi menyambut baik hasrat KKM sekaligus mengelak dari didenda pihak berkuasa kerana tidak melaksanakan arahan tersebut.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah apa yang dilakukan kerajaan ketika ini dengan mengeluarkan notis amaran bertulis kepada si perokok dalam tempoh enam bulan ini dapat mendidik mereka supaya tidak merokok di kawasan yang telah diwartakan itu?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN