Selepas bersetuju memilih Kalimantan Timur sebagai ibu negara yang baharu, kali ini pemerintah Indonesia meminta idea daripada rakyat mengenai reka bentuk bandar yang baharu. Mungkin akan ada yang menganggap cadangan daripada pemerintah ini hanyalah sekadar gurauan. Tetapi sebenarnya tidak.

Sumber: Call Me Nyoman

Keseriusan pihak pemerintah telah dimanifestasikan menerusi pengumuman pertandingan. Berdasarkan laporan CNN Indonesia, pihak pemerintah telah mengumumkan satu pertandingan mereka bentuk ibu negara yang baharu pada Rabu lalu. Cadangan ini amat perlu bagi memastikan pandangan rakyat dapat dirangkumkan dalam fasa pembinaan yang akan bermula pada tahun hadapan.

Tetapi dari sisi yang lain, dapat dilihat langkah yang dilakukan oleh pemerintah bertujuan untuk mewujudkan ketelusan dalam pemberian kontrak, supaya tidak hanya pihak-pihak tertentu sahaja (kroni) yang menerima kontrak.

Bukan Warganegara Juga Boleh Sertai

Apa yang menarik, pengumuman pertandingan itu tidak terhad kepada warganegara Indonesia sahaja, malah mereka yang bukan warganegara juga boleh menyertai pertandingan sama ada secara perseorangan atau secara berkumpulan. Perkara ini telah dimaklumkan oleh Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR) dalam laman rasmi sayembaraikn.pu.go.id.

Bagi mereka yang ingin menyertai, syarat utama yang akan ditetapkan ialah memiliki kemahiran atau kepakaran dalam bidang seni bina.

Selain itu, peserta perlu mempunyai kemahiran dalam ilmu perancangan bandar dan wilayah selain memiliki sijil keahlian (SKA) madya dalam bidang seni bina atau perancangan bandar.

Ibu Kota Bercirikan Identiti Bangsa Indonesia

Bagi reka bentuk pembangunan bandar-bandar baharu, kebiasaannya ia akan menggunakan reka bentuk-reka bentuk bandar moden sebagai satu tarikan. Namun begitu ia tidak dibenarkan sama sekali di Indonesia.

Sumber: Larae K Hughes

Pihak pemerintah telah menetapkan tiga kriteria utama yang harus dipatuhi iaitu mencerminkan identiti bangsa, kedua memastikan kemampanan terhadap alam sekitar, sosial dan ekonomi dan ketiga mewujudkan bandar yang cerdas, moden dan berstandard antarabangsa.

Kenapa Seni Bina Beridentitikan Negara Penting?

Persoalan ini turut menjadi pertikaian bagi sesetengah pihak. Jika di barat mungkin ia tidak dititikberatkan, namun tidak bagi negara-negara di Asia.

Umumnya, bagi kebanyakan negara di Asia, segala aspek pembangunan ibu negara tetap akan menggunakan ciri-ciri tempatan sebagai pemaparan identiti kebangsaan.  

Hal ini yang membezakan keunikan kota-kota mereka berbanding negara-negara lain, dan ia menjadi tarikan pelancong. Disebabkan itu, pemerintah Indonesia turut mahu menjadikan rekaan bentuk ibu negara baharu berlandaskan identiti bangsa Indonesia.

Tawaran Hadiah Yang Lumayan

Disebabkan syarat pemilihan yang khusus, ini bermakna hanya mereka yang mempunyai pendidikan dan kemahiran dalam bidang yang tertentu sahaja layak menyertai pertandingan. Sebanyak AS$ 350,000 telah diperuntukkan bagi pertandingan yang dilangsungkan dengan hadiah utama bernilai AS$ 140,000 bakal menanti pemenang.

Dalam masa yang sama, tempoh pendaftaran pertandingan telah pun dibuka selama 15 hari bermula dari 3 Oktober sehingga 18 Oktober 2019.

Peserta yang ingin menyertai pertandingan perlu mendaftarkan diri melalui laman sesawang sayembaraikn.pu.go.id.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN