Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan perbuatan keji seorang lelaki yang bertindak membelasah bekas isteri dan bekas bapa mertuanya di tempat awam hingga mendatangkan kecederaan.

Kejadian yang berlaku pada 4 September yang lalu telah dikongsi oleh teman rapat mangsa di Facebook sehingga mendapat perhatian netizen di media sosial dan media tempatan.

Difahamkan, wanita itu dipukul kerana bekas suaminya tidak berpuas hati dengan mangsa berkaitan hak penjagaan anak yang masih berjalan di mahkamah.

Akibat kejadian itu, bapa mangsa menerima tiga jahitan di kepala manakala mangsa hanya mengalami cedera ringan.  

 

Suspek Dah Banyak Kali Buat Perangai

Lebih mengejutkan, pihak keluarga mangsa pula mendakwa suspek sebelum ini pernah ‘buat perangai’ dan setiap kali dia melakukan perbuatan itu, dia akan terlepas.

Sumber: https://www.thevocket.com

Kejadian yang berlaku ini bukanlah kejadian kali pertama memandangkan sebelum ini, suspek juga pernah membelasah ibu mertua dan juga abang iparnya sendiri.

Sumber: https://www.thevocket.com

Kes tersebut didedahkan oleh seorang netizen yang juga merupakan rakan kepada mangsa. Menurut keluarga mangsa, suspek sudah beberapa kali melakukan perkara di luar jangkaan. Meskipun sudah beberapa kali membuat laporan polis namun suspek dilepaskan.

Untuk kes kali ini, pihak polis telah menahan lelaki berkenaan pada 9 September lalu namun dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan selepas dia mengemukakan surat rujukan perubatan (masalah tekanan perasaan).

 

Netizen Tidak Puas Hati

Bagaimanapun, netizen kebanyakannya tidak berpuas hati dan bengang apabila mendapat tahu lelaki itu dibebaskan selepas membelasah bekas isteri dan bapa mertuanya itu.

Sumber: Lobak Merah

Tidak kurang juga ada yang mengesyaki surat rujukan perubatan itu antara cara mudah bagi suspek untuk melepaskan dirinya memandangkan statusnya sebagai seorang doktor.

Malah, ada juga yang mengatakan masalah tekanan perasaan yang dialami suspek tidak boleh dijadikan lesen untuknya terus melakukan perbuatan jenayah terhadap bekas isterinya kemudian dilepaskan begitu sahaja.

 

KKM Siasat Kes

Atas ketidakpuasan hati orang awam, netizen rata-ratanya menggesa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyiasat kes tersebut secara terperinci.

Perkara tersebut mendapat perhatian Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengatakan sebarang tindakan berhubung perbuatan lelaki itu akan dibuat selepas semua siasatan selesai.

Ketika ini, pihak polis difahamkan masih menunggu laporan penuh perubatan suspek di mana kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

 

Jangan Ambil Mudah Kes Keganasan Rumah Tangga

Dalam kes sebegini, isu keganasan rumah tangga antara satu topik yang tiada noktahnya. Walaupun kempen perangi keganasan rumah tangga giat dijalankan pelbagai pertubuhan, statistik menunjukkan kes seumpama ini terus meningkat.

Gambar sekadar hiasan

Ada kes di mana wanita diterajang, ditumbuk, dipukul, ditikam, dikelar dan disimbah dengan asid dan pelbagai lagi perbuatan kekerasan suami yang dilakukan terhadap isteri meskipun sudah mendapatkan pembelaan di muka pengadilan.

Orang sekeliling terutama ahli keluarga jangan ambil mudah apabila melihat ada ahli keluarga yang mula menunjukkan tanda menghadapi masalah atau tekanan.

Mereka ini perlu cepat dibantu kerana jika dibiarkan, ia akan menjadi bertambah parah sehingga boleh membahayakan mangsa dan orang di sekelilingnya seperti dalam kes sebegini.

Walau macam mana teruknya sesuatu pengakhiran dalam sesebuah rumah tangga itu, tindakan membelasah bekas isteri dan turut melibatkan seisi ahli keluargnya bukanlah satu cara untuk menyelesaikan dendam atau ketidakpuasan hati. 

Sekiranya dibiarkan, esok lusa mungkin nyawa pula yang menjadi taruhan. Apa-apa pun, diharap kes ini dapat diselesaikan segera dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak berkuasa. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah suspek ini dilepaskan oleh pihak polis selepas dia menunjukkan surat rujukan perubatannya?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN