Selepas dua minggu berlangsungnya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang telah melabuhkan tirainya secara gilang gemilang di Stadium Gelora Bung Karno semalam, Malaysia berada di tangga ke-14 selepas berjaya mencapai sasaran tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa pada temasya sukan tersebut.

Acara sukan yang mempertandingkan 40 jenis sukan itu nyata telah memberi kepuasan kepada Kontinjen Malaysia apabila kejayaan yang dikecapi kali ini berjaya mengatasi pencapaian pada sukan berkenaan pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan apabila negara kita berjaya meraih lima emas, 14 perak dan 14 gangsa.

Hal ini sekaligus mampu melonjakkan prestasi atlet kita yang dilihat semakin baik dengan menunjukkan prestasi cemerlang hingga berjaya memungut pingat emas pada acara sukan terbesar berkenaan.

Namun, di sebalik apa yang berlaku sepanjang sukan tersebut berlangsung, ada juga beberapa atlet negara yang dikecam teruk oleh netizen berikutan pencapaian yang kurang memuaskan.

Itu yang berlaku baru-baru ini, apabila seorang atlet wanita papan selaju negara, Fatin Syahirah Roszizi yang dikecam teruk netizen akibat persembahan yang menghambarkan dalam acara yang disertainya.


Kecaman yang dilontar oleh netizen di laman sosial turut menyebabkan atlet muda berusia 16 tahun itu memadam kesemua foto miliknya yang dimuat naik di laman Instagram beliau.

Namun, disebalik kecaman itu, Fatin turut berkesempatan memuatnaik IG story miliknya bagi menyatakan kekesalan dan permohonan maafnya buat seluruh rakyat Malaysia.

Sumber: Oh Bulan

Salah Siapa?

Terdapat segelintir menulis komen menyatakan ada ramai lagi yang lebih layak untuk menjadi wakil negara untuk sukan ini. Tidak kurang juga yang berkata Fatin mendapat tempat atas bantuan orang dalam.

Namun siapa yang memilih beliau untuk dilayakkan ke sukan asia 2018? Salah siapa sebenarnya?

Bekas ketua teknikal skuad papan selaju negara, Mariss Khan yang kini bertindak sebagai juri profesional papan selaju antarabangsa, mendakwa kesalahan itu sepatutnya ditanggung Mohd Zamri Ramli – individu yang dipertanggungjawabkan oleh Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA) – untuk memutuskan hala tuju pasukan atau pemilihan atlet.

Menurutnya, pemilihan bukan ditentukan oleh jurulatih Johari Fitry Khairuddin (Joe Ipoh) sebaliknya MESA memberi mandat kepada Zamri untuk menentukan semuanya.

Bagi Fatin sendiri, beliau memberitahu punca dia tidak fokus dan gagal memaparkan aksi memberansangkan ketika saingan itu disebabkan kecederaan ligamen yang dialami pada buku lali kaki kiri ketika menjalani latihan di Palembang sebulan sebelum pertandingan.

Sumber: My News Hub

Malah katanya, beliau hanya mempunyai tempoh kurang dua bulan bagi menyiapkan diri untuk temasya besar itu.

Otai sukan ini, Pa’din turut menyebelahi Fatin dengan menyatakan tahu perasaaan gugup Fatin dan bagaimana perasaan gugup itu boleh menjejaskan persembahan.

Pengasas papan selaju yang dikenali sebagai Wan Kedah juga ada memuatnaik status di laman sosial Facebooknya mengenai isu ini.

Antaranya beliau menepis anggapan netizen bahawa ramai lagi atlet sukan ini yang layak dalam acara tersebut. Ini kerana katanya, bagi acara papan selaju kategori perempuan, selalunya tidak lebih dari lima orang peserta kerana tiada sambutan diterima.

 

Idola Papan Selaju Sokong

Disebalik kritikan netizen yang diterima Fatin , masih ada juga yang tidak putus memberi kata-kata semangat buat anak muda itu supaya sentiasa cekal dalam meneruskan impiannya dalam acara sukan tersebut.

Antara figura yang turut memberi kata-kata semangat kepada Fatin termasuklah atlet professional papan selaju, Tony Hawk.

Atlet professional Tony Hawk yang turut berkongsi memberi kata-kata semangat menerusi ruangan komen di Instagram milik Fatin menyifatkan komen yang dilemparkan netizen sebagai mereka yang tiada keyakinan diri hingga menyebabkan tiada keberanian untuk mencapai impian mereka.

Sumber: Twitter

Selain itu, komuniti papan selaju tempatan semuanya memberi sokongan padu terhadap Fatin terutamanya otai sukan ini, Pa’din Musa dan Joe Ipoh.
Tidak ketinggalan juga,penyanyi Yuna yang berkongsi dengan memuat naik surat terbuka kepada Fatin menerusi akaun Twitter peribadinya dengan menyatakan kata-kata sokongan supaya tidak putus asa dan perbanyakkan lagi latihan untuk temasya akan datang.

Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak seharusnya mengecam seorang individu itu sehingga teruk lebih-lebih lagi buat atlet muda seperti Fatin kerana setiap kecaman yang dilontarkan itu pasti boleh mengakibatkan seseorang mengalami depresi tinggi untuk terus mengejar cita-citanya.

Setiap komen yang dilontar oleh netizen yang berbaur kecaman itu boleh dikategorikan sebagai pembuli siber dan perbuatan seperti ini perlu dihentikan serta merta.

Kita seharusnya memberi sokongan kepada atlet negara atas setiap pencapaian yang beliau berjaya raih walaupun tidak menunjukkan aksi yang memuaskan dan jangan hanya mengkiritik kerana ianya tidak mudah seperti yang disangka lebih-lebih lagi buat atlet muda seperti Fatin.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah Fatin wajar dipersalah?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN