Mendirikan rumah tangga merupakan saat yang paling bahagia dalam hidup. Dalam meraikan rasa syukur dan gembira itu, sudah pasti pasangan akan merancang untuk mengadakan sebuah majlis yang sekali seumur hidup sahaja diadakan.

sumber: kakiproperty

Namun, untuk menguruskan sebuah majlis perkahwinan bukanlah suatu yang mudah, lagi-lagi jika tiada pengalaman. Pelbagai perkongsian dan juga pengalaman secara peribadi dikongsikan dalam media sosial apabila memenuhi undangan perkahwinan.

 

Wow! Pasang 7 Khemah Untuk 600 Orang Tetamu

Memetik artikel dari OHBULAN!, seorang lelaki telah berkongsi cerita berkenaan dengan pengalamannya mengendalikan khidmat katering dalam sebuah majlis perkahwinan.

Masalah kehabisan makanan ketika majlis menjadi satu kebimbangan kepada semua pihak sama ada keluarga, pengantin mahupun pihak katering.

 

 

Lelaki tersebut menceritakan, pelanggannya itu yang menempah makanan untuk 600 orang tetapi pada jam 1.40 petang, lauk dan juga bahan untuk membuat air sudah habis dan dia terus memaklumkan hal tersebut kepada tuan rumah.

Alangkah terkejutnya dia, apabila tuan rumah mempertikaikan bagaimana lauk boleh habis sedangkan ‘goodies’ yang disediakan untuk 600 orang tetamu belum lagi habis. Mana tidaknya, bajet untuk majlis hanya 600 orang tetamu, tetapi dipasangnya 7 buah khemah tu dah kenapa?

 

Mengapa Keluarga Pengantin Suka Merumitkan Suatu Majlis?

Sikap ibu bapa yang mahukan majlis besar-besaran dan mengikut cita rasa mereka mungkin menyebabkan tekanan kepada pihak lelaki.

sumber: ohbulan

Keluarga merasa terkilan jika tidak menjemput semua kenalan-kenalan mereka dari mereka bersekolah sehingga pencen ke majlis perkahwinan anak kesayangan mereka.

Tetapi jika pihak keluarga yang mahu menguruskan dan tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan majlis sekalipun, tidak salah untuk mereka bertanya kepada yang lebih arif dan sudah biasa mengendalikan majlis perkahwinan.

Sekurang-kurangnya perjalanan majlis itu berjalan lancar dan tidak memalukan seluruh keluarga dan pengantin apabila mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada mereka yang sudah berpengalaman dalam membuat majlis seperti ini.

 

Formula Mudah Untuk Mengira Jumlah Tetamu

Satu perkara yang sukar untuk dijangka ialah jumlah tetamu yang hadir ke majlis, sama ada melebihi dari jumlah jemputan ataupun kurang.

Perkara ini penting untuk mereka yang mahu mengadakan majlis perkahwinan kerana mudah untuk mereka menyediakan tempat duduk dan juga makanan sesuai dengan jumlah tetamu yang bakal hadir ke majlis.

sumber: cahayakristal.com

Formula yang diambil dari laman cahayakristal.com, cara pengiraan jumlah tetamu jemputan yang akan hadir ke majlis ialah dengan mengira berapa jumlah kad jemputan yang telah diedarkan didarabkan dengan jumlah tetamu yang mungkin hadir bersama pasangan dan anak kemudian ditolak dengan kemungkinan peratusan tetamu yang tidak dapat hadir.

Tetapi formula ini tidak termasuk jumlah jemputan mulut oleh ibu bapa, menerusi aplikasi Whatsapp dan juga Facebook.

 

Tidak Salah Jika Buat Secara Kecil-Kecilan

Lelaki tersebut juga memberitahu, majlis perkahwinan ini sebenarnya mudah sahaja dan buat mengikut kemampuan. Alangkah baiknya jika kos tiga daripada tujuh buah khemah digunakan untuk menambah bajet makanan tetamu.

sumber: kilana canopy

Bagi mereka yang berpengalaman dalam mengendalikan majlis perkahwinan, makanan yang disediakan itu tidak mengapa disediakan dalam kauntiti yang banyak tetapi tidak sehingga membazir. 

Bukan apa, hari ini dilihat sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat Melayu secara khususnya untuk bermewah-mewah dalam majlis perkahwinan sehingga mengabaikan soal yang lebih penting antaranya ialah lauk kenduri dan juga perasaan tetamu yang hadir.

Tidak menjadi satu kesalahan jika majlis perkahwinan itu diadakan secara kecil-kecilan ataupun mengikut kepada kemampuan pasangan untuk menjamu tetamu yang hadir tanpa berkira dalam menyediakan makanan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Berdasarkan pengalaman anda menghadiri majlis perkahwinan, adakah anda pernah mengalami situasi di mana lauk kenduri sudah habis ketika sampai ke dewan majlis?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN