Sumber: Astro Radio News

Bagi negara kita, masalah utama yang sering berlaku ialah lambakan sampah sarap yang semakin bertambah hampir setiap hari. Pelbagai cara dilakukan termasuklah kempen kitar semula, kempen hari tanpa plastik, pengenalan plastik boleh urai dan sebagainya. Apa yang pasti, kempen sebegini tidak mampu mengurangkan masalah sampah dalam negara kita.

Namun, perkara sebaliknya terjadi di sebuah negara Scandinavia Eropah iaitu Sweden. Negara ini mempunyai masalah yang besar sekiranya kuantiti sampah sarap di negara mereka berkurang. Ini kerana, sampah di Sweden diproses untuk dijadikan sebagai tenaga elektrik.

Program WTE

Melalui program Waste To Energy (WTE), sampah sarap yang tidak mampu dikitar semula akan dihantar ke kilang khas untuk diproses menghasilkan tenaga baru.

Berdasarkan sumber iluminasi.com, sampah sarap akan dibakar di dalam insinerator, seterusnya menghasilkan wap yang akan menggerakkan turbin penjana elektrik dan berikutnya menghasilkan tenaga elektrik.

Sumber: Iluminasi.com

Tenaga elektrik yang dijana oleh kilang-kilang WTE mampu membekalkan elektrik ke 950,000 rumah tenaga haba dan 260,000 rumah.

Amat Berbahaya Sekiranya Tiada Sampah

Sekiranya kuantiti sampah kurang daripada yang diperlukan untuk menjana elektrik, Sweden bakal mengalami darurat. Malah, disebabkan kekurangan sampah akan menyebabkan banyak pusat pelupusan sampah di Sweden hampir lumpuh.

Hal ini menyebabkan negara tersebut terpaksa mengambil keputusan mengimport sampah dari negara-negara terdekat seperti Norway, United Kingdom, Itali dan beberapa negara eropah lagi.

Walaupun kaedah pembakaran sampah di loji-loji sisa tenga menjadi perdebatan hebat dalam kalangan pencinta alam sekitar, kerana mampu mendatangkan pencemaran udara, namun Sweden telah membuktikan keberkesanannya dengan pelepasan ultra rendah sekitar 95-99 peratus.

Sumber: Baca Berita Malaysia

Yang pasti, sikap positif rakyat Sweden wajar diikuti oleh rakyat negara kita. Ini kerana penduduk di Sweden amat peka tentang alam sekitar dan sentiasa mengitar semula barangan lama yang tidak digunakan. Bagi sisa-sisa makanan, ia turut diasingkan dan dikompos untuk dijadikan baja atau biogas.

Kesedaran Sejak Bangku Sekolah

Sikap mencintai alam sekitar rakyat Sweden telah dipupuk semenjak di bangku sekolah lagi. Tidak hairan kenapa rakyat Sweden mempunyai kesedaran alam yang tinggi. Jelas pendidikan di sana berjaya mendidik masyarakat untuk menjadi warga yang prihatin.

Ternyata perkara ini berbeza jika dibandingkan dengan negara kita. Bukan pendidikan dan kesedaran tidak diterapkan, dalam masa yang sama kempen kesedaran juga telah dilakukan hampir setiap tahun.

Sumber: MD Marang

Di Malaysia Banyak Wang Dihabiskan Untuk Atasi Sampah

Hal ini telah menyebabkan kerajaan membelanjakan wang yang banyak dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai.

Tetapi hasilnya tetap sama. Masih ramai lagi rakyat Malaysia yang bersikap mementingkan diri sendiri dengan membuang sampah sesuka hati walaupun tong sampah telah disediakan.

Sumber: Buasir Otak

Mentaliti Masyarakat

Mereka hanya berfikir bahawa ada orang yang dibayar gaji untuk melakukan kerja-kerja pemungutan sampah. Tetapi tahukah anda, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa membelanjakan antara 40 hingga 70 peratus hasil cukai taksiran tahunan semata-mata untuk mengutip dan melupuskan sampah?

Sekiranya mentaliti ini terus berleluasa, agak sukar untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang bersih di Asia Tenggara, malah di dunia. Yang pasti, matlamat pengurusan sisa pepejal dan pelupusan terbuka Sifar Menjelang 2020 seakan gagal.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda tentang isu ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN