Kes simbah asid terutamanya pada wanita semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Yang terbaru, seorang penasihat undang-undang sebuah bank mengalami lecur teruk di bahagian muka dan paha akibat disimbah asid oleh dua lelaki ketika melintas jalan untuk ke tempat letak kereta di Jalan Burma, Georgetown, Pulau Pinang.

Sumber: https://www.worldofbuzz.com

Dalam kejadian itu, wanita terbabit didatangi dua lelaki yang sedang menaiki motosikal sebelum pemboncengnya menyimbah cecair yang dipercayai asid ke arah muka mangsa.

Mangsa yang mengalami kecederaan kemudian segera melarikan diri dengan masuk semula ke dalam bank sambil menjerit meminta pertolongan.

Kejadian yang berlaku itu memang cukup pantas di mana mangsa tidak dapat melihat jenis serta nombor pendaftaran motosikal terbabit.

Kejadian yang menimpa wanita tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial yang rata-ratanya khuatir terhadap kes jenayah melibatkan asid seperti yang banyak dilaporkan di media sejak kebelakangan ini.

 

Fakta Mengenai Jenayah Simbahan Asid

Umum kita semua tahu bahawa asid bersifat masam dan menghakis. Malah, perkataan asid itu sendiri berasal daripada perkataan Latin, Acidus yang bererti masam.

Apa yang menariknya, penggunaan asid ini mampu melarutkan banyak benda seperti logam, kapur, besi, magnesium dan zink selain berupaya menukarkan warna sesetengah tumbuhan.

Sumber: Carian Google

Namun, sifatnya yang menghakis itu juga boleh mendatangkan kecederaan seperti melecur dan buta sekiranya terkena pada bahagian muka dan tubuh badan.

Jadi, tidak hairanlah ada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab itu menggunakan asid sebagai salah satu cara untuk membalas dendam dan melepaskan geram kepada seseorang yang mana jenis asid yang paling kerap digunakan dalam serangan adalah asid jenis sulfurik dan nitrik.

Apabila seseorang itu terkena serangan asid sebegini, mereka akan mengalami kesan jangka panjang termasuk berkemungkinan untuk buta, serta parut muka dan tubuh yang kekal dan perlu menanggung masalah psikologi yang berpanjangan.

Hasil carian, antara negara yang biasanya dikaitkan dengan serangan asid termasuk Bangladesh, China, United Kingdom, Kenya, Afrika Selatan, Australia, Amerika Syarikat, Turki, Russia dan banyak lagi negara lain.

Walau bagaimanapun, serangan asid telah dilaporkan di negara-negara di seluruh dunia, termasuk di negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Kemboja, Fillipina, Vietnam, Laos dan Myanmar.

 

Kes-Kes Yang Pernah Terjadi

Hari demi hari, memang diakui terdapat peningkatan dalam kes jenayah melibatkan serangan asid. Tahun ini sahaja, bermacam-macam jenis kes melibatkan serangan asid berlaku antaranya:

6 Feb 2019 – Seorang penggubah bunga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan menyimbah asid sehingga menyebabkan kecederaan terhadap dua wanita termasuk ibu saudaranya sehingga menyebabkan lecur yang teruk di muka dan badan akibat disimbah asid berpunca daripada isu hutang.

9 Feb 2019 – Seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan polis selepas mengugut mahu menyimbah muka isterinya dengan asid selepas isterinya itu meminta diceraikan.

Sumber: Harian metro

11 Mar 2019 – Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membuat laporan polis berhubung satu video berunsur ugutan mahu menyimbah asid terhadap Menterinya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

10 Apr 2018 – Seorang wanita cedera disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika berhenti di lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Jumaat, Port Dickson.

6 Julai 2019 – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin hampir menjadi mangsa simbahan asid oleh individu yang dikenali sebagai Mie Tomoi yang dipercayai diupah pihak tertentu untuk menyimbah asid tersebut ke muka mufti.

 

Perlukah Kerajaan Segera Ketatkan Jualan Asid?

Sebagai kesimpulan kejadian simbah asid yang berlaku di negara kita bukan sahaja melibatkan kaum wanita malah kanak-kanak turut menjadi mangsa serangan simbah asid ini.

Jadi, sudah tiba masanya untuk kerajaan memperketat penjualan asid agar ia tidak sewenang-wenangnya dibeli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Di negara kita, difahamkan jenis cecair asid sebegini amat mudah didapati pada harga yang murah dan tiada kawalan yang ketat di mana orang awam boleh membelinya.

Sumber: Carian Google

Ambil contoh di Pakistan misalnya, Dewan Parlimen Rendah mereka sebulat suara telah meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Asid dan Pencegahan Jenayah Asid pada 10 Mei 2011. Sebagai hukuman, menurut rang undang-undang individu yang bertanggungjawab untuk serangan asid menghadapi denda keras dan kehidupan di penjara.

Walau bagaimanapun, negara yang mempunyai undang-undang yang paling spesifik dan efektif terhadap serangan asid adalah Bangladesh di mana tindakan undang-undang tersebut telah mengakibatkan penurunan 20 hingga 30 peratus dalam keganasan asid sejak beberapa tahun yang lalu.

Pada tahun 2013, India memperkenalkan pindaan kepada Kanun Keseksaan India menerusi Akta Undang-undang Jenayah (Pindaan), 2013, menjadikan serangan asid sebagai kesalahan khusus dengan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan boleh memanjangkan hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Berdasarkan peruntukan undang-undang Malaysia, kes melibatkan serangan atau mencederakan individu boleh disiasat dan dituduh di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Jadi, ada juga keperluan untuk kerajaan kita meneliti semula undang-undang berkaitan kesalahan ini dengan mengenakan hukuman yang berat kepada si penjenayah kerana jika dibandingkan dengan kesengsaraan dan kesan kekal pada anggota badan mangsa yang melecur, hukuman itu nampak terlalu ringan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, perlukah kerajaan segara perketatkan penjualan asid di negara ini agar ia tidak sewenang-wenangnya dibeli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan digunakan untuk kegiatan jenayah?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN