Untuk mencegah kemungkaran bukan suatu tugas yang mudah. Memandangkan tekanan dirasai dari segala sudut, dicaci-maki oleh pelbagai pihak, maka tugas ini perlukan satu semangat yang kental untuk beraksi. Perkara itu yang dihadapi oleh kesemua anggota Skuad Badar di bawah pimpinan Azhar Mohamad.

Sumber: The Malaysian Insight

Lakukan Aktiviti Mencegah Kemungkaran

Memetik laporan Sinar Harian, Skuad Badar pernah menjadi tular beberapa bulan yang lalu ekoran tindakan mereka memantau pergerakan anak muda yang menghabiskan masa di siber kafe semasa orang ramai sibuk menunaikan solat Jumaat. Selain itu, mereka juga bertindak ke atas individu yang didapati berkhalwat di sekitar Sungai Petani.

Walaupun telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang, Skuad Badar akan meneruskan semula kegiatan mereka bermula hujung bulan Julai. Ini kerana kegiatan tidak bermoral di kawasan tersebut semakin meningkat semenjak anggota Skuad Badar ditangkap oleh pihak berkuasa.

Sumber: The Malaysian Insight

Permintaan Masyarakat Setempat

Usaha ini dilakukan selepas permintaan dari kalangan penduduk di Sungai Petani yang mahukan mereka bergerak aktif semula bagi membendung masalah khalwat dalam kalangan remaja. Menurut Azhar, ada pihak yang datang kepada mereka dengan keadaan menangis disebabkan tidak sanggup melihat golongan belia memeluk antara satu sama lain di tempat awam.

Namun begitu, bagi memastikan ‘pisang tidak berbuah dua kali’, mereka akan mendaftarkan sekali lagi nama pertubuhan mereka kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dengan menggunakan nama Badar al-Kubra.

Ujian Yang Menimpa

Pada April lalu, Azhar dan enam rakannya didenda sebanyak RM1,000 seorang selepas mengaku bersalah menyertai pertubuhan haram (Skuad Badar) yang tidak berdaftar di bawah ROS.

Antara kemungkaran yang dicegah adalah kegiatan khalwat antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, menangkap golongan yang ponteng solat jumaat dan sebagainya. Ini memandangkan kebanyakan dari kalangan pelaku merupakan generasi muda belasan tahun yang sedang mencari identiti diri.

Memandangkan akhlak generasi hari ini membimbangkan, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membantu. Memetik laporan The Malaysian Insight, Azhar berkata bilangan kenderaan yang berada di hotel murah terus meningkat semenjak kumpulan mereka dihalang menjalankan tugas menangkap pasangan khalwat.

Adakah Tindakan Mereka Ekstrim?

Mungkin bagi sesetangah pihak yang tidak mengikuti kumpulan ini akan melabel mereka sebagai golongan yang keras kerana lebih suka menghukum daripada mendidik. Adakalanya khabar yang didengar lebih daripada ‘cakap-cakap’ dari orang ramai yang kadang kala ada tokok-tambahnya bagi menyedapkan cerita.

Sumber: Today Online

Sebenarnya tindakan yang dilakukan oleh Skuad Badar ke atas mereka yang ditangkap lebih kepada mendidik dan mentarbiah. Bagi yang ponteng solat Jumaat dengan melayani kafe siber misalnya, mereka hanya diberikan amaran dan diingatkan tentang kewajipan menunaikan solat fardhu Jumaat.

Manakala bagi individu yang berjaya ditangkap adalam operasi cegah maksiat, pasangan terbabit hanya ditahan dan dibawa ke tanah perkuburan Islam untuk ditarbiah. Tindakan ini lebih kepada psikologi mental untuk memuhasabahkan diri individu, bukan bertujuan untuk mencederakan.

Pendekatan Perlu Mengikut Prosedur

Membuat aktiviti amar ma’aruf nahi mungkar memang bagus. Pun begitu dalam negara yang penuh dengan undang-undang mereka perlu menuruti juga prosedur yang telah ditetapkan seperti berdaftar dengan ROS dan mendapatkan kerjasama dan kelulusan daripada majlis agama islam negeri.

Apa pun, cabaran utama Skuad Badar adalah untuk mendapatkan kelulusan daripada ROS. Ini kerana percubaan mereka sebelum ini untuk mendaftarkan pertubuhan terbabit tidak menerima apa-apa maklum balas. Sesuatu perlu dilakukan oleh mereka bagi mendapatkan penjelasan daripada ROS.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda merasakan tindakan yang dilakukan oleh Skuad Badar betul?
24 votes · 24 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN