Jumaat lalu, media sosial digemparkan dengan penularan berita mengenai kebocoran maklumat data peribadi kepada lebih sejuta alumni serta pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dikatakan bocor secara dalam talian.
Perkara tersebut didedahkan sebuah portal terkenal Lowyat.net yang mendakwa rekod butiran 1,164,540 pelajar dari pelbagai jurusan di UiTM telah dibocorkan antara tahun 2000 dan 2018 dari kampus Shah Alam serta 13 kampus cawangan dan kolej bersekutu yang diiktiraf di seluruh negara yang mendaftar bagi pelbagai kursus yang ditawarkan universiti itu, dipercayai bocor.
Kebocoran data peribadi tersebut termasuk nombor pengenalan pelajar, nama pelajar, nombor MyKad, alamat, alamat e-mel, kod kampus, nama kampus, kod program, serta nombor telefon bimbit
Dakwaan mengenai kebocoran data peribadi tersebut lantas menyebabkan pelajar UiTM termasuk Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM) menggesa pihak universiti untuk membuat siasatan dalaman terhadap dakwaan tersebut kerana insiden tersebut pastinya boleh mendatangkan kebimbangan buat seluruh warga UiTM khususnya.
Adakah Data Peribadi Kita Selamat?
Masalah kebocoran data atau penyalahgunaan data bukan sahaja berlaku di dalam organisasi besar seperti universiti sahaja malah ia juga turut berlaku di syarikat-syarikat besar melibatkan perbankkan, telekomunikasi dan sebagainya.
Jika perasan, sebelum kita membuat akaun media sosial, dalam diam kita sudah mendedahkan maklumat diri ke tangan syarikat-syarikat media sosial untuk kegunaan tertentu.
Malah dalam urusan perbankkan sekalipun, kita berpotensi untuk terdedah dengan kebocoran data peribadi yang dilakukan pihak tertentu untuk menggodam atau ‘scam’ mangsa sehingga terpedaya.
Dalam isu ini, walaupun pihak UiTM memberi jaminan bahawa sistem keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi yang mereka ada ketika ini adalah selamat dan boleh dipercayai namun mengapa kebocoran data peribadi kita masih lagi boleh digodam dan diakses pihak luar?
Adakah disebabkan sistem penyimpanan rekod peribadi UiTM masih lagi tidak benar-benar kukuh sehingga boleh memberi akses pihak luar untuk menggodam sistem tersebut?
Atau ada individu dalam sengaja membocorkan data dan menjualnya pada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan semata-mata?
Kebocoran data peribadi pelajar serta alumni tidak boleh dibiarkan walaupun di negara kita terdapat akta mengenai penyalahgunaan data peribadi.
Namun sekiranya ada mentaliti yang tidak mempedulikan privasi orang lain dan hanya sekadar memikirkan keuntungan cepat untuk diri sendiri, maka sampai bila-bila pun penyakit sebegini sukar dibendung.
Sistem Simpanan Rekod Peribadi Perlu Ditambah Baik
Dalam hal ini, kita tidak boleh menuding jari sepenuhnya kepada UiTM atas kebocoran data peribadi yang membabitkan pelajar serta alumni kerana sehingga ke hari ini, pihak mereka masih lagi menyiasat perkara tersebut.
Pun begitu, bagi mengelak insiden sama berulang, sebagai sebuah univerisiti awam yang terbaik di Malaysia, UiTM perlu melaksana audit secara terperinci pada semua peringkat untuk mengenal pasti bagaimana data sebegitu banyak boleh jatuh ke tangan pihak yang tidak sepatutnya.
Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (PAUiTM) turut menggesa supaya pihak universiti menyiasat kebocoran data peribadi melibatkan pelajar serta alumni memandangkan isu tersebut merupakan satu isu besar dan dikhuatiri bakal menimbulkan kebimbangan dan penyalahgunaan data.
Justeru itu, sistem simpanan rekod yang sedia ada terutama yang membabitkan data peribadi pelajar serta alumni perlu ditambah baik dengan pelaksanaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) supaya tidak sewenang-wenangnya digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
KATA ORANG
I remember a few years back that UiTM got hacked by a student because he wanted to change his grades. Got caught though.
— Brother-Captain Leodegarius (@AC_Breeki) January 25, 2019
matilehh scammers call nnti.. huhu
— Ayu Azrin Abdul Aziz (@ayu_azrin) January 25, 2019
ade org ‘jual’ data kerr??
— aziiiii (@aziluwin) January 25, 2019
Educators sibuk nak nampak mereka cakna “4IR”. They don’t really understand the technical behind it.
— Amirul (@eyemeroll) January 25, 2019