Esok, hari pengundian Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Semenyih bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon muda Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali,  Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Lihat sahaja suasana yang berlaku di PRK Semenyih ketika ini yang tidak kurang juga banyak dramanya baik kerajaan mahupun pembangkang.

Sumber: Free Malaysia

Adakah itu semua dilakukan hanya untuk membuka mata masyarakat berkenaan sisi buruk calon dan sesuatu parti itu atau sebaliknya?

Malah, persoalan siapa yang berjaya mengekalkan kerusi di Semenyih juga masih menjadi tanda tanya memandangkan PH kini berdepan saingan sengit daripada pembangkang yang cuba untuk meraih kembali kerusi tersebut selepas kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tahun lalu.

 

Agenda Yang Dibawa Setiap Calon

Walaupun PH menjadi kerajaan, mereka tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukan tersebut.

Atas sebab itu, sejak beberapa minggu ini, banyak calon yang boleh dikategorikan sebagai calon  ‘top five’  atau pemimpin tertinggi dari PH dilihat tidak putus-putus untuk turun padang memberikan sokongan padu terhadap calon mereka.

Sumber: mStar

Malah, tidak terkecuali juga pembangkang dan calon bebas yang masing-masing berhempas pulas berkempen dalam usaha untuk menawan hati pengundi.

Bagi PH, agenda yang dibawa oleh mereka dilihat lebih tertumpu kepada rakyat yang mana lima agenda perjuangan yang bakal direalisasikan sekiranya menang pada PRK Semenyih.

Antara lima agenda tersebut adalah Semenyih lestari, Semenyih selamat, Semenyih maju, Semenyih sihat dan Semenyih terhubung yang selari dengan belanjawan kerajaan negeri.

Sumber: Malaysiakini

Manakala Barisan Nasional (BN) yang tidak kurang juga kuatnya, memandangkan fenomena atau imej ‘Bossku’ yang menghangatkan lagi suasana kempen tersebut dengan mendekati penduduk di kawasan itu.

Tidak kurang juga bagi calon bebas atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ yang tidak putus mengambil hati rakyat dengan kerja-kerja kebajikan.

Sumber: The Klasik

Daripada perkhidmatan ambulans, teksi 10 sen, van jenazah, tempat mengambil makanan percuma untuk mereka yang putus makanan, membasmi pelajar sekolah lapar, memberi bantuan 24 jam, memberi permit perniagaan kepada semua gerai tepi jalan, memberi ruang kepada perokok di kedai makan, menubuhkan pasar 10 sen serta penubuhan ahli jawatankuasa perpaduan serta keselamatan antara yang bakal direalisasikan.

 

Pengundi Perlu Bijak Buat Pilihan

Melihat kepada kemenangan besar yang berpihak kepada BN di PRK Cameron Highlands sebelum ini jelas sekali memperlihatkan bahawa PH tidak boleh terlalu selesa dengan kedudukannya sebagai kerajaan.

Sumber: SAYS.com

Ditambah pula dengan kritikan bahawa kerajaan PH tidak mampu menunaikan janji-janji dalam manifestonya juga menjadi antara faktor yang boleh mengubah pemikiran rakyat di kawasan tersebut.

Walaupun beberapa penganalisis berpendapat bahawa PH mampu menang pada PRK Semenyih ini namun tidak mustahil juga untuk BN memenangi kerusi tersebut seperti mana yang berlaku di Cameron Highlands baru-baru ini.

Apa-apa pun, rakyat perlu bijak membuat pilihan yang mana PH kini adalah kerajaan dan berpotensi besar untuk membawa perubahan di sesuatu kawasan tersebut berbanding pihak lawan.

Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berkata adalah sia-sia sekiranya pengundi di Semenyih memilih BN atau parti lain pada PRK berkenaan memandangkan pembangkang tidak mampu melaksanakan agenda pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat kerana tidak mempunyai kuasa di peringkat Persekutuan dan negeri.

Pun begitu, sekiranya pihak lawan memenangi kerusi tersebut, rakyat masih perlu bergantung kepada kerajaan untuk mendapatkan kelangsungan hidup mereka dalam tempoh 5 tahun ini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, mampukah PH mengekalkan kerusi di PRK Semenyih kali ini memandangkan Selangor merupakan kubu kuat Keadilan?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN