Sudah beberapa hari berlanjutan, isu yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman dilihat mendapat perhatian masyarakat memandangkan ada yang cuba mengapi-apikan isu tersebut dengan mengaitkannya dengan isu perkauman.

Mana tidaknya, berdasarkan kepada rakaman video yang menjadi viral, ia jelas menunjukkan dua kumpulan bergaduh sesama sendiri pada awal pagi di tapak kuil itu.

Apa yang menghairankan di sini, rusuhan besar yang berlaku di tapak itu turut dikaitkan dengan kumpulan lelaki Melayu yang turut sama menceroboh kawasan kuil.

Sumber: YouTube

Difahamkan selepas pergaduhan tersebut tercetus, kumpulan lelaki Melayu itu telah melarikan diri dari kawasan kuil yang mana penganut agama Hindu pula secara tiba-tiba bertindak membakar beberapa buah kenderaan yang dipercayai milik kumpulan lelaki yang menceroboh kawasan itu.

Akibat dari itu, pihak bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam api malah ia menjadi lebih teruk lagi apabila seorang anggota bomba, Mohammad Adip Kassim telah dicederakan oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Sumber: Kosmo

Berdasarkan video rakaman ketika sekumpulan individu menyerang jentera bomba tersebut, Mohammad Adib dikatakan telah diseret keluar sehingga beliau mengalami kecederaan serius dan dibawa ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) oleh orang awam sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Institut Jantung Negara (IJN).

 

Siapa Sebenarnya Dalang Disebalik Kejadian Ini

Sumber: Editor Malaysia

Dalam isu ini, ramai pihak yang mengatakan punca sebenar rusuhan adalah disebabkan salah faham penganut agama Hindu yang mengingkari arahan pihak mahkamah untuk berpindah ke lokasi lain dan tanah tersebut diserahkan kembali kepada pemaju hartanah.

Difahamkan, empat pihak terbabit dalam kes tersebut adalah kerajaan negeri, pemilik tapak kuil, One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil itu, K Chellappa dan M Nagaraju.

Bagaimanapun, pemaju terlibat, One City Development Sdn Bhd berkata pihaknya tidak terlibat dalam rusuhan tersebut dan menyifatkan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka sebagai tuduhan yang berniat jahat.

Sebelum ini, dalam kejadian rusuhan tersebut, beberapa penganut Hindu menuduh pemaju dengan mengatakan mereka sengaja menghantar orang mereka untuk menyerang kuil itu.

Dakwaan tersebut ternyata benar di mana hasil siasatan ke atas kuil tersebut mendapati peguam kepada pemaju One City Development Sdn Bhd memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil berkenaan sejak Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, dua peguam terbabit antara 21 orang yang sudah ditahan polis bagi membantu siasatan insiden rusuhan berkenaan.

Peguam tersebut dipercayai membayar sejumlah RM150,000 kepada ketua kumpulan terbabit dengan anggaran setiap seorang akan diberi upah antara RM150 hingga RM300.

 

Majlis Peguam Kutuk Keras Tindakan Peguam Yang Melanggari Undang-Undang

Sumber: Berita Harian

Sebaik pihak polis berjaya menyiasat insiden tersebut yang mana peguam kepada pemaju One City Development Sdn Bhd sebenarnya dalang di sebalik kejadian berkenaan, Majlis Peguam Malaysia mengutuk keras pembabitan mana-mana peguam dalam perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Presidennya George Varughese dilaporkan berkata, pihaknya meneliti dengan penuh prihatin kenyataan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa ada peguam terlibat dalam insiden kekecohan di kuil tersebut.

Sumber: Utusan

Menurut beliau lagi, tindakan peguam tersebut dianggap sebagai tindakan salah laku profesional dan perlanggaran etika profesional yang serius.

Malah, Majlis Peguam turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi terhadap sebarang salah laku jika ada bukti atau salah laku professional di mana pihaknya akan membuat aduan kepada Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara (ASDB).

Bukan itu saja, sekiranya benar peguam tersebut terbukti bersalah, maka ASDB sebagai badan bebas Majlis Peguam akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan menyiasat sebarang salah laku profesional dengan mengadili perkara itu dan melaksanakan hukuman disiplin yang sesuai kepada peguam tersebut.

 

Peguam One City Nafi

Dua peguam bela yang mewakili kakitangan syarikat pemaju, One City Development Sdn. Bhd. menafikan bahawa mereka terlibat mengupah samseng hingga mencetuskan insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman itu.

Dua peguam berkenaan adalah Mohamed Hanif Khatri Abdulla dan Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tiga kakitangan syarikat itu yang ditahan berkaitan kes rusuhan tersebut.

Menurut Hanif, beliau dan Muhammad Rafique dilantik oleh pihak syarikat pada waktu malam Isnin lalu selepas berlakunya insiden rusuhan tersebut.

penularan mesej di laman sosial Facebook dan WhatsApp mengenai pembabitannya dan Rafique dalam memberikan upah kepada samseng dalam rusuhan itu, dianggap satu tuduhan yang melulu dan tidak benar.

Dalam kes ini, pihak polis perlu memainkan peranannya menjejaki dalang sebenar yang membuat kecoh dan huru hara sehingga tercetusnya rusuhan. Lebih malang lagi, ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dalam isu ini untuk memainkan sentimen perkauman. Jika dibiarkan berlarutan perkara ini, ia boleh menggugat keharmonian dan keselamatan rakyat Malaysia.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Sekiranya benar peguam tersebut mengupah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil berkenaan, adakah beliau patut dikenakan tindakan undang-undang juga?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN