Selepas ini, mana-mana individu yang cuba membangkitkan sensitiviti perkauman, bangsa dan agama di negara ini akan terus ditangkap serta merta dan tiada lagi amaran dikeluarkan.

Sumber: Sinar Harian

Keputusan yang dibuat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador itu turut terpakai kepada pemimpin politik.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas melihat banyak pihak terpedaya dengan agenda tertentu yang dicipta pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Pendekatan baru yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bagaimanapun terus menjadi bualan hangat semua pihak termasuk netizen di media sosial yang rata-ratanya bersetuju dengan langkah tersebut memandangkan ramai pihak cukup berani bermain dengan isu perkauman yang dilihat semakin membimbangkan pada hari ini.

 

Tiada Tempat Untuk Mereka Yang Cuba Bakar Sentimen Perkauman Di Negara Ini!

Sejak dulu lagi, kerajaan sama sekali tidak berkompromi dengan sentimen perkauman yang dapat dilihat menerusi penubuhan Majlis Perundingan Negara di Dewan Negara, Kuala Lumpur pada 1970 bertujuan memahami latar belakang kebudayaan, sosial, ekonomi dan agama setiap kaum di negara ini.

Sumber: Malaysiakini

Jadi, segala tohmahan yang dilemparkan individu berkenaan di media sosial terhadap kaum lain akan dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan disiasat oleh PDRM. 

Walaupun negara kita mempunyai pelbagai undang-undang berkaitan isu berkenaan, namun ada sesetengahnya masih tidak menghormatinya. 

Tetapi kini, bila mana isu perkauman makin jadi-jadi, PDRM perlu membuat langkah sebegini kerana jika terus bagi muka, makin teruk jadinya.

Daripada sekecil-kecil isu, akhirnya menjadi besar. Semuanya disebabkan kegagalan mulut ketika mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi dan penghinaan.

 

Wajar Dilaksana Sejak Dahulu 

Pendekatan PDRM ini sewajarnya dilaksana sejak dahulu lagi. Sekarang ini, bila keadaan dah jadi huru-hara. Barulah hendak ambil pendekatan sebegini. Itupun sudah terlambat kerana benda sudah jadi. 

Lihat sahaja sekarang ini, banyak isu perkauman dibangkitkan di media sosial bagai tiada kesudahannya. Semuanya dilakukan oleh individu yang menyalahgunakan medium itu dengan mencipta akaun palsu bagi mencetuskan perbalahan dalam masyarakat.

Sumber: Suara Pakatan Daily

Ada juga sesetengah pemimpin politik yang menjadikan isu perkauman dan keagamaan demi kepentingan politik dan parti masing-masing sehingga tercetusnya keretakan hubungan sesama kaum di negara ini.

Sehinggakan pihak luar juga semakin berani mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman di negara ini yang mana ia sama sekali memberi tamparan hebat buat kita. 

Sebelum ini, pihak polis mungkin boleh ‘berlembut’. Namun, cara sebegitu nampaknya tidak cukup berkesan dalam mendidik masyarakat daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat perpaduan masyarakat dan ketenteraman awam.

Jadi, bila mana tindakan seperti ini dikuatkuasakan, PDRM perlu laksanakan tanggungjawab mereka dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan bukannya ‘sembang kosong’ supaya semua pihak takut dan menghormati keputusan itu. 

 

Antara Insiden Yang Bawa Isu Perkauman

Sebelum ini banyak peristiwa yang hampir membawa kepada isu perkauman seperti pergaduhan berpunca kes curi telefon bimbit yang berlaku di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur pada Julai 2015.

Begitu juga insiden kekecohan di Plaza Kota Raya, Kuala Lumpur membabitkan perasaan tidak puas hati antara pelanggan dengan peniaga di kompleks terbabit sehingga membawa kepada kekecohan pada Disember 2015.

Sumber: Malaysia Gazette

Manakala, pada 26 November 2018, seorang anggota bomba Muhammad Adib Kassim meninggal dunia selepas cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya. Sehingga ke hari ini, kejadian itu masih tidak boleh dilupakan seluruh rakyat Malaysia yang rata-ratanya berharap keadilan diberi kepada arwah Muhammad Adib.

Pada 11 Ogos 2019, seorang pengguna lebuh raya, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, disahkan meninggal dunia selepas dilanggar seorang lelaki berusia 40 tahun yang berpunca dalam kemalangan kecil Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Pada 13 Ogos, sebuah pertubuhan dari Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dilaporkan menggerak usaha mengadakan petisyen membantah pembelajaran Jawi dan khat yang dianggap langkah Islamisasi terhadap bukan Melayu di negara ini.

Sumber: Google

Kenyatan Dong Zong itu menyebabkan Perdana Menteri, Dr Mahathir menganggap Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, termasuk dalam isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Yang terbaru, isu mengenai pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik yang dipercayai mengeluarkan kenyataan ‘pedas’ terhadap kaum Cina di negara ini sehingga menyebabkan beliau tidak boleh berceramah di semua medium, termasuk media sosial.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda bersetuju dengan langkah PDRM ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN