Negara pada hari ini semakin dibingungkan dengan perkara-perkara aneh yang dilakukan oleh rakyat Malaysia. Tuntut-menuntut jawatan yang agak mustahil seakan menjadi satu norma pada hari ini. Isu tuntutan individu terhadap Kesultanan Melaka dengan mendakwa dia merupakan waris sah kesultanan Melaka masih tidak reda. Terbaru, wujud seorang pemuda mendakwa dia telah dilantik oleh warga jin dan telah diangkat bagi mengetuai kerajaan jin dengan gelaran Raja Muda Bunian.

Menurut Sinar Harian, pemuda yang ditabalkan oleh jin menggelarkan dirinya sebagai Raja Muda Abdul Aziz. Dia dikatakan sering mengadakan pertemuan bersama jin dan bunian yang mendiami kawasan tersebut pada waktu malam bagi menyampaikan taklimat pengurusan dan pentadbiran kerajaan bayangannya.

Sumber: Astro Awani

Ditabal Jin Dan Dikatakan Mendapat Perkenan Sahabat Rasulullah

Perlantikannya sebagai Raja Muda Bunian dilakukan oleh warga jin sejak beberapa bulan yang lalu setelah mengakui akan kehebatannya dalam bertempur dan berhujah. Malah, dia dikatakan mendapat perkenan empat sahabat Rasulullah yang didakwa ditemui secara jaga ketika berada di Surau Bukit Bauk.

Pemuda tersebut turut mendakwa pernah diminta oleh jin untuk menghukum sesiapa yang tidak boleh menerimanya sebagai raja. Namun atas pertimbangan bagi membina hubungan baik sesama manusia, dia tidak melakukannya.

Sumber: Sinar Harian

Surau Dijadikan Istana

Sudahlah menggelar diri sebagai raja bunian, surau yang menjadi tempat berteduhnya selama enam bulan turut dijadikan sebagai istana. Lebih memeranjatkan, surau tersebut dihias dengan barang-barang aneh dan meragukan. Akibatnya, surau di Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun, Terengganu tidak lagi dikunjungi penduduk setempat kerana kekhuatiran terhadap perkara-perkara aneh yang akan berlaku.

Mengetahui penerimaan penduduk setempat sangat dingin kepadanya, dia tetap mempertahankan takhta yang ‘diamanahkan’ menyebabkan beberapa penduduk setempat melaporkan kepada pihak polis. Ketika dia ditangkap, keadaan menjadi sedikit panik, pemuda tersebut melaungkan perkataan ‘Daulat Tuanku’ beberapa kali sebelum ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Dungun.

Berbincang Dengan Jin Sebelum Meletak Jawatan

Sungguhpun sudah ditangkap, pemuda tersebut masih lagi tidak mengalah. Dia mendakwa akan berbincang dengan pembesar dari kalangan jin terlebih dahulu sebelum membuat keputusan meletak jawatan. Sungguh aneh bukan?

Jumpaan Batu Nisan Dan Barangan Aneh

Apa yang memeranjatkan, ketika serbuan dilakukan polis menemui sebuah sofa yang dijadikan sebagai takhta kerajaannya, payung tergantung, kitab dan beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemujaan. Malah, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superitendan Mohd Zohan Seman berkata, polis turut merampas sebatang kayu mimbar yang dibalut dengan kain kuning dan putih serta dua batu nisan.

Sumber: Depakata

Sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada pemuda tersebut berada dalam keadaan waras atau sebaliknya memandangkan kelakuannya yang sangat aneh.

Perlu Dipandang Serius

Kewujudan individu-individu yang menuntut takhta yang tidak munasabah wajar dipandang serius oleh semua pihak. Perkara ini sekiranya dibiarkan, akan membarah di kalangan masyarakat dan akan mewujudkan pelbagai lagi watak pelik yang tidak masuk akal yang bakal mengganggu-gugat keharmonian masyarakat. Sewajarnya peruntukan undang-undang yang lebih tegas wajar dikenakan kepada mereka agar menjadi tauladan kepada masyarakat.

Kes pemuda tersebut akan disebut pada 28 Julai ini di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu dan akan didakwa di bawah kesalahan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, iaitu di bawah Seksyen 6 (b) berkaitan dengan dakwaan palsu. Jika disabitkan bersalah, dia bakal didenda RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, apakah menyebabkan golongan-golongan seperti ini wujud?
5 votes · 5 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN