Desas-desus penutupan 21 daripada 27 Institusi Pendidikan Guru (IPG) telah dilaporkan oleh beberapa akhbar baru-baru ini nampaknya sudah terjawab. Kementerian Pendidikan menerusi Menterinya, Dr. Maszlee Malik hari ini memaklumkan bahawa tidak ada mana-mana IPG yang akan ditutup seperti yang didakwa oleh kebanyakan media.

Sumber: Latest Malaysia News

Tindakan menutup IPG merupakan sutu tindakan yang berisiko dalam jangka masa panjang dan masa hadapan landskap pembinaan pembangunan profesionalisme keguruan.

Memetik laporan buletinonline.net, IPG merupakan institusi pendidikan yang penting buat negara. Ini kerana ia telah memberikan sumbangan yang besar terhadap peningkatan profesionalisme keguruan dan kualiti pendidikan di negara ini.

Disebabkan itu, isu pendidikan merupakan isu yang sangat sensitif bagi semua pihak. Bukan sahaja oleh ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO), bahkan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Sehinggakan Gabungan Intelektual Pendidik Guru SeMalaysia (Genius) menzahirkan rasa keresahan tentang ura-ura penutupan institusi terbabit.

Sumber: Sinar Harian

Bagaimana Isu Penutupan IPG Timbul?

Sebenarnya desas-desus penutupan IPG telah lama diperkatakan. Boleh dikatakan sejak pembentukan kabinet baharu kerajaan Pakatan Harapan pada tahun lalu. Walau bagaimanapun, khabar angin demi khabar angin tersebut terus bertiup kencang. Sehinggakan pada penghujung Ogos, Genius menyuarakan kebimbangan terhadap senario yang berlaku.

Ini kerana mereka mendapat makluman bahawa IPG telah menerima arahan daripada pengurusan tertinggi di luar Kementerian Pendidikan bahawa sebanyak 11 IPG berkemungkinan akan dijual atau akan diambil alih untuk dijadikan Institut Latihan Awam (ILA).

Disebabkan itu, Dr. Maszlee mengingatkan pihak yang mengeluarkan berita supaya merujuk kepada kementerian terlebih dahulu.

Polisi Kerajaan Lama Tak Tutup IPG Tapi Tukar Fungsi

Isu penutupan IPG sebenarnya telah lama dibangkitkan oleh kementerian semasa pentadbiran kerajaan terdahulu. Malah, penutupannya telah menjadi polisi kerajaan lalu sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan. Buktinya, pemotongan separuh elaun pelajar daripada RM800 kepada RM400 dan peruntukan-peruntukan lain di setiap IPG.

Sumber: Berita Harian

Pun begitu, memetik laporan UMNO-Online, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa dasar kerajaan BN tidak menutup IPG, sebaliknya menukar fungsi iaitu dengan menukar 11 buah IPG kepada Kolej Vokasional, Politeknik dan Permata Pintar.

Langkah tersebut dikatakan selaras dengan perkembangan serta keperluan ‘Technical Vocational Education and Training (TVET) di negara ini.

Adakah Penutupan IPG Tidak Akan Terjadi?

Walaupun Kementerian Pendidikan telah menafikan bahawa IPG akan ditutup, tetapi khabar angin tersebut tidak boleh dipandang enteng. Ini kerana kebarangkalian dasar Kementerian Pendidikan untuk melakukan perubahan dasar (U-Turn) di saat-saat akhir adalah sangat tinggi. Lihat sahaja isu berkaitan PTPTN, pengaplikasian tulisan jawi dalam pendidikan dan sebagainya yang diubah di saat akhir.

Lebih-lebih lagi apabila pengumuman secara terperinci akan bergantung kepada pembentangan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.  

IPG yang dahulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan telah dinaik taraf sejak tahun 2005/2006 dengan bermulanya Program Pensiswazahan Guru. Penaik tarafan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan standard guru dari pendidikan di peringkat diploma dan maktab kepada pendidikan ijazah setaraf dengan bidang-bidang profesional yang lain.

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda yakin IPG tidak akan ditutup?
6 votes · 6 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN