23 Julai yang lalu, seramai kira-kira 1000 orang pelajar Universiti Multimedia (MMU) Melaka telah mengadakan protes di Dataran Presiden universiti tersebut ekoran peningkatan yuran aktiviti mahasiswa (SAF).

Pihak universitI dalam memo kepada pelajarnya menyatakan, mereka berhasrat untuk menaikkan yuran tersebut daripada RM110 kepada RM500 setiap tahun.

Memo tersebut turut menyatakan, keputusan itu diambil bagi membolehkan penganjuran aktiviti pelajar yang lebih berimpak tinggi.

Peningkatan itu dijangka akan dijalankan pada April 2020.

Namun, majoriti penuntut universiti tersebut tidak bersetuju dengan tindakan yang dianggap melampau dan tidak adil itu.

 

Objektif SAF

MMU menyatakan, objektif SAF adalah untuk menggalakkan mahasiswa menganjurkan lebih banyak aktiviti dalam membangun dan meningkatkan kemahiran kepemimpinan, komunikasi, kerja berpasukan, kreativiti, menyelesaikan masalah dan menanam tingkah laku warganegara yang baik dalam kalangan pelajar.

Jelasnya, dengan semakan semula kadar ini, setiap persatuan pelajar akan menikmati lebih banyak peruntukan tahunan, peningkatan skim kebajikan pelajar, peningkatan insentif dan elaun kepada pelajar yang mewakili MMU.

Presiden Majlis perwakilan pelajar (SRC)  Pouria Zibaei mendakwa pengumuman kenaikan yuran tersebut dibuat tanpa mendapat kebenaran majlis itu, kelab dan persatuan.

Walaubagaimanapun, MMU menjelaskan pihaknya berhak memutuskan perkara mengenai yuran SAF tanpa persetujuan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau mana-mana pertubuhan mahasiswa.

Menurut MMU,  kadar baharu tersebut diputuskan setelah mengadakan kajian menyeluruh mengenai kos semasa diperlukan untuk menjayakan sebarang penganjuran acara dan aktiviti.

 

Desak Kerajaan Tunai Manifesto

Isu ini juga telah mendapat perhatian dari Mahasiswa Keadilan Malaysia yang membantah keras kenaikkan yuran universiti tersebut.

Presidennya , Na’im Brundage berkata pihaknya akan terus mendesak kerajaan bagi menunaikan manifesto membabitkan kebajikan serta hak golongan itu termasuk dalam isu kenaikan mendadak yuran MMU.

Sejumlah 11,500 tandatangan pelajar berjaya dikumpulkan oleh SRC berhubung kes itu dan diserahkan kepada pihak pengurusan pada 19 Julai.

Pihak pengurusan katanya sentiasa terbuka mengadakan perbincangan terbuka dengan mahasiswa

 

MMU Akur

Selepas desakan dan protes yang dilakukan oleh para pelajar, MMU bersetuju untuk tidak menaikkan yuran aktiviti untuk semua pelajar sarjana dan sarjana muda sedia ada.

SRC dalam satu kenyataan berkata, pengumuman rasmi berkaitan polisi itu akan dikeluarkan oleh pihak pengurusan selepas perbincangan lebih terperinci diadakan dengan pihak mereka.

Keputusan menang-menang ini merupakan hasil rundingan antara SRC dan pihak pengurusan MMU.

Nampaknya cara berdemo ini masih relevan untuk dilaksanakan bagi menekan sesuatu pihak untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

 

Yuran Pengajian Di Malaysia Antara Termahal

Isu kenaikkan yuran universiti bukanlah perkara baru,  tahun lalu, kontroversi kenaikan yuran pengajian di Universiti Malaya(UM) terhadap penuntut tempatan dan luar negara menimbulkan kerisauan para pelajar sehingga pihak kementerian pendidikan terpaksa campur tangan berbincang dengan pentadbiran universiti.

Malah, yang terbaru Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga turut mengenakan kenaikan yuran perkhidmatan bagi kemasukan pelajar baharu universiti itu bagi sesi Februari 2020.

Perkara ini sesuatu yang perlu dipandang serius kerana ia melibatkan masa depan pelajar. Kebanyakkan para pelajar ini dibawah tanggungan ibu bapa.

Dengan ekonomi yang masih belum stabil , kadar harga barang yang masih tinggi ketika ini, tidak seharusnya yuran pengajian juga dinaikkan.

Secara purata kos keseluruhan yuran pengajian di Malaysia ialah sebanyak RM76,554 dimana 55 peratus gaji ibu bapa dibelanja untuk yuran pengajian.

Data ini diperolehi hasil analisa laman pembekal B2B atas talian Expert Market terhadap data yuran pengajian daripada Quacquarelli Symmonds (QS) Top Universities bagi tahun akademik 2014/2015 dan data laporan Gallup Median Self-Reported Income 2013.

5 tahun lalu, Malaysia berada di tempat ke lima yuran universiti paling mahal di dunia berbanding negara lain di dunia.

Tanpa biasiswa atau pinjaman, ibu bapa akan kehilangan lebih separuh gaji mereka untuk yuran pengajian anak-anak.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah para pelajar perlu berdemo setiap kali yuran ingin dinaikkan pihak univerisit?
5 votes · 5 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN