Setelah lebih 51 tahun beroperasi, akhirnya Pasar Payang bakal ditutup pada April tahun ini. Penutupan bukan bermaksud akan ditutup selama-lamanya, tetapi akan dinaiktaraf dengan bangunan yang lebih besar dan kemudahan lebih canggih. Pasar Payang yang didirikan sejak tahun 1960-an sudah menjalankan beberapa kali penaiktarafan.

Sumber: Wikiwand

Pasar Payang mendapat namanya sempena ‘perahu payang’ yang digunakan oleh nelayan sejak awal proses perdagangan dinegeri Terengganu. Sekitar tahun 1960-an hingga awal 80-an, perahu atau bot adalah pengangkutan utama masyarakat dari Paloh, Seberang Takir, Teluk Pasu dan Kuala Nerus. Pada asalnya, ia hanyalah gerai berasaskan kayu sebelum dinaiktaraf pada tahun 1968. Pasar ini beroperasi bermula dari 7 pagi sehingga 6 petang.

Sumber: Free Malaysia Today

Bangunan dua tingkat yang bakal dirobohkan itu menyediakan pelbagai barangan jualan di bahagian atas terutamanya kain songket asli Terengganu dan kain batik. Manakala di aras bawah, terdapat gerai-gerai yang menjual barangan basah seperti rempah ratus dan barang kemas.

Dipindahkan Sementara

Buat sementara waktu, sebanyak 1,000 premis perniagaan akan dipindahkan ke Pasar Payang 2 untuk sementara, yang terletak 80 meter bersebelahan dari premis asal. Peniaga tempatan sudah pun dimaklumkan oleh wakil dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan wakil rakyat selama tiga hari berturut-turut.

Sumber: Dialog Rakyat.blogspot

Kontroversi Pasar Payang

Isu pembangunan semula Pasar Payang sudah lama diperkatakan. Ia menjadi isu kontroversi sekitar tahun 2013 dan 2014. Kerajaan Negeri Terengganu pada ketika itu, bertegas mahu meneruskan pembinaan Pasar Payang yang baharu dan ‘mengugut’ para peniaga yang membantahnya.

Malah, pada tahun 2014, pengunjung juga turut tidak bersetuju dengan pembangunan semula pasar tersebut kerana dikhuatiri sekiranya dalam keadaan baru, harga sewa premis akan menjadi tinggi lantas menyebabkan harga barangan akan menjadi lebih mahal. Terdapat juga pengunjung yang tidak bersetuju pembangunan semula kerana mahu mengekalkan ciri-ciri tradisional Pasar Payang.

Sumber: Facebook Berita Harian

Namun pada masa kini, rata-rata netizen sudah mula menerima maklum balas positif berkenaan struktur Pasar Payang yang sudah uzur dengan usianya, dan amat wajar dibangunkan bangunan yang baru yang lebih baik dan kukuh.

Penuh Kenangan

Berdasarkan tinjauan dari Bernama, rata-rata peniaga rasa berbelah bahagi untuk berpindah memandangkan pasar tersebut menyimpan pelbagai memori serta telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Lebih manis lagi, ia dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 31 Ogos 1968.

Salah seorang peniaga lama di Pasar Payang, Ibrahim Jusoh, 65, berkata Pasar Payang berada pada zaman kegemilangan sekitar tahun 1980-an kerana mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Beliau telah berniaga semenjak tahun 1960-an lagi ketika berusia sembilan tahun dengan mengikuti ibunya yang menjual makanan ayam seperti jagung, sekam dan padi.

Terdapat juga peniaga yang minta masa untuk ditangguhkan. Mohamad Abdul Rahman 65, berkata MBKT perlu memberi masa kepada semua peniaga sehingga akhir bulan Jun. Ini kerana bukan semua peniaga yang berniaga secara gerai dan boleh berpindah dengan mudah.

Sumber: Astro Awani

Difahamkan saiz lot kedai yang disediakan hanya bersaiz 10 x 10 berbanding keluasan premis mereka iaitu 20 x 10. Ini kerana, terdapat juga peniaga yang menyewa lot kedai di Pasar Payang mungkin perlu menyewa lot kedai lain untuk dijadikan stor.

Pengecilan saiz premis sementara menyebabkan mereka perlu mengambil masa yang lebih lama untuk mencari alternatif bagi menyimpan barangan stor yang banyak.

Sungguh pun begitu, didapati seramai 80 orang peniaga gagal mendapatkan lot kedai di Pasar Payang 2 ekoran pelbagai masalah terutama mempunyai rekod bayaran sewa tertunggak dan kesalahan memberi sewa kepada peniaga lain.

Walau apa pun, pembangunan pasar baru diharapkan dapat mengekalkan ciri-ciri tradisional Pasar Payang dan memastikan agar sewaan tapak yang dikenakan adalah berpatutan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang membebankan pembeli.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah Pasar Payang yang baru mampu memberi impak tarikan pelancong?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN