Sekolah swasta telah wujud di Malaysia sejak sebelum kemerdekaan. Terdapat pelbagai jenis sekolah swasta, terutamanya:

Sekolah Rendah/Menengah Swasta – Sekolah yang dimiliki dan diurus oleh entiti swasta, tetapi mematuhi kurikulum tempatan (Contoh: UPSR, SPM).

Sekolah Antarabangsa – Sekolah yang mematuhi kurikulum negara lain (Contoh: O-Level).

Sekolah Menengah Persendirian Cina – Sekolah berautonomi yang mengutamakan pendidikan dalam Bahasa Cina, dan mematuhi kurikulum yang ditetapkan oleh badan Dong Jiao Zong (Contoh: UEC).

Sumber: Malaysia Central

Sepanjang abad ke-21, liberalisasi sektor pendidikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak telah meningkatkan permintaan terhadap sekolah swasta.

Menurut kajian Februari 2016 oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan laporan Quick Facts 2017 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), evolusi jumlah pelajar di sekolah swasta tersebut adalah seperti berikut:

Sumber: MOE

Berdasarkan statistik ini, sudah jelas bahawa secara keseluruhan, lebih ramai ibu bapa sedang memutuskan untuk hantar anak-anak mereka ke sekolah swasta.

 

Memupuk Elitisme?

Namun begitu, majoriti besar pelajar-pelajar Malaysia masih belajar di sekolah jenis kebangsaan (ataupun sekolah biasa). Menurut laporan Quick Facts 2017, hampir 5 juta pelajar di peringkat rendah dan menengah menghadiri sekolah biasa.

Halangan utama kepada mereka yang ingin berdaftar dalam sekolah swasta adalah kos.

Menurut kajian IDEAS, sekolah rendah/menengah swasta yang termurah di Lembah Klang biasanya mengenakan yuran sekitar RM25,000 setahun, manakala yuran sekolah antarabangsa yang termahal mampu melebihi RM50,000 setahun.

Yuran sekolah menengah persendirian Cina biasanya sekitar RM3,500 – RM4,500 setahun, malah boleh melebihi RM6,000 setahun bergantung kepada lokasi.

Oleh itu, sudah tentu bahawa hanya mereka yang sudah berharta mampu menghantar anak-anak mereka kepada sekolah swasta. Walaupun sebahagian daripada sekolah swasta menawarkan biasiswa, hanya minoriti yang bernasib mampu bermanfaat.

 

Kualiti Pendidikan yang Lebih Tinggi?

Meskipun, berdasarkan soal selidik pada tahun 2014 yang dijalankan oleh IDEAS terhadap golongan B40, sebanyak 74% daripada mereka yang disoal teringin untuk menghantar anak-anak mereka kepada sekolah swasta jika mempunyai kemampuan.

Faktor yang mungkin mempengaruhi sikap tersebut adalah kepercayaan terhadap kualiti pendidikan yang lebih baik di sekolah swasta berbanding dengan sekolah biasa.

Menurut kajian IDEAS, antara kebimbangan kalangan ibu bapa mengenai sekolah biasa termasuk:

Kurikulum – Persepsi bahawa sekolah biasa terlalu berfokus kepada rote-learning dan prestasi peperiksaan.

Keupayaan Guru-Guru – Persepsi bahawa guru-guru di sekolah biasa tidak berkelayakan atau kurang motivasi dan minat terhadap pelajar.

Bahasa – Peluang terhad dalam sekolah biasa untuk belajar bahasa ibunda dan kemerosotan kualiti Bahasa Inggeris.

Profil Sosial – Bias kepada pelajar-pelajar Melayu serta fokus yang eksesif terhadap pendidikan Islam untuk mereka yang beragama Islam.

Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta, Ahmad Sabirin Abd Ghani, berpendapat bahawa mereka daripada latar belakang lebih bernasib baik turut memilih sekolah swasta sebagai destinasi pendidikan anak-anak mereka kerana ia sebuah tanda prestij.

Beliau juga berkata bahawa ramai ibu bapa ingin mendedahkan anak mereka kepada persekitaran pembelajaran yang ‘antarabangsa’ agar menyediakan generasi baharu untuk cabaran zaman globalisasi.

 

Pengawalan terhadap Sekolah Swasta

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, tanggungjawab sekolah rendah atau menengah swasta adalah untuk mematuhi kehendak Kurikulum Kebangsaan dan menyediakan murid bagi peperiksaan yang ditetapkan.

Ertinya, sekolah-sekolah tersebut wajib menawar mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, dan Matematik selaras dengan peperiksaan seperti UPSR dan SPM.

Sekolah antarabangsa tidak dikawal oleh Akta Pendidikan 1996. Sebaliknya, Kementerian Pendidikan (KPM) mengawal sekolah antarabangsa secara langsung melalui Bahagian Pendidikan Swasta.

Setakat ini, sekolah antarabangsa hanya perlu menawar mata pelajaran Bahasa Malaysia kepada pelajar tempatan, dan mata pelajaran Pendidikan Islam kepada pelajar yang beragama Islam.

Sekolah menengah persendirian Cina mematuhi peraturan yang ditetap oleh sebuah persatuan berautonomi yang bernama Dong Jiao Zong. Kerajaan persekutuan jarang bercampur tangan dalam urusan sekolah tersebut.

KATA ORANG

KATA ANDA

Sekolah swasta dan sekolah biasa, mana lebih baik?
5 votes · 5 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN