Kerajaan Malaysia ketika ini sedang berusaha mengadakan kempen membantah cadangan kesatuan Eropah untuk memboikot minyak kelapa sawit yang menjadi antara sumber pendapatan terbesar negara.

Namun disebalik usaha kerajaan itu, ada pula sekolah antarabangsa di Malaysia bertindak  mengadakan satu konsert yang menyaksikan pelajar membuat persembahan menyokong lobi anti minyak sawit.

Baru-baru ini telah tular sebuah video klip kejadian yang dikatakan berlaku dalam aktiviti tahunan sekolah yang melibatkan persembahan murid pada Jun lepas.

Sekolah tersebut didakwa menanam rasa kebencian dalam diri murid terhadap komoditi utama negara itu.

 

Tolak Tawaran Sesi Kesedaran

Tindakan tersebut telah menimbulkan rasa kekecewaan dan kekesalan terhadap keadaan ini yang boleh disifatkannya sebagai kurang faham mengenai industri terbabit serta usaha ke arah pemuliharaan dan kemapanannya.

Sepatutnya mereka perlu memahami cabaran yang dihadapi pekebun kecil dengan lebih baik, selain usaha dijalankan oleh kerajaan dan industri minyak sawit.

Untuk pengetahuan, lebih 650,000 pekebun kecil di Malaysia bergantung kepada tanaman sawit sebagai sumber pendapatan mereka.

Sumber : Google

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebelum ini berdepan kesukaran dengan beberapa sekolah antarabangsa di Lembah Klang yang menolak tawaran untuk mengadakan sesi kesedaran minyak sawit dengan pelajar.

Beliau juga mendakwa, sebilangan ibu bapa mengadu bahawa guru di sekolah antarabangsa menyebarkan pesanan anti minyak sawit kepada pelajar mereka.

 

KPM Ambil Tindakan

Tindakan di bawah peruntukan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] akan diambil ke atas sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur yang mengadakan aktiviti berbentuk propaganda anti minyak sawit

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, siasatan telah dijalankan terhadap sekolah terbabit dan penglibatan murid dalam aktiviti berbentuk propaganda jelas bertentangan dengan dasar negara dan boleh menjejaskan nama baik negara.

Kementerian Pendidikan juga akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua sekolah antarabangsa susulan insiden itu agar tidak berulang.

 

 

Wujudkan Budaya Takut Kepada Pelajar

Dalam pada masa sama, Kementerian Pendidikan digesa menghentikan sebarang tindakan yang mahu diambil terhadap sekolah antarabangsa.

Kumpulan penyokong kebebasan berekspresi, Artikel 19 mengatakan bahawa sebarang tindakan yang diambil ke atas sekolah itu akan mewujudkan “budaya ketakutan” dalam kalangan pihak yang pandangannya berbeza dengan kerajaan.

pegawai program Artikel 19, E Nalini berkata, kerajaan tidak boleh melarang kritikan dan pendapat, sebaliknya kerajaan mesti berhubung dengan pihak yang mengambil kedudukan yang berbeza.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Ramasamy juga menggesa kementerian pendidikan untuk mengambil inisiatif lain dan bukannya mengancam sekolah dengan tindakan tegas.

Ramasamy berkata jika sekolah dihukum, ia akan turut menjejaskan pelajar.

 

Sekolah Minta Maaf

Selepas mengkritik sekolah terbabit , Teresa Kok turut menggesa diadakan dialog terbuka dengan semua sekolah antarabangsa berhubung industri minyak sawit.

Kritikan beliau sebelum ini bukanlah percubaan untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi bertujuan merakamkan kekecewaan dan kekesalan terhadap keadaan ini.

Para guru sekolah seharusnya memahami inisiatif kerajaan dalam perkara ini daripada terus mengkritik kementerian dan menggunakan sekolah platform menyebarkan maklumat tidak benar terhadap pelajar.

Beberapa hari selepas itu, Teresa Kok dan sekolah antarabangsa yang mengadakan persembahan yang mengkritik industri minyak kelapa sawit akhirnya berdamai.

Menerusi satu hantaran Facebook hari ini, Kok berkongsi kunjungan pentadbir The International [email protected] untuk memohon maaf kepadanya berhubung insiden itu.

 

Kesatuan Eropah Cadang Boikot Minyak Sawit

Kesatuan Eropah sebelum ini merancang untuk mengekang penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar bio menjelang 2020 dengan alasan kesan alam sekitar tanaman itu yang sebahagian besarnya dihasilkan di Indonesia dan Malaysia.

Walaubagaimanapun, di negara ini, perkembangan industri sawit secara teratur dikawal selia oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui peraturan pelesenan dan pematuhan peraturan berkaitan alam sekitar serta amalan mampan.

Minyak sawit merupakan penyumbang terbesar pertanian kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, yang membentuk RM44.8 bilion atau 3.8 peratus daripada KDNK pada tahun 2017.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah tindakan yang diambil Kementerian Pelajaran itu satu tindakan tepat?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN