Baru-baru ini, tersebar satu klip video di media sosial yang menunjukkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menyebut perkataan ‘barua’ terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.  

Dalam video berkenaan, Anwar dilihat berkata kepada Mahathir bahawa beliau nampak semakin bertenaga sebaik memberikan ucapan di Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Tertutup Melawati Shah Alam pada Ahad lalu.

Anwar berkata “sejak balik daripada Kongres Maruah ini (Tun Dr Mahathir) lain macam”.

Namun, apa yang diperkatakan beliau itu telah menimbulkan huru-hara selepas ada pihak mendakwa beliau sengaja mempersendakan kongres itu yang turut dihadiri pemimpin UMNO, PAS serta Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

 

Cetus Ketegangan Dalam Kalangan Ahli Politik

Susulan kontroversi itu, penyokong tegar Mahathir, Khairuddin Abu Hassan pula dilihat menyerang Anwar hari ini.

Sumber: mykmu.net

Katanya, sekiranya Anwar cuba hendak bergurau sekalipun, perkataan ‘barua’ itu tidak sesuai sama sekali untuk disebut di hadapan seorang perdana menteri yang usianya lebih tua dari beliau.

Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat pembangkang hari ini mengusik Mohamad Sabu di Dewan Rakyat yang meminta beliau membuat penjelasan maksud sebenar yang ingin disampaikan Anwar, sama ada barua atau maruah memandangkan beliau dikatakan saksi di tempat kejadian.

Namun, Mohamad secara berkias meminta semua pihak untuk belajar menyebut perkataan dengan betul.

 

Anwar Nafi Dakwaan

Atas dakwaan yang tular itu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menfitnahnya.

Sumber: Free Malaysia Today

Tegasnya, beliau tidak menyebut perkataan ‘barua’ yang merujuk kepada Kongres Maruah Melayu dalam satu klip video yang tersebar sejak semalam itu.

Malah, apa yang disebutnya adalah “ini semua semangat maruah lepas Kongres Maruah (Melayu)” dan bukannya seperti yang didakwa beberapa pihak.

 

SetPol Tun M Nasihat Pemimpin

Setiausaha Politik kepada perdana menteri, Mohd Zahid Md Arip dalam responnya bersangka baik dan menganggap Anwar menyebut perkataan itu tanpa sengaja.

Dalam masa yang sama, dia turut mengingatkan semua pemimpin supaya bercakap dengan jelas bagi mengelakkan timbul salah faham.

 

Cubaan Nak Melaga-Lagakan Anwar & Tun M?

Jika kita ikuti senario politik, sejak dahulu lagi memang ada pihak dilihat cuba melaga-lagakan Anwar bersama dengan Tun Mahathir.

Boleh dikatakan, walau sekecil-kecil benda pun, ada sahaja yang dilihat tidak kena dan mahu dijadikan satu isu besar terutama sekali bagi pihak lawan.

Sumber: malaysianupdate.my

Maklumlah, sekarang ini semua pihak tak henti-henti memperdebatkan isu lantikan peralihan jawatan Perdana Menteri yang mana Tun Mahathir terdahulu mengatakan beliau mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Dalam masa yang sama, wujud juga konspirasi untuk mengangkat Timbalan Presiden PKR dan Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali atau Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Jadi, tidak hairanlah ada pihak yang cuba melaga-lagakan beliau bersama Tun Mahathir dengan mencetuskan sesuatu isu kotor sebegini untuk menjatuhkannnya. 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN