Setiap kali menjelangnya sambutan Tahun Baru, orang ramai pasti tidak ketinggalan untuk meraikan sambutan Ambang Tahun Baharu di beberapa lokasi tumpuan seperti Dataran Merdeka, KLCC, The Curve dan di sekitar ibu negara.

Tidak kira di ibu kota mahupun di lokasi lain, kita pasti akan melihat banyak sisa sampah sarap ditinggalkan berlonggok di tepi jalan selepas selesai acara tersebut.

Sumber: Sinar Harian

Yang terbaru, satu video berdurasi 27 saat yang memaparkan sampah sarap dipercayai hasil buangan orang ramai yang meraikan sambutan tahun baru di sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur menjadi tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen hingga ada yang menyifatkan tindakan itu sebagai tindakan memalukan, jijik serta tidak bertamadun.

Dalam hal ini, adakah penganjur yang patut dipersalahkan atau sikap masyarakat itu sendiri?

 

Kesedaran Alam Sekitar Masyarakat Masih Rendah

Sumber: Sinar Harian

Bukan sahaja sambutan Ambang Tahun Baru sahaja yang akan dipenuhi dengan sampah sarap tetapi sampah sarap juga sering ditinggalkan selepas perlawanan bola, pasar malam, acara sukan tertentu dan sebagainya.

Mungkin, ada segelintir masyarakat yang masih lagi menganggap bahawa kesemua sampah yang ditinggalkan mereka itu pastinya akan dikutip keesokan harinya oleh kontraktor dari pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap kawasan masing-masing.

Namun, sampai bila tanggapan sebegini harus kekal dalam setiap minda masyarakat?

Walaupun PBT memperuntukkan kontraktor untuk mengutip dan membersihkan sampah di sesuatu kawasan itu setiap hari, tidak semestinya kita boleh sewenang-wenangnya membuang sampah di merata tempat.

Jadi di sini, jelas sekali menunjukkan tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar masih berada pada tahap begitu rendah dan mengecewakan.

 

Kerajaan Perlu Perluas Kempen Kesedaran

Sumber: mynewshub.tv

Walaupun banyak kesedaran mengenai alam sekitar diperluas di kaca televisyen, radio mahupun akhbar, masyarakat masih lagi dilihat seperti tidak mengambil peduli akan pencemaran yang mereka sedang dilakukan itu.

Jika dahulu, kempen 3R iaitu reduce (kurang), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula) dilihat mendapat sambutan hangat masyarakat. Namun kini, kempen tersebut dilihat hanya dipraktikkan sebilangan kecil individu sahaja.

Dalam perkara ini, walaupun penganjur tidak menyediakan tong sampah yang banyak, sebagai masyarakat yang prihatin kita tidak sepatutnya membuang sampah tersebut di merata tempat.

Jika setiap seorang daripada kita mengamalkan untuk membawa plastik sampah besar setiap kali menghadiri satu acara yang dipenuhi orang ramai, kita pastinya mampu untuk mengubah sikap sebegini dalam kalangan masyarakat.

Atau paling tidak kurang pun, simpan sampah tersebut dan buang apabila menemui tong sampah berdekatan dan bukannya membuang sampah itu di merata-rata tempat dengan alasan bahawa sampah itu pasti akan dikutip oleh pihak berkuasa.

Selepas ini, kerajaan perlu lebih tegas terhadap isu alam sekitar dengan memberi tumpuan yang lebih kepada kanak-kanak dan generasi muda bagi mendidik mereka mengenai kesedaran menjaga alam sekitar ini.

Mengambil contoh di negara Taiwan, mana-mana individu yang membuang sampah di merata tempat atau tidak mematuhi amalan 3R ini, mereka boleh menghantar bukti dalam bentuk gambar terhadap mana-mana pesalah untuk pihak penguat kuasa menyaman mereka.

Jadi, mungkin dengan sebegini, ia serba sedikit dapat mendidik masyarakat untuk tidak membuang sampah di merata tempat kerana setiap tindakan yang mereka lakukan itu akan menerima padah sama ada dikenakan denda atau dihukum melakukan kerja-kerja komuniti seperti yang terkandung dalam pelaksanaan dasar komuniti negara yang dilaksana kerajaan kini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah kerajaan mengetatkan undang-undang dengan mendenda serta menghukum mereka yang didapati bersalah membuang sampah di merata tempat?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN