Sejak Perusahan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) memperkenalkan segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) pada Disember lalu, rekod penjualan Proton mencatatkan prestasi memberangsangkan. Bagi dua bulan pertama tahun 2019 sahaja, jualan mereka telah meningkat sebanyak 42 peratus berbanding pada tahun 2018.

Pendaftaran jualan keseluruhan Proton bagi bulan Februari adalah sebanyak 5,283 unit, dengan menguasai sebanyak 12.7 peratus pasaran. Ia merupakan peningkatan lebih dari tiga peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu. Peningkatan ini menjadikan Proton mengukuhkan kedudukan dalam kadar pertumbuhan bagi jenama automotif antara ketiga teratas di Malaysia.

Sumber: Free Malaysia Today

X70 Pencetus Kebangkitan Proton

Model X70, mencatatkan rekod jualan yang amat memberangsangkan dengan peningkatan jumlah jualan sebanyak 7,007 unit pada bulan Januari berbanding pada bulan Disember tahun lalu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, Proton X70 mengekalkan posisi sebagai SUV paling laris di Malaysia.

Pengenalan model X70 telah membuktikan Proton mampu mewujudkan kenderaan yang lebih kompetitif dan memenuhi citarasa pengguna masakini dengan penggunaan teknologi yang tinggi dan mudah.

Pemilihan Geely Sebagai Rakan Kongsi dan Strategik Tepat

Kelesuan jualan produk Proton, ketiadaan segmen kenderaan yang lebih inovatif ditambah dengan kerugian yang besar menyebabkan Proton mengambil keputusan menjual sahamnya sebanyak 49.9% kepada Geely Holding, sebuah syarikat automotif di China. 

Pada awalnya, ramai yang melatah kerana syarikat terbabit lazimnya dikaitkan dengan pengeluaran kereta berkualiti rendah. Ternyata sangkaan itu meleset dan dibuktikan pada hari ini dengan peningkatan jualan Proton.

Sumber: Just Read Online

Berdasarkan rekod, Geely berjaya meningkatkan keuntungan operasi Volvo Cars sebanyak AS$1.2 bilion pada tahun 2016, walhal sebelum ini Volvo berada dalam keadaan tertekan ketika di bawah pemilikan Ford. Begitu juga dengan penguasaan Geely dalam The Taxi Company yang menghasilkan teksi ikonik London Black Cabs di London.

Secara jelas, rekod Geely dalam dunia automotif tidak dapat disangkal, ditambah dengan pasaran jualan yang luas di China. Dengan kerjasama Geely ia membuka peluang bagi Proton memasuki China sebagai pasaran utama dunia dengan bilangan penduduk sebanyak 2 bilion.

Sehingga akhir Februari, lebih 20,000 tempahan X70 diterima, melebihi sasaran yang ditetapkan syarikat sekaligus menjadikan Proton sebagai peneraju dalam segmen SUV di Malaysia.  

Sumber: Pandu Laju

Servis Dinaiktaraf Kepada 4S

Permintaan menggalakkan model X70 menyebabkan banyak pengedar Proton menaik taraf pusat servis biasa kepada 3S dan 4S. Hasilnya, mereka meraih pelbagai manfaat, termasuk jualan yang memberangsangkan bagi model X70.  

Pusat Servis 3S menawarkan khidmat jualan, alat ganti dan servis, manakala 4S memasukkan perkhidmatan badan dan cat. Sehingga kini Proton sudah mempunyai 74 pusat 3S dan 4S menepati standard baharu imej korporat syarikat. Ketika ini, pembeli X70 lebih yakin untuk menghantar kenderaan menjalani servis di pusat 3S dan 4S.

Sumber: Places Map

Kilang di Tanjung Malim Bakal Dibesarkan

Peningkatan jumlah permintaan Model X70 menyebabkan Proton mengambil langkah segera dengan  memperbesarkan kilangnya di Tanjung Malim. Ia sebagai persediaan awal untuk mengembangkan sayapnya ke pasaran ASEAN.

Proton yang ditubuhkan pada tahun 1983, merupakan satu-satunya pengeluar kereta OEM sepenuhnya yang lengkap dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Asia Tenggara. Kemunculan kenderaan segmen SUV kini mengangkat jenama Proton dengan keyakinan pelanggan terhadap kereta tempatan setanding dengan pengeluar jenama kenderaan global yang lain.

Maka timbul persoalan, sejauh manakah kerjasama antara Proton dan Geely mampu bertahan? Adakah Proton akan mendapat manfaat di China atau Geely akan melebarkan sayapnya ke Asia Tenggara melalui jenama Proton?

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda berbangga dengan pencapaian Proton sekarang?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN