Selepas kekecohan melibatkan seorang pekerja Honda yang menghina kematian Muhammad Adib, timbul pula satu gerakan dikenali sebagai Gerakan Pengundi Sedar yang turut sama mencetuskan perbalahan masyarakat dengan mengecam seorang wartawan berbangsa India, Kumaran Rajamoney yang membuat liputan pengebumian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim baru-baru ini.

Hari demi hari, ada sahaja cubaan pihak tertentu yang cuba mewujudkan ketegangan kaum dengan mempertikaikan wartawan berbangsa India membuat liputan pengebumian umat Islam kali ini.

Malah, gerakan tersebut turut mempersoal tiada sensitiviti penyiaran televisyen yang berkaitan dengan hal ehwal umat Islam memandangkan wartawan berbangsa India diberi kebenaran untuk membuat liputan tersebut.

 

Netizen dan Jurukamera Pertahan Wartawan Tersebut

Sumber: https://indahnyaislam.net

Disebalik kekecohan itu, kebanyakan netizen di media sosial dilihat mempertahankan wartawan tersebut dengan menyifatkan laporan yang disampaikan beliau itu dibuat secara profesional dan tiada salah silapnya.

Malah, ada juga yang mendakwa gerakan tersebut tidak ada isu lain untuk dibangkitkan selain cubaan untuk mengapi-apikan isu perkauman.

Sumber: Bulletin Media

Di mana silapnya wartawan ini? Beliau hanya menjalankan tugasnya sebagai seorang wartawan untuk melapor berita kepada orang ramai, tetapi lain pula jadinya.

Salah seorang jurukamera turut sama mempertahankan wartawan tersebut dengan menasihatkan orang ramai tidak kira kaum apa sekalipun agar tidak mempolitikkan liputan wartawan itu dengan kematian arwah Muhammad Adib.

Kata jurukamera tersebut, Kumaran Rajamoney adalah wartawan berita yang bekerja untuk syarikat penyiaran TV3 yang mana beliau ditempatkan di Kedah buat masa kini.

Katanya, orang ramai pasti tidak faham situasi yang perlu dilalui pengamal media ketika membuat liputan kematian Muhammad Adib lalu membuta tuli mengaitkan wartawan tersebut dalam isu ini memandangkan beliau berbangsa India.

Adakah disebabkan beliau berbangsa India, beliau juga perlu dikecam teruk sehingga sebegitu?

Mungkin ada pihak yang masih tidak berpuas hati terhadap insiden yang menimpa Muhammad Adib sehingga ada yang mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad memecat dua pemimpin politik antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan Exco Selangor, V Ganabatirau, berhubung insiden tersebut.

Jadi, amatlah tidak wajar sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan atas kematian Muhammad Adib dengan turut sama mengaitkan individu tidak bersalah seperti wartawan ini.

 

Gerakan Pengundi Akhirnya Buat Permohonan Maaf

Sumber: Oh Bulan

Selepas dikecam hebat netizen, gerakan tersebut dilihat membuat permohonan maaf terhadap wartawan terbabit dan buat semua rakyat Malaysia dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Dalam posting yang tular itu, gerakan tersebut turut mengaku bahawa tuduhan yang mereka lakukan terhadap wartawan itu adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan malah mereka juga akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan itu.

Dalam perkara ini, semua rakyat Malaysia tidak kira kaum apa sekalipun perlu sentiasa beringat sebelum membuat apa-apa komen yang berbaur hasutan serta provokasi di media sosial kerana tindakan anda itu akan membawa padah akhirnya.

 

Fahami Tugas Pengamal Media Sebelum Mengkritik

Sumber: MyNewsHub

Mungkin ramai yang melihat kerjaya wartawan ini sebagai satu kerjaya yang terkenal namun ianya bukanlah mudah seperti yang disangka.

Malah, kerjaya sebagai wartawan ini amatlah mencabar memandangkan perlu bekerja tanpa mengira waktu dan lokasi.

Selain terpaksa menghadapi segala kemungkinan semasa mencari berita dan setelah melaporkan berita, mereka juga perlu berhadapan dengan kecaman dari masyarakat jika melibatkan isu-isu sensitif khususnya politik, ekonomi, sosial dan hiburan.

Dalam isu ini, masyarakat diminta supaya bertenang dan bersikap rasional apabila berdepan kemelut yang menimpa kuil berkenaan dengan tidak membuta tuli membuat tuduhan tidak berasas seperti yang dilalui oleh wartawan ini.

Memang tidak dinafikan semua pihak mahu menuntut pembelaan terhadap arwah Muhammad Adib tetapi ianya perlu dilakukan secara profesional tanpa mencetuskan pergolakan antara kaum.

Biar sahaja pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan membawa penjenayah ke muka keadilan kerana insiden yang berlaku ke atas arwah Muhammad Adib ini tiada kaitan dengan soal agama mahupun perkauman tetapi perbuatan jenayah yang dilakukan pihak tertentu yang tidak berperikemanusiaan.

Sekiranya masyarakat masih lagi menuding jari ke arah sesuatu kaum sahaja, ianya bakal mengundang keburukan dan membuka lebih banyak peluang pihak tertentu untuk terus mengambil kesempatan menggunakan media sosial dengan tidak mengeluarkan tuduhan serta komen-komen negatif yang tidak sihat seperti ini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, patutkah sesuatu pihak itu mengecam teruk wartawan ini hanya kerana beliau membuat liputan pengebumian umat Islam?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN