Baru-baru ini, tular satu klip video yang memaparkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Peguam Negara, Tommy Thomas; Peguam aktivis, Siti Kasim; dan Datuk Ambiga Sreenevasan, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sedang rancak menari dalam acara yang dipercayai majlis Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019.

Walaupun bagi kita majlis tari menari itu adalah suatu majlis yang biasa sahaja namun apabila ianya melibatkan individu yang berprofil tinggi, ianya boleh mengundang spekulasi negatif dan kecaman dalam kalangan masyarakat.

Video tari menari yang mula tular sejak Ahad lalu jelas sekali menunjukkan ramai pihak mendesak supaya Ketua Hakim Negara serta Peguam Negara meletak jawatannya secara sukarela memandangkan kelakuan tersebut boleh menimbulkan kebimbangan netizen berkaitan ketelusan sistem kehakiman.

Malukan Institusi Kehakiman Dan Perundangan Negara

Sumber: ProjekMM

Dalam hal ini, mungkin ramai yang beranggapan bahawa majlis tari menari itu satu isu biasa kerana ia bersempena dengan Majlis Makan Malam Gala pengamal undang-undang tetapi tidak semua individu boleh menerimanya.

Aksi menari yang tular itu bukan sahaja mendapat kecaman hebat dari masyarakat malah pemimpin dari pembangkang termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga menyifatkan kelakuan tersebut sebagai memalukan institusi kehakiman kerana ia melibatkan soal integriti badan kehakiman negara.

Bukan hanya pemimpin pembangkang sahaja yang menegur aksi tari menari terbabit, alah Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad turut sama memberi peringatan kepada tokoh kehakiman supaya menjaga imej dan integriti institusi kehakiman.

Sumber: Berita Harian

Ada yang berpendapat, sebagai seseorang yang amat berpengaruh dalam soal kehakiman negara, mereka sepatutnya tahu akan batas dan mengawal diri memandangkan mereka memegang peranan yang besar dalam negara dan kedudukan mereka itu bukan seperti orang-orang biasa.

Tidak kurang juga ada yang mengatakan bahawa walaupun mereka itu bukan individu biasa, tetapi mereka juga mempunyai hak untuk berhibur selagi ia tidak terkait dengan mana-mana kes, penyiasatan dan kepentingan kontrak yang sedang dikendalikan hakim tertentu ataupun kes yang dalam pertimbangan peguam negara.

Boleh Berhibur Asalkan Tahu Perbezaan Peribadi Dan Profesional

Sumber: Free Malaysia Today

Melihat kepada video yang tular itu, tidak menjadi masalah sekiranya individu yang berpengaruh turut sama mengikuti majlis tari menari yang dianjurkan oleh pengamal undang-undang.

Tetapi perlu diingat, di dalam Perkara 8 (1)(a), seorang hakim itu hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya serta tidak menimbulkan keraguan yang munasabah tentang keupayaan untuk bertindak dengan saksama sebagai sorang hakim.

Selain itu, di dalam Perkara 8(2) juga memperuntukkan bahawa seseorang hakim juga hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah.

Memang tidak dinafikan, selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menjadi kerajaan, hampir kesemua jawatan di dalam kerajaan dan institusi tertentu dirombak.

Dan pastinya, perlantikan terhadap individu tertentu untuk menjawat jawatan tertinggi dalam sesuatu badan kehakiman itu dipersoal dan tidak disenangi oleh individu tertentu.

Sumber: The Star

Ketika Tommy Thomas mahu dilantik sebagai Peguam Negara dahulu, banyak pihak dilihat cuba mengapi-apikan perlantikan beliau dengan menyifatkan jawatan tersebut perlu dipegang oleh Melayu dan Islam.

Cara pentadbiran kerajaan terdahulu dengan kerajaan kini jauh bezanya. Sebelum ini, ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, banyak jawatan tinggi dalam bidang kerajaan diisi oleh orang Melayu tetapi kini apabila Tun Dr Mahathir memerintah, jawatan yang dahulunya diisi oleh orang Melayu kini dibuka kepada semua tanpa prejudis.

Namun, jangan disebabkan individu itu bukan orang Melayu dan Islam, apa sahaja tindakan yang dilakukan mereka itu diperhati dan diperhatikan oleh individu tertentu untuk dijadikan sebagai modal menjatuhkan seseorang itu.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah apa yang dilakukan oleh Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara dalam majlis tari menari itu menjadi satu kesalahan dan mencemarkan institusi kehakiman negara?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN