Isu LGBT hangat diperkatakan pada masa kini dan menjadi isu yang amat sensitif bagi rakyat Malaysia terutamanya mereka yang beragama Islam.
Terbaru, tular di media sosial berkenaan penganjuran Kejohanan Bola Jaring Antarabangsa UPSI ke-4 yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyaksikan pasukan berkelakuan seperti wanita menyertai kejohanan tersebut.
PU Syed Beri Teguran
Perkara ini tercetus sejurus sahaja teguran yang dibuat oleh seorang pendakwah terkenal iaitu PU Syed di laman Facebooknya tempoh hari.
Di awal statusnya, dia mempertikaikan kalimah Alhamdulillah yang ditulis oleh pemilik instagram tiara_marican kerana ucapan itu nampak pelik apabila dilafazkan oleh golongan mereka.
Disamping itu, PU Syed juga berharap agar pihak IPT lebih sensitif berkenaan isu-isu LGBT dan berharap agar mereka ini dapat dirawat sebelum merebak serta berjangkit kepada orang lain.
Di akhir statusnya, dia tidak pasti adakah pasukan itu merupakan pelajar UPSI ataupun bukan dan jika pelajar UPSI , beliau bimbang institusi itu akan melahirkan bakal guru yang bermasalah suatu masa nanti.
Bukan Pelajar Upsi
Dalam menjawab kekocohan yang berlaku, pihak UPSI sendiri tampil memberi penjelasan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Md Amin Md Taff berkata sebelum ini, pihak Pusat Sukan bersama-sama Kolej Harun Aminurrashid dan kelab Bola Jaring UPSI yang telah menganjurkan pertandingan tersebut.
Tambahnya, pertandingan tersebut mempunyai dua kategori sahaja iaitu kategori wanita dan lelaki sepertimana yang kerap dilaksanakan dalam kejohanan bola jaring terbuka yang lain.
Beliau menjelaskan kumpulan tersebut telah bertanding dalam kategori lelaki sepertimana nama setiap pemain yang tercatat dalam borang penyertaan mereka ketika pendaftaran sebelum pertandingan bermula.
Pihaknya menyatakan bahawa tiada kategori transgender atau LGBT yang dipertandingan dan menyatakan bahawa kumpulan yang dinamakan Transwomen United merupakan pasukan luar dan bukan pelajar UPSI.
Tidak cukup dengan itu, beliau juga menunjukkan bukti borang penyertaan pasukan tersebut dan menafikan kumpulan tersebut bertanding dalam kategori transgender atau LGBT seperti yang didakwa warganet.
Golongan ‘Ustaz’ Menghentam
Salah seorang daripada ahli pasukan menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan beberapa orang yang digelar berilmu dalam bidang agama dan dihormati yang menghentam mereka.
Pemilik Facebook Lysa Asraf menyatakan rasa kecewa terhadap individu yang menyerang tanpa usul selidik dalam masa sama telah memburukkan nama baik UPSI dan pasukannya.
Beliau menyifatkan tindakan yang dibuat individu tersebut hanya untuk mencari kepuasan dengan menyampaikan berita fitnah dan cerita palsu tanpa selidik dahulu.
Bukan itu sahaja, dia juga memberi tahu bahawa di awal penubuhan pasukannya itu, antara penyumbang terbesar dalam pasukannya itu ialah Ustaz Ebit Lew .
Pasukan itu tertubuh di bawah satu matlamat untuk memberi platform baru untuk mengajak maknyah bersukan dan menarik maknyah untuk melakukan aktiviti sihat ini dan keluar dari jalanan.
Beliau juga menyatakan Ustaz Ebit Lew sanggup datang melihat mereka bermain dan mendekati mereka dengan cara yang cukup berbeza dengan ustaz-ustaz lain.
Tetap Dengan Pendirian
PU Syed yang tidak henti dikecam oleh warganet yang menuntut dia membuat permohonan maaf secara terbuka, akhirnya tampil dengan membuat siaran langsung di Facebook miliknya.
PU Syed meminta maaf kerana bukan niatnya untuk memburukkan universiti tersebut, tetapi niatnya hanyalah untuk memberi teguran.
Dia juga menjelaskan pada awal siaran langsung tersebut bahawa telah maklum pasukan itu bukanlah dari pelajar UPSI, dan mereka bertanding dalam kategori lelaki seperti yang telah dimaklumkan oleh pihak UPSI.
Namun, itu bukan persoalannya, kerana perwatakan pasukan seperti wanita serta nama pasukan mereka itu yang telah menimbulkan persoalan kepadanya.
Beliau menerima segala teguran dan kritikan orang ramai terhadapnya kerana terlalu lantang dalam menegur kumpulan itu serta memaafkan mereka yang menfitnahnya untuk menjatuhkan UPSI, tetapi dia tetap dengan pendiriannya untuk terus memberi teguran kepada golongan maknyah dan LGBT ini.
KATA ORANG
For me Isu LGBT di UPSI ni semuanya adalah salah ajk pendaftaran program itu yang tidak memandang serious dan tidak menapis penyertaan. And if they competed in the women’s category, penganjur sukan ni memang gg.
— Hiffzan (@hiffzan_bob) March 13, 2019
FB sensitif bila kita guna terma LGBT sehingga rakan2 yg menolak lgbt kat fb ada yg kena gam beberapa hari. Jom tukar kpd CISS...Celaru Identiti Seks Songsang..sape setuju?
— Hashim Bin Othman (@ustazhbo) March 12, 2019
Ustaz PU Syed