Pada asalnya, kepala surat kementerian hanya digunakan untuk urusan-urusan rasmi yang melibatkan pihak menteri dan kementerian. Surat tersebut akan dikeluarkan sama ada oleh menteri, setiausaha kementerian atau pegawai-pegawai khas yang diamanahkan untuk menulis surat-surat rasmi.

Malangnya, dalam beberapa tempoh mutakhir ini, penyalahgunaan kepala surat kementerian seolah-olah seperti menjadi lumrah kebiasaan. Ramai yang mempertikai di mana letaknya profesionalisme kementerian? Ia seolah-olah tidak dapat membezakan hal bersifat rasmi dan hal bersifat peribadi.

Sumber: Sinar Harian

Teguran Tajam Pak Mufti

Perkara ini turut diulas oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA). Dengan nada memerli beliau tidak setuju penggunaan kepala surat kementerian digunakan untuk ‘urusan-urusan yang selekeh’ memandangkan tindakan tersebut sangat tidak profesional.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar menteri atau pegawai-pegawai baru menteri yang tidak mempunyai pengalaman berkenaan urustadbir diberikan kursus induksi. Ia bertujuan bagi memastikan perkara-perkara yang tidak memalukan pihak kementerian dan kerajaan tidak berulang sama sekali.

Beberapa isu terjadi baru-baru ini yang melibatkan penyalahgunakan kepala surat kementerian terus diperkatakan oleh rakyat. Bukan itu sahaja, ia turut menjadi sindiran dan gelak ketawa di laman media sosial. Antara isu tersebut ialah kelewatan pesawat Malaysia Airlines (MAS) oleh Menteri Pertahanan dan isu  penafian ugutan Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi terhadap Haziq Aziz.

Sumber: Twitter Mohamad Sabu

Menteri Pertahanan Boleh Sahaja Berhubung Terus Dengan Mahathir

Mungkin tujuan Kementerian Pertahanan mengeluarkan surat berkenaan adalah untuk memaklumkan ketidakhadiran Menteri Pertahanan untuk bertemu Perdana Menteri yang sedang berada di London. Namun, penggunaan kenyataan media kementerian adalah tidak sesuai. Sedangkan banyak lagi saluran komunikasi yang boleh digunakan untuk memaklumkan ketidakhadiran.

Tindakan ini bukan sahaja merendahkan profesionalisme Kementerian Pertahanan, dalam masa yang sama ia memburukkan reputasi MAS, sebuah syarikat penerbangan negara kepada orang ramai. Sudahlah MAS semakin merosot, ditambah pula dengan kenyataan media yang memburukkan lagi keadaan. Justeru, tindakan ini amat memalukan.

Sumber: Minda Rakyat

Setiausaha Politik Azmin Gunakan Kementerian Nafikan Isu Peribadi

Tatkala Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terpalit dengan isu kontroversi bersama Haziq Aziz, setiausaha politik kementerian juga turut terkena tempiasnya. Ini memandangkan terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa Hilman pernah berjumpa dengan Haziq Aziz malam sebelum pengumuman untuk mengugut Haziq supaya tidak menyebarkan video berkenaan.

Namun begitu, Hilman Idham telah menggunakan kepala surat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk memaklumkan penafian tersebut. Tindakan ini semestinya tidak wajar memandangkan hal-hal tersebut bukan untuk tujuan rasmi kementerian dan bersifat peribadi. Maka pendekatan yang lebih sesuai untuk membuat penafian adalah melalui  laman media sosial atau membuat sidang media bersama wartawan.

Sumber: Twitter Melayu Bukit

Walaupun isu tersebut merupakan isu kontroversi dan memerlukan pemakluman dengan kadar segera, menggunakan kenyataan media kementerian tetap dikira sebagai satu kesalahan.

Sudah Setahun Pun Masih Tak Pandai

Apa pun, isu yang berlaku ini memberi pengajaran kepada kita bahawa kerajaan Pakatan Harapan masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu dibaiki. Meskipun sudah memasuki tahun pertama, seharusnya mereka sudah mengetahui setiap protokol pentadbiran, sama ada dibenarkan atau dilarang daripada digunakan.

Jangan sampai kesilapan-kesilapan kecil yang tidak sewajarnya dilakukan menjadi sindiran dan momokkan ramai pihak. Rakyat bukan sahaja mahukan Malaysia Baharu, tetapi rakyat turut mahukan sikap baharu bagi jentera pentadbiran.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN