Orang awam sering kali diingatkan untuk tidak menyalahgunakan talian kecemasan bagi melakukan panggilan-panggilan palsu atau panggilan yang tidak penting. Ini kerana talian kecemasan tersebut hanya dikhususkan untuk kes-kes kecemasan yang melibatkan hal-hal berkaitan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Namun begitu, tatkala hal-hal kecemasan berlaku tampaknya talian 999 seperti tidak memberikan respon yang baik kepada pengguna. Benarkah perkara ini sering terjadi?

Operator 999 Suruh Dail Nomber Telefon Bilik Gerakan

Berdasarkan artikel lobak merah.com, seorang wanita dari Rawang, Thivya Veelurajan telah menghubungi talian 999 ketika rumahnya dimasuki perompak. Menurutnya, tatkala melaporkan tentang perompak yang sedang memasuki rumah, operator tersebut menyuruh Thivya menelefon Bilik Gerakan untuk mendapatkan respon segera.   

Sumber: Lobak Merah

Keadaan ini telah menimbulkan kemusykilan dalam fikirannya. Secara rasional, tatkala seseorang berada dalam situasi yang amat genting, adakah mereka mengingati nombor-nombor lain selain talian kecemasan? Sedangkan tidak semua orang mengetahui nombor Bilik Gerakan untuk dihubungi. Begitu juga bagi Thivya.

Disebabkan panggilan pertama gagal mendapat respon positif daripada talian kecemasan, Thivya dan kakaknya masing-masing membuat satu lagi panggilan kecemasan yang sama selang beberapa minit kemudian. Malangnya belum ada apa-apa perkembangan daripada pihak polis sehingga jam 3.29 pagi menyebabkannya membuat sekali lagi panggilan kecemasan.

Selepas 45 Minit Baru Bantuan Sampai

Difahamkan polis sampai ke tempat kejadian dalam jam 3.30 pagi iaitu 45 minit selepas panggilan kecemasan pertama dilakukan. Perkara ini telah menyebabkan mangsa berasa berang memandangkan talian kecemasan tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.

Keadaan ini telah menyebabkan mangsa mempersoalkan prosedur sebenar talian kecemasan 999 bagi memastikan perkhidmatan kecemasan yang dipinta selepas ini berjaya direalisasikan dalam masa yang pantas.

Sumber: The antics Of Husim Lempoyang (gambar sekadar hiasan)

Masakan tidak berang, tiga lelaki bertopeng yang merompak di rumah berjaya meloloskan diri dengan menggunakan kenderaan mangsa. Dalam masa yang sama tiga orang ahli keluarganya telah diserang oleh perompak-perompak tersebut. Bapanya telah diserang dengan parang, manakala ibu dan makcik telah dipukul dengan kayu tebal.

Perkhidmatan Talian 999 Tidak Cekap?

Sekiranya berada di situasi Thivya, sudah pasti kita akan berasa hampa disebabkan talian kecemasan 999 tidak memberikan tindak balas pantas yang sewajarnya. Mujur tidak ada ahli keluarga yang menjadi korban. Difahamkan bapa mangsa menerima beberapa jahitan di kepala dan dahi.

Sumber: Media Serius

Bagi Thivya, beliau tidak menyalahkan anggota polis memandangkan ramai anggota polis yang beliau pernah jumpa menjalankan tugas dengan baik selepas berakhirnya insiden tersebut. Tetapi beliau berpandangan sistem panggilan kecemasan 999 perlu diperbetulkan.

Ini merupakan kes yang jarang-jarang didengar mengenai ketidakcekapan talian kecemasan 999. Sebagai sebuah talian kecemasan sudah pasti mereka sudah bersedia 24 jam untuk sebarang kes yang akan diterima. Ada kalanya pengguna perlu memberikan maklumat yang benar dan lengkap mengenai kejadian yang berlaku bagi memudahkan mereka berhubungan dengan pihak-pihak terlibat berhampiran.

Adakah anda pernah mengalami masalah yang sama mengenai panggilan kecemasan 999? Mungkin boleh lontarkan komentar di ruangan komen yang disediakan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda pernah melalui peristiwa yang sama
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN