Mungkin ramai yang tertanya-tanya tentang ke manakah hilangnya rumah kayu tradisional yang pernah berdiri megah di ceruk-ceruk bangunan konkrit di sekitar Jalan Chow Kit. Rumah kecil yang bercirikan rumah Melayu Perak tersebut dinamakan sebagai Rumah Pusaka Chow Kit (RPCK) atau lebih dikenali sebagai ‘Rumah Degil’.
Rumah kayu kecil yang ditenggelami di antara deretan kedai-kedai berusia 90 tahun tersebut telah didiami oleh 4 generasi. Lokasi rumah yang agak unik telah mengingatkan kita kepada kartun Disney bertajuk ‘Up’.
Dalam kartun tersebut, Carl Fredricksen, seorang lelaki tua mahu kekal tinggal di dalam rumahnya walaupun dihimpit oleh pembangunan pencakar langit di sekitarnya.
Carl mengikat rumahnya dengan beribu-ribu biji belon dan terbang bersama akibat tidak tahan dengan desakan pemaju. Namun, perkara tersebut tidaklah berlaku bagi Rumah Degil.
Milik Siapa?
Berdasarkan dari sumber Utusan, rumah kayu tradisional tersebut adalah kepunyaan Sutan Mengatas atau Jaafar Sutan Sinombar iaitu keturunan kepada pengasas Kuala Lumpur, Sutan Puasa.
Sutan Puasa merupakan saudagar dari Mandailing, Sumatera. Beliau merupakan usahawan perlombongan dan pedagang timah. Kawasan tersebut merupakan penempatana mereka. Rumah ini telah dibina pada tahun 1926 dengan berukuran 4.57 meter lebar dan 15.24 meter panjang.
Sebelum ini, terdapat dua lagi rumah anak Jaffar, iaitu rumah Abdul Talib dan rumah Abdul Wahid bernombor 38 yang berada sederat dengan rumah tersebut. Tapak asal rumah Abdul Wahid telah didirikan sebuah bangunan komersial Wisma Wahida oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) pada awal tahun 1970-an.
Disebabkan kos penjagaan rumah tersebut yang terlalu tinggi, rumah yang berusia 92 tahun itu telah dijual bersama tapak tanah oleh pewaris-pewaris dengan nilaian harga jutaan ringgit.
Pemuliharaan
Idea pemuliharaan rumah ini dilakukan oleh Tan Kay Chay yang merupakan seorang arkitek dari KC Tan Architects dan sepupunya James Wong. Mereka yang merupakan anak kelahiran Jalan Chow Kit mempunyai nostalgia dan sentimental terhadap rumah tersebut. Mereka terkejut melihat rumah warisan yang kerap dilihat sewaktu mereka zaman kecil hendak dirobohkan.
Dengan bantuan Abdur-Razzaq Lubis, seorang penulis buku Sutan Puasa, the founder of Kuala Lumpur, mereka berjaya menemui penghuni terakhir rumah tersebut iaitu Norma Manjawali, 86, yang merupakan cucu Jaffar bagi memaklumkan projek-projek pemuliharaan.
Pembinaan Semula
Disebabkan lokasi rumah tersebut agak terperosok di sebalik kesibukan pembangunan kota, maka projek pembinaan semula rumah Melayu Nombor 41 tersebut telah dimulakan pada bulan Februari tahun lalu oleh Jabatan Warisan Negara bagi memastikan seni bina tradisional rumah bersejarah di Kuala Lumpur tersebut dipelihara.
Projek ini telah dijalankan oleh syarikat kontraktor Seroja Klasik Enterprise dengan kerjasama BSN, Yayasan Hartanah, Persatuan Arkitek Malaysia, Kumpulan Pemuliharaan RPCK dan ATSA Architects.
Dikhabarkan, rumah tradisional ini sudah siap didirikan semula di halaman Balai Seni Negara (BSN) di Jalan Tun Razak. Walaupun lewat tiga bulan siap dibina dari jadual yang sepatutnya, namun ia berjaya disiapkan dengan menggunakan 90 peratus bahan asal bagi mengekalkan keaslian rumah tersebut.
Tahniah atas usaha murni yang dilakukan oleh semua pihak yang terlibat dan Jabatan Warisan Negara yang telah mengiktiraf Rumah Pusaka Chow Kit sebagai warisan tradisional yang perlu dipelihara untuk paparan generasi yang akan datang.
KATA ORANG
Rumah Degil merupakan rumah pusaka binaan 1926 yang dikaitkan dengan waris pengasas Kuala Lumpur, Sutan Puasa akhirnya selesai didirikan semula di halaman Balai Seni Negara, Jalan Tun Razak.#malaysia #kualalumpur https://t.co/nEURlXkP1j
— Ja'a® (@jaagrafik) February 18, 2019
Waktu saya kecil dulu arwah Ayah pernah bawa jalan2 di Chow Kit dan tunjukkan satu2 rumah kayu di tengah kota. Saya sendiri kagum. Siapa sempat lihat rumah ini?
— Rakyat: Lina (@twt_malaysia) September 30, 2018
Ia digelar
Rumah Degil pic.twitter.com/7f97vPDDab
Good news for KL heritage for a change: Chow Kit's Rumah Degil acquired by Jabatan Warisan, to go to Nat'l Gallery https://t.co/ypsGUXxWPq
— Soon-Tzu Speechley 孫子 (@speechleyish) October 5, 2017
Chow Kit's Stubborn House - Poskod Malaysia: http://t.co/RYIvBuldiV Rumah Degil at Chow Kit, waiting for new lease of life somewhere else.
— Liew Zhe Rong (@ZRLiew) August 25, 2015