Betapa cepat masa berlalu, bulan Ramadhan sudah mengunjung tiba membawa seribu keberkatan bagi umat Islam di dunia. Dalam kita sibuk berpuasa dan memaksimumkan ibadah harian kita, pasti ramai juga yang akan sibuk menyediakan persiapan hari raya yang dijangka akan disambut pada 5 Jun 2019 ini.

Kuih muih, dekorasi rumah malahan baju raya untuk seisi keluarga akan menjadi tumpuan orang ramai apabila berkunjung ke mana-mana pusat membeli belah.

Kepulangan ahli keluarga dan sanak saudara ke kampung pasti dinanti-nantikan oleh ibu bapa, atuk nenek dan juga ahli-ahli keluarga yang lain.

Namun begitu, bagi orang yang sudah mendirikan rumah tangga, keputusan ingin beraya di rumah keluarga siapa sering menjadi isu dan konflik antara pasangan suami isteri saban tahun.

Jika dilihat mungkin isu ini ialah isu yang kecil, namun ramai yang tidak mahu bertolak ansur dan mengamalkan sistem bergilir kerana tetap ingin bersama dengan keluarga mereka sendiri dalam menyambut hari raya aidilfitri.

Mengapa sampai jadi begini? Yang menyedihkan, konflik begini sering membawa kepada pertengkaran dan bermasam muka antara suami isteri.

Memang betul, siapa yang tidak mahu beraya dengan mak dan ayah kandung sendiri, tetapi perlu ingat bahawa tanggungjawab untuk pasangan juga perlu dititikberatkan dan mereka juga mempunyai keluarga sendiri. Lainlah kalau kita berkahwin dengan anak tunggal yang sudah kematian ibu dan ayah.

Sebelum ini juga pernah terjadi kes penceraian kerana masing-masing tidak mahu mengalah dan si suami mendominasi setiap keputusan yang dibuat sehinggakan isteri terpaksa akur dan menurut sahaja.

Malah si isteri juga tidak dibenarkan pulang ke kampung untuk majlis-majlis kenduri ataupun sambutan istimewa.

Wajarkah tindakan suami menghalang begitu sekali?

 

Penting Diri Sendiri

Isu dominasi dalam sesebuah hubungan perkahwinan itu tidak semestinya dikuasai oleh pihak lelaki.

Adakala si wanita juga lebih dominan dari aspek membuat keputusan, dan mereka ini digelar ‘ queen control’ kerana seolah-olah mampu mengikat suami dan membuat si suami menurut sahaja apa kehendak mereka.

 

Mak Ayah Terasa Tapi Tak Tunjuk

Sebagai ibu bapa, lagi-lagi jika duduk dikampung dan berjauhan dengan anak-anak, pastinya hari raya merupakan waktu yang dinantikan kerana rumah mereka yang selalunya sunyi pasti akan bertukar riuh dengan suara-suara anak cucu dan saudara mara.

Siapa yang tidak mahu beraya dengan anak-anak bukan, malahan inilah waktu yang sesuai untuk saling bermaafan dan mengeratkan lagi tali persaudaraan yang mungkin dah lama renggang.

Ada ibu bapa yang anak-anak sudah 3 4 tahun tidak pulang ke kampung kerana terpaksa mengikut pasangan beraya di rumah keluarga mertua.

Walaupun ibu bapa menunjukkan respon yang baik namun dalam hati mereka siapalah yang tahu.

Demi untuk tidak memburukkan keadaan, ramai ibu bapa yang hanya mendiamkan diri sahaja dan menurut kehendak anak-anak mereka.

 

Buat Si Suami/Isteri Yang Suka Mengongkong, Ingat Anda Pun Ada Anak

Topik ini pastinya tidak asing dan ramai yang akan melalui konflik begini tiap-tiap tahun. Bagi yang sering menggunakan kuasa veto mereka untuk beraya hanya di rumah mereka sahaja dan tidak mahu bergilir-gilir setiap tahun, ingat anda juga mempunyai anak.

Anak-anak anda suatu hari nanti akan mendirikan rumah tangga dan mereka juga akan melalui fasa untuk memilih giliran beraya.

Jangan sampai anak-anak mendapat pasangan yang menggunakan kuasa ‘veto’ mereka juga seperti anda sekarang.

Bertolak ansurlah dan bertoleransi di dalam rumah tangga. Bulan Syawal yang baik perlu disambut dengan gembira dan harmoni, jangan biarkan pasangan anda bersedih dan berduka. Ubati juga rindu mereka terhadap ibu bapa yang lama berjauhan.

Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya!

 

 

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pendapat anda mengenai isu ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN