Semalam, sebuah video tular menayangkan insiden dimana seorang pakcik tua dikasari dan dicemuh sekumpulan anak-anak muda yang sedang melepak. Kejadian dipercayai berlaku di  sebuah perkampungan di Sijangkang, Selangor. 

Remaja tersebut dilihat cuba mengacau pakcik tersebut dengan cuba menjatuhkan motosikal miliknya dan membaling botol minuman ke arah pakcik yang cuba beredar dari tempat tersebut.

Menurut bahasa percakapan yang digunakan, remaja dan pakcik tersebut dipercayai berbangsa melayu Indonesia kerana dilihat berkomunikasi di dalam bahasa jawa.

Punca kejadian tidak dapat dikenal pasti mengapa remaja tersebut melayan pakcik yang sudah berusia itu sedemikian. Tindakan mereka itu sangat tidak wajar dan biadap.

Seorang pakcik yang  sepatutnya dianggap seperti ayah sendiri dan wajar dilayan dengan penuh rasa hormat dan kesantunan namun dikasari dengan tindakan kurang ajar anak-anak muda ini.

Ekoran dari kejadian ini, terdapat video susulan dimana orang kampung berkenaan dikatakan datang berjumpa remaja-remaja yang terlibat untuk memberi pengajaran kepada mereka.

Bukan satu dua orang, malah hampir sekampung penduduk datang dan bersemuka dengan remaja-remaja berkenaan. Di dalam video itu juga dilihat ada ibu bapa yang cuba mempertahankan anak mereka dan enggan membenarkan anak mereka dibawa ke balai polis.

Tidak pasti sama ada remaja-remaja tersebut dibawa ke balai polis ataupun tidak namun harapnya serbuan orang kampung yang dilakukan keatas mereka sudah cukup untuk menginsafkan mereka dan menjadi pengajaran untuk anak-anak muda lain diluar sana yang mungkin bersikap sama seperti mereka ini.

 

Ibu Bapa Terlalu Manjakan, Salah ke?

Rata-rata netizen menyalahkan ibu bapa yang dikatakan tidak pandai mendidik anak sehingga remaja-remaja ini berani bersikap sedemikian dan hilang rasa hormat terhadap orang tua.

Memang ramai sahaja individu tidak kira usia bersikap sebegini, tapi persoalannya, adakah mereka ini tiada kesedaran moral langsung? Sedangkan sudah jelas lagi bersuluh, sikap begitu sememangnya tidak wajar dilakukan.

Mengapakah sikap sesetengah anak muda kita seperti makin melarat dan tidak mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap orang lain.

Lihat sahaja luahan guru-guru sekolah yang rata-rata makin tidak larat melayan ragam anak murid yang makin berani melawan dan bersikap kurang ajar terhadap guru-guru mereka.

Jika sebelum ini, guru-guru sentiasa disanjung dan dipandang tinggi oleh  anak murid. Malah para pelajar pasti tertunduk malu apabila berselisih dengan guru-guru mereka namun kini jarang anda boleh lihat situasi begini.

Ada juga  segelintir guru yang seperti sudah ‘fed-up’ untuk melayan pelajar-pelajar biadap yang tidak memberi kerjasama baik semasa waktu pembelajaran.

Siapa yang mahu belajar, akan dididik dengan baik namun siapa yang datang ke sekolah hanya untuk bergaya dan membuang masa, memang akan dibiarkan sahaja.

Bagi guru, mengapa mereka perlu membuang masa dan tenaga untuk anak-anak murid yang tidak mahu belajar. Ditambah pula dengan sikap mereka yang seperti gangster dan samseng jalanan. 

 

Masalah Sosial Makin Berleluasa

Masalah sosial dikalangan anak muda merupakan isu yang semakin teruk dan perlu diatasi segera bagi memastikan anak-anak muda kita membesar didalam persekitaran yang sihat dan produktif.

Ianya bukanlah isu yang boleh dipandang enteng, dan sangat memerlukan usahasama dari semua pihak agar tidak berleluasa sehingga mampu menjejaskan perkembangan sosial negara.

Kita sedar, pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor utama yang boleh mempengaruhi permikiran dan gaya hidup seseorang, lebih-lebih lagi jika mereka berada diusia yang masih muda dan mentah.

Disinilah ibu bapa dan orang sekeliling perlu memainkan peranan mereka sebaiknya agar dapat membendung perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Isu seks dibawah umur, kehamilan anak luar nikah, lari rumah, anak derhaka dan pelbagai lagi isu-isu sosial hanya boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak saling bekerjasama untuk menuju kearah perubahan.

Ibu bapa juga perlu jadi lebih tegas dan memupuk nilai-nilai murni di dalam diri anak sejak dari usia yang muda lagi.

Seperti kata pepatah, ‘ melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Semoga insiden yang berlaku semalam dapat menjadi pengajaran untuk anak-anak muda untuk lebih berhati-hati dengan kata-kata dan kelakuan mereka.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
5 votes · 5 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN