Tatkala negara menjejaki usia 60 tahun kemerdekaan, kita masih terkapai-kapai dalam merealisasikan soal perpaduan. Boleh dilihat pergaulan masyarakat pada hari ini amat jarang untuk golongan berlainan kaum duduk minum bersama, menjadi kawan rapat serta menjadi teman dikala sukar atau senang.

Sumber: Utusan

Perpaduan Bersifat Kosmetik

Kalau ada pun, hubungan yang terjalin hanyalah sekadar hubungan rakan sekerja, mahupun hubungan sebagai pelanggan. Boleh dikatakan perpaduan yang dipaparkan hanyalah bersifat kosmetik. Yang jelas, hubungan etnik di negara kita tidak pernah berada pada tahap baik apatah lagi untuk berbicara soal perpaduan.

Disebabkan ketidakmampuan mewujudkan perpaduan, ramai yang menyalahkan sistem pendidikan vernakular yang menjadi asbab utama. Ini kerana, sekolah vernakular sudah terbukti gagal mewujudkan citra rakyat Malaysia yang diingini ekoran ramai yang tidak fasih berbahasa Melayu sehingga ke hari ini.

Tidak Ada Rasa Malu Tidak Fasih Bahasa Melayu

Bagi rakyat di negara lain, tidak mampu menguasai bahasa rasmi negara merupakan sesuatu yang memalukan. Tetapi senario berbeza berlaku di Malaysia. Bagi sesetengah rakyat, mereka berasakan apalah yang dipandang sangat bahasa Melayu, berbanding bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris yang ‘dikatakan’ mempunyai nilai komersial tinggi untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Malah, wujud pula pihak yang meremeh-remehkan lagi gesaan oleh badan-badan tertentu untuk memperkasakan lagi penggunaan bahasa Melayu di seluruh negara. Sedangkan menguasai bahasa Melayu merupakan asas penting identiti rakyat Malaysia. Itu belum lagi bertanyakan tentang Rukun Negara yang menjadi kayu ukur pengetahuan mereka tentang negara. Sudah pasti lebih ramai yang tidak mengetahui.

Sudah Ada Cubaan Menyatukan Sistem Pendidikan Negara Tetapi Gagal

Bukan tidak ada usaha untuk menyatupadukan sistem pendidikan negara. Konsep Sekolah Wawasan misalnya, tidak diterima baik oleh golongan tertentu kerana mencurigai sistem pendidikan negara. Kesannya, segala apa dasar pendidikan untuk menyatukan kaum di Malaysia tidak dapat diteruskan meskipun mempunyai tujuan mewujudkan perpaduan yang lebih konkrit.

Sumber: Utusan Malaysia

Lantas, terdapat cadangan yang dikemukakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mewajibkan pembelajaran tiga bahasa di sekolah sebagai medium untuk memupuk perpaduan. Alasannya bahasa ibunda kaum-kaum utama di negara ini amat penting untuk diketahui oleh setiap orang.

Dalam masa yang sama ia  bertujuan untuk mengelakkan persepsi negatif oleh kaum-kaum tertentu terhadap kaum lain khususnya tatkala mendengar mereka berbicara dalam bahasa ibunda sendiri.

Persoalannya, adakah dengan mewajibkan ketiga-tiga bahasa utama di setiap sekolah mampu mewujudkan perpaduan? Sedangkan sistem pendidikan vernakular masih lagi memisah-misahkan rakyat Malaysia berdasarkan kaum sejak diperingkat rendah lagi. Tetapi sekiranya tidak menguasai bahasa lain khususnya bahasa Mandarin, sukar pula mendapat kerja.

Yang pasti, cadangan mewajibkan tiga bahasa hanya akan melemahkan lagi martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam masa yang sama, ramai yang akan mengambil kesempatan untuk tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai medium pertuturan antara kaum memandangkan setiap orang sudah mampu bertutur selain bahasa Melayu.

Sumber: Twitter Delia

Justeru, cadangan mewajibkan pembelajaran tiga bahasa utama di setiap sekolah untuk tujuan perpaduan adalah kurang tepat. Selagi mana sistem pendidikan kita terpisah-pisah, selagi itu perpaduan negara tidak akan dapat dicapai.

Sekiranya mampu menguasai bahasa Mandarin sekalipun belum tentu mudah mendapat pekerjaan, kerana berdasarkan kajian diskriminasi pengambilan pekerjaan sebelum ini,  syarat fasih berbahasa Mandarin hanyalah syarat kosmetik bagi memilih pekerja.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Kenapa perlu mewajibkan pembelajaran tiga bahasa di sekolah?
6 votes · 6 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN