Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dianggarkan seramai 18.8 juta rakyat yang layak mendaftar sebagai pemilih menjelang Pilihanraya Umum ke-15 pada tahun 2023.

Data juga menunjukkan seramai 15 juta pemilih yang telah mendaftar sehingga suku pertama tahun 2019.

Sumber : Bernama

Namun seramai 4 juta warganegara yang berumur 21 tahun dan ke atas sehingga 31 Mac 2019 yang layak, tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Apa punca mereka ini tidak mendaftar? Adakah kerana kurangnya pendedehan mengenai politik yang berlaku di dalam negara ataupun sikap malas segelintir masyarakat untuk berdaftar?

Untuk yang sekarang ini,pengundi berdaftar perlu mengisi borang atau mendaftar di pusat dan kaunter pendaftaran yang ditentukan.

Walaubagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan pelaksanaan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun secara automatik akan dapat dilaksanakan pertengahan 2021.

 

Mudahkan Pengundi

 Pendaftaran automatik bermaksud warganegara yang mencapai umur kelayakan mengundi secara automatik dimasukkan dalam senarai pemilih dan layak mengundi

Langkah pendaftaran secara automatik ini dilihat akan memudahkan pendaftaran baharu terutama dalam kalangan anak muda. Lagipun ia berguna untuk menggantikan sistem pendaftaran sekarang yang dilihat menghadapi beberapa masalah.

Dengan kemudahan pendaftaran dalam talian, malah menggunakan telefon bimbit atau terus ke kaunter yang ditentukan, mereka yang berumur 18 tahun, rakyat Malaysia yang layak mengikut syarat ditentukan berpeluang untuk menjadi pengundi berdaftar.

Sebelum ini, pelbagai strategi dan usaha telah dibuat oleh SPR untuk menggalakkan anak muda mendaftar sebagai pengundi namun bermacam alasan diberi oleh remaja untuk tidak mendaftar sebagai pengundi.

 

Apa lagi alasan anak muda Melayu tidak mendaftar? Harapan agar sistem pendaftaran secara automatik yang lebih praktikal membolehkan lebih ramai pengundi menyuburkan lagi semangat demokrasi melalui pilihan raya yang sihat.

 

Jimatkan Tenaga

Daftar automatik ini dianggap baik kerana ia dapat mengelakkan berlaku situasi seorang yang baru mempunyai kesedaran untuk mengundi pada waktu musim pilihan raya terlepas dari peluang untuk mengundi, atas sebab tidak membuat pendaftaran pemilih.

Ia juga menjimatkan tenaga kerja dan belanja di bawah SPR dan parti politik yang selama ini terpaksa turun padang bagi mendaftarkan pemilih.

 

Tidak Celik Politik

Punca yang dikenalpasti hampir 1.9 juta anak muda Melayu di negara ini tidak berdaftar sebagai pengundi adalah kerana tidak cakna, prihatin dan tidak peduli tentang politik dan masa depan negara ini.

Beberapa alasan lain yang diberikan ialah mereka mendakwa undi mereka tidak akan memberi kesan apa-apa kepada politik negara.

Ada juga yang mengatakan apa faedah yang akan diperoleh jika mereka mengundi? Sesetengahnya mengatakan ‘tidak suka politik’, bosan dan tidak mahu masuk campur dalam hal ehwal negara.

Keadaan ini amat menggusarkan kerana tonggak masa hadapan negara berada di tangan anak muda. Sekiranya mereka tidak mendaftar sebagai pengundi, maka perubahan dan anjakan serta transformasi yang diidamkan di Malaysia tidak akan menjadi kenyataan.

 

Satu Undi Ubah Masa Depan

Pada hakikatnya walaupun anak muda melihat satu undi mereka itu kecil, namun ia sebenarnya mampu menentukan pembentukan sebuah kerajaan.

Undi mempunyai nilai dan maknanya cukup besar dalam sistem demokrasi. Hak dan keistimewaan rakyat yang boleh mengundi adalah peluang dan ruang untuk menentukan hala tuju dan pemerintahan di negara ini.

Maka jumlah yang keluar mengundi amat penting untuk menentukan corak dan hala tuju masa hadapan sesebuah negeri malahan negara.

Jumlah yang besar ini memberi impak kepada politik dan pentadbiran negara pada masa akan datang.

 

 

Adakah SPR Bersedia?

Namun soalan yang lebih besar mengenai daftar automatik ini adalah bersediakan pihak SPR untuk melaksanakannya.

Setiap perkara baru yang ingin dilakukan atau diubah sudah pasti mempunyai pelbagai cabaran dan dugaan.

Sejak pemerintahan Barisan Nasional (BN) lagi, SPR melihat pendaftaran secara automatik ini memerlukan penelitian dan kajian mendalam untuk dilaksanakan biarpun pindaan ke atas Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan boleh dan berjaya dilakukan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof serta Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengakui, pendaftaran secara automatik ini tidak semudah disangka, memandangkan pelaksanaannya kelak memerlukan persiapan terhadap beberapa aspek teknikal.

Antara yang disentuh mereka berkait data daftar pemilih. Ketika ini data peribadi yang boleh digunakan bagi mendaftarkan diri sebagai pengundi secara automatik adalah menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sudah pasti SPR memerlukan akses secara langsung kepada data peribadi JPN bagi membolehkan senarai daftar pemilih pengundi di seluruh negara dikemas kini hampir setiap hari dalam rekod SPR.

Lantas kredibiliti rekod data pendaftaran JPN mesti diyakini bagi mengelakkan timbul masalah atau maklumat bercanggah dalam daftar pemilih SPR kelak.

Selain itu, terdapat kebimbangan dibangkitkan SPR yang mana mungkin akan berlakunya penambahan kepada bilangan pengundi di Selangor dan Kuala Lumpur menerusi daftar automatik. Ini kerana, jutaan pengundi bermastautin di Lembah Klang ketika ini, kebanyakannya mengundi di kampung halaman atau di luar ibu kota.

Jika ini berlaku, maka kita akan melihat ketidakseimbangan jumlah pemilih di banyak kawasan pilihan raya di Lembah Klang, baik di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaubagaimanapun, satu tindakan bertanggungjawab perlu dilakukan bersama bukan hanya oleh SPR dan JPN sebagai badan pelaksana, tetapi lebih utama adalah pemimpin parti politik, terutama ahli Dewan Rakyat.

Jika PRU berlangsung pada tahun 2023, akan ada 22.5 juta pengundi berbanding 14.9 juta bagi PRU tahun lalu.

KATA ORANG

KATA ANDA

Relevan ke Pendaftaran Automatik ?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN