Tindakan Nurul Izzah yang meletak jawatan sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini terus menimbulkan persoalan tentang hala tuju pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini.

Ia susulan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang mahu terus mengekalkan pengerusi PAC, Ronald Kiandee meskipun sudah menyertai parti Bersatu baru-baru ini.

Sumber: Free Malaysia Today

Tindakan protes yang dilakukan oleh Nurul Izzah bukan perkara baru memandangkan Disember lalu beliau turut mengambil tindakan meletakkan semua jawatan dalam Kerajaan Pusat serta jawatan Naib Presiden PKR ekoran tidak senang dengan tindakan Mahathir menyerap masuk bekas ahli parlimen UMNO ke Bersatu.

Bermula Dengan Agak Baik

Mungkin di peringkat awal pentadbiran kerajaan PH, dapat dilihat banyak pembaharuan yang dibawa dalam membuktikan perubahan pentadbiran era Malaysia Baru. Kebebasan media yang diberi telah memberi manfaat kepada semua pihak untuk membuat penilaian yang adil terhadap kerajaan dan pihak pembangkang.

Begitu juga dengan larangan menggunakan jentera kerajaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK). Itu semua merupakan bunga-bunga perubahan ke arah reformasi dalam PH.

Namun menjelang sembilan bulan pemerintahan PH, Mahathir membawa PH semakin jauh dari reformasi yang diinginkan. Bermula dengan penerimaan berbondong-bondong wakil rakyat dari UMNO ke PH, perlantikan Majlis Tindakan Negeri di negeri pembangkang, penggunaan jentera kerajaan dalam kempen-kempen PRK dan mengekalkan pengerusi PAC yang sudah menjadi ahli parti kerajaan.

Sumber: Zunar

Ke Arah BN 2.0?

Secara jelas, PH semakin jauh dari reformasi yang ingin dibawa. Gerak-geri yang dibawa PH pada hari ini dilihat akan semakin dekat ke arah BN 2.0 sekiranya tidak dikekang dari sekarang.

Kewujudan penyelaras Dun di kawasan dimenangi pembangkang seolah-olah menafikan tugas yang berhormat yang dipilih oleh rakyat dari parti pembangkang.

Berdasarkan manifesto, Pengerusi PAC mestilah dari kalangan anggota MP dari pembangkang. Tindakan Mahathir yang terus mengekalkan pengerusi PAC yang sudah menjadi ahli parti kerajaan merupakan satu tindakan tidak wajar kerana akauntabiliti badan pemantau tersebut akan tercalar dan dipertikai sekiranya diketuai oleh parti pro-kerajaan.

Isu 1MDB Sampai Bila?

Selain itu, tindakan kerajaan yang terlalu obses terhadap skandal 1MDB dan tidak fokus terhadap isu sebenar rakyat menyebabkan rakyat semakin kecewa terhadap pentadbiran PH hari ini.

Rata-rata menzahirkan rasa kekecewaan kerana perubahan tidak seperti yang diidamkan. Penurunan harga komoditi sawit dan getah, harga barang yang semakin mahal telah menyukarkan lagi rakyat.

Sumber: Malaysiakini

Dalam wawancara dengan Straits Times, Izzah turut berkata, bekerja dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja pada kehidupan keluarganya, tetapi juga sistem (pentadbiran negara). Nampaknya, ungkapan tersebut agak keras didengar tetapi tidak pelik memandangkan kesabaran yang sudah memuncak.

Terdapat juga beberapa pihak yang mempertikaikan tindakan Nurul Izzah, antaranya bekas naib presiden PKR, N Surendran dan Khairuddin Abu Hassan dari Amanah. Bagi Surendran, masa, ruang dan cara disampaikan tidak sesuai memandangkan hubungan yang agak dingin ketika ini antara Malaysia-Singapura.

Bagi Khairuddin pula, tindakan Izzah memberi komentar negatif terhadap Mahathir kepada media luar akan memberi persepsi buruk terhadap pemerintahan PH. Dalam masa yang sama, ia mengambil masa untuk menangkis serangan sesama rakan-rakan sendiri.

Teliti Kandungan Yang Diperkatakan Bukan Hal Teknikal

Walaupun secara teknikal, komentar yang diberikan Izzah tidak sesuai memandangkan media tersebut dari Singapura tetapi kandungan yang diluahkan oleh beliau perlu diambil perhatian secara serius. Kekecewaan yang dizahirkan bukan baru, kerana berulang dan terus berulang.

Bagi ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, keluhan Izzah wajar diberi perhatian oleh Mahathir khususnya tindakan segera merealisasikan apa yang rakyat idamkan seperti isu kos sara hidup.

Keluhan Izzah lahir kerana kekhuatiran terhadap kerajaan PH yang akan menjadi sepertimana BN sebelum ini.   

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, wajarkah tindakan yang dilakukan oleh Nurul Izzah?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN