Sudah lebih 10 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan, namun masih terdapat suara-suara yang merungut tentang apa yang berlaku kepada kerajaan hari ini. Ada di kalangan rakyat berasa rindu terhadap pemerintahan BN suatu ketika dahulu.
Golongan Tua Salahkan Golongan Muda
Suara-suara tersebut semakin jelas didengar selepas rakyat merasai bebanan kos sara hidup yang meningkat semenjak pemerintahan PH. Bagi golongan tua di kawasan desa, mereka mempersalahkan golongan muda yang melakukan perubahan kerana tidak begitu matang dalam membuat penilaian. Bagi mereka, undi perubahan dari golongan muda yang memberi kesan ekonomi yang ketara kepada mereka.
Mana tidaknya harga komoditi sawit yang dahulunya RM650 setan kini menyusut kepada RM250 setan. Suatu penurunan yang agak drastik. Ada juga yang beranggapan, sekiranya mereka mampu makan di warung pun cukup untuk buat mereka berasa mewah. Tetapi tidak hari ini.
Segala-galanya Tinggal Janji
Suara rungutan turut didengari daripada golongan muda. Kebanyakan daripada mereka mengharapkan suatu perubahan baru terhadap masa depan mereka. Janji peluang pekerjaan, penghapusan pinjaman PTPTN, kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,500 seakan tidak kunjung tiba. Segala-galanya hanyalah indah khabar dari rupa.
Ada antara mereka terus tertekan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Ditambah pula dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang semakin menyusut berbanding Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Benar, bantuan tersebut hanyalah sekadar bantuan tidak lebih daripada itu. Namun dalam keadaan ekonomi yang sangat mendesak, gaji dan pendapatan tidak naik seiring dengan kos sara hidup menyebabkan ia sangat diperlukan.
Nama Najib Semakin Popular
Najib yang dahulunya manusia paling dibenci oleh rakyat Malaysia, tiba-tiba menjadi popular di mata rakyat. Yang dahulu segan bergambar dengannya hari ini berebut-rebut ingin bergambar. Hari ini beliau sudah terkenal dan menjadi fenomena di mata rakyat. Fenomena ‘Bossku’ bukan diwujudkan olehnya tetapi dicetuskan oleh rakyat dalam kalangan golongan muda.
Tidak mustahil sekiranya ada pihak yang ingin mengangkatnya menjadi Perdana Menteri semula. Bukan bermakna ramai yang tidak percaya salah laku yang dilakukan Najib, namun apa yang lebih utama bagi mereka ialah kebajikan yang dilakukan kepada rakyat. Tidak peduli apa yang dilakukan oleh Najib, apa yang penting kebajikan mereka lebih terbela.
Bukan BN Bagus Tapi PH Teruk
Bagi netizen pula, ada yang tidak pernah mengundi BN sejak layak mengundi, namun mengakui pemerintahan di bawah BN adalah lebih baik berbanding di bawah PH. Ada juga yang tidak merindui zaman Najib namun perkara paling utama ialah mereka menyampah dengan cara Pakatan Harapan memerintah.
Hakikatnya, bukan tiada perubahan yang dilakukan oleh PH. Banyak perubahan yang telah dilakukan oleh PH hanyalah dari segi teknikal seperti kebebasan media, kebebasan bersuara, program itu dan program ini. Namun hasil dari sudut ekonomi masih belum kunjung tiba. Apalah gunanya kebebasan bersuara bagi orang kampung.
Rakyat Lebih Fikir Kos Sara Hidup Berbanding Politik
Perkara ini turut diulas oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Berdasarkan laporan Sinar Harian, beliau menyifatkan, sebahagian rakyat Malaysia hanya memikirkan tentang kos sara hidup berbanding perihal politik masa kini. Ini kerana hanya sebahagian rakyat yang ambil tahu tentang politik ketika mana mereka perlu mengikat perut.
Dalam masa yang sama Anwar turut mempersoalkan ke mana pelan rancangan pemulihan Felda? Hal ini kerana masyarakat Felda merupakan golongan yang paling teruk terjejas semenjak penurunan harga komoditi tersebut. Malah berdasarkan laporan, tidak ada sebarang pelan rancangan pemulihan dibincangkan sehingga hari ini.
Prestasi Menteri Kurang Memberangsangkan
Kegusaran sama turut dizahirkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dengan memberi bayangan rakyat akan menjatuhkan kerajaan sekiranya gagal menunaikan janji pilihan raya. Malah, Mahathir sendiri sudah beberapa kali menegur prestasi pentadbiran menteri-menteri yang kurang memberangsangkan.
Fasa sekarang bukanlah fasa menyalahkan terus kerajaan lama. Tetapi fasa rakyat menilai apa yang kerajaan PH hari ini mampu lakukan. Sama ada realistik atau pun tidak terpulang kepada janji-janji yang ditabur pada kempen PRU-14 yang lalu.
KATA ORANG
Kesian kan kena kencing dengan kerajaan PH. Takper, ni semua salah Najib 🤭. Rindu kan zaman Tun Mahathir 🤭
— AHMAD PAZIL MD ISA (@AhmadPazil) March 31, 2019
Assalammualaikum dato seri @NajibRazak sbenarnya sy rindu zaman najib ,sebab saya dapat bantuan #BR1M yang begitu cukup utk sbulan walaupun stahun sekali dapat. Nak dibandingkan dengan kerajaan sekarang nie . Sbar dato next pru nanti mungkin dato seri akan menang!#datoserinajib
— عميرول عزيز (@azizamirul_) March 29, 2019
yup, enough is enough bro. aku dah mula menyirap dengan current govt. #rinduzamannajib
— shfqrhmn (@shafiquerahmn) March 25, 2019
Betul tu,tpii lebih tepat lgi rindu era pemerintahan BN dibwah pimpinan Datuk @NajibRazak 😔
— إِلَهِ النَّاسِ (@E1LaE1nas7) November 30, 2018