Umum mengetahui bahawa sikap ramah dan mesra Yang di-Pertuan Agong dan juga Raja Permaisuri Agong sangat mencuri perhatian ramai dan rakyat terasa dekat dengan mereka tanpa ada sebarang halangan protokol.

sumber: astro awani

Keramahan dan sifat mesra Raja Permaisuri Agong ini tidak hanya di khalayak umum tetapi di media sosial juga baginda sering membuat ciapan yang menunjukkan baginda juga sangat ingin bersama-sama rakyat.

sumber: astro awani

Amat mengecewakan apabila rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berita di mana Raja Permaisuri Agong telah menyahaktif akaun Twitternya dan dipercayai disebabkan oleh sikap biadap sesetengah rakyat Malaysia yang tidak senang duduk melihat keramahan baginda.

 

Sudah Terlalu Melampau

Baginda yang cukup terkenal dengan sifat ramah mengambil peluang menggunakan akaun media sosialnya untuk berinteraksi dengan lebih rapat lagi dengan rakyat.

Rata-rata ramai yang amat menyukai apa yang dilakukan oleh baginda dan setiap perkongsiannya pasti akan menjadi bualan ramai sehingga menjadi tular.

Menerusi sumber maklumat yang diperolehi daripada laman thevocket.com, mendapati yang menjadi punca mengapa baginda menyahaktifkan akaun Twitternya adalah disebabkan oleh seorang pengguna Twitter yang telah berkongsi pada umum di mana dia sudah menyekat akaun Twitter Raja Permaisuri Agong.

Bukan itu sahaja, tindakannya itu juga turut menerima sokongan daripada pengguna lain yang rata-rata menyatakan tidak begitu gemar melihat kemesraan baginda di laman Twitter sejak akhir-akhir ini.

Tindakan pengguna Twitter yang biadap tersebut mengundang padah apabila ramai yang mengambil tindakan untuk menyekat dan ‘report’ akaun pengguna tersebut dan ada yang bertindak untuk membuat laporan polis.

 

Boleh Didakwa Di Bawah Akta Hasutan

Sementara itu, turut memberi maklum balas ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang ditanya oleh seorang pengguna Twitter berkenaan tindakan apa yang boleh diambil atas perkara ini, jawabnya ialah perkara ini boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

Menerusi informasi yang diambil daripada laman remaja.my, penganalisis Undang-Undang, Prof Dato’ Salleh Buang, menyatakan penulisan seseorang itu terletak pada niat individu tersebut.

Niat mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap Raja berkenaan atau niat membangkitkan perasaan tidak puas hati serta menimbulkan perasaan tidak setia dalam kalangan rakyat, individu tersebut boleh disabitkan dengan hukuman penjara tidak lebih daripada tiga tahun dan denda tidak lebih daripada RM5000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berikutnya, individu tersebut boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada lima tahun di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

 

Kebebasan Bersuara Ada Batasnya

Berikutan dengan kejadian ini, sudah pasti ramai yang menzahirkan rasa dukacita kepada baginda dan memohon ampun dan maaf atas kesalahan sesetengah rakyat yang tidak menghormati baginda dan juga institusi Raja di Malaysia.

sumber: Perak Today

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata atau menulis sesuatu kerana bimbang boleh menggugat keamanan dan menimbulkan perasaan benci kepada Raja atau Sultan.

Kebebasan bersuara bukan satu alasan untuk seorang individu mengeluarkan kenyataan yang boleh menyumbang kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Rukun Negara yang kedua iaitu ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ seperti satu mainan bagi mereka dan golongan ini tidak selayaknya menggelarkan diri mereka sebagai warganegara Malaysia yang cukup jelas tidak berpegang kepada prinsip ini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN